Thursday, November 5, 2009

Isu Penahanan Dr Asri (Kenyataan Biro Agama PKR)


ISU PENAHANAN DR. MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN
3 November 2009

Insiden penahanan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA) mantan Mufti Perlis di tengah malam 1 November 2009 lalu adalah satu tindakan yang dikesali. Cara beliau ditahan oleh pihak JAIS bersama sejumlah besar anggota keselamatan amatlah menjengkelkan. Ia jelas menimbulkan persepsi buruk bahawa agensi penguatkuasa agama kita kurang professional dan berhemah dalam bertindak ke atas seorang tokoh agama yang disegani. Lebih parah, sebahagian masyarakat yang kurang menguasai pengetahuan Islam akan menjadi keliru dan penghormatan mereka kepada para ulama Islam juga akan luntur.

Beliau ditahan atas alas an mengajar agama tanpa tauliah. Namun, kami berpandangan bahawa tindakan JAIS adalah didorong oleh isu utama lain yang terpendam. Dr. MAZA dituduh sedang cuba mengembangkan aliran agama yang dinamakan Wahabi yang dianggap sesat dan memecahbelah umat. JAIS hanya mengiktiraf amalan agama mengikut mazhab Shafie. Maka, drama penahanan beliau tersebut hanyalah merupakan cebisan kecil dari konflik yang wujud. Tuduhan tersebut belumpun dibuktikan. Malah Dr. MAZA sendiri menafikannya.

Sebenarnya, isu ini bukanlah perkara baru. Ia telahpun menjadi isu usang yang sering diperbaharui semula berulang kali sejak beberapa dekad yang lalu. Ia telah mengakibatkan wujudnya aliran kaum muda dan kaum tua dalam pemikiran Islam di dunia Melayu suatu ketika dulu. Masyarakat Islam silam telahpun cukup serik melaluinya. Implikasinya mereka telahpun mencari formula penyelesaian secara terbaik. Lebih jauh lagi, masalah yang ditimbulkan bukanlah merupakan permasalahan pokok yang menjejaskan pegangan akidah seorang muslim. Ia hanyalah merupakan masalah kecil (furu’), khilafiyah dan bersifat pemikiran.

Pengalaman lalu memperlihatkan bahawa apabila isu ini dikendalikan tanpa memelihara adab al-ikhtilaf (adab berbeza pendapat), maka ia akan lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikannya. Akibatnya masyarakat Islam (apatahlagi masyarakat bukan Islam) akan bertambah keliru, porak-peranda dan mengorbankan nilai silaturrahim yang lebih aula dipertahankan.

Yang menjadi masalah adalah sikap para pendokong yang fanatik atau taksub dalam perkara-perkara cabang. Sepatutnya masalah ini tidak berbangkit lagi secara terbuka kerana ia telahpun menjadi sejarah. Biarlah ia dikaji dan dibincang oleh mereka yang berkelayakan, beramanah dan tahu menilai harga pemikiran ulama dan perbezaan pendapat mereka dalam masalah-masalah tertentu.

Kami tidak bersetuju dengan kaedah tindakan menahan beliau dilakukan. Pendekatan yang dilakukan adalah melampaui batas ke atas seorang ilmuan meskipun mungkin sebahagian pegangan dan pendekatan dakwah beliau tidak kita persetujui. Kaedah keras begini boleh menyebarkan sikap permusuhan dan ketegangan sesama umat Islam sendiri.

Sheikh Yusuf al Qardawi dan lain-lain ulama yang berwibawa pernah menyarankan supaya umat Islam lebih mengutamakan perkara usul berbanding furu’ dan khilafiyyah. Juga perlu lebih mengutamakan persaudaraan dan keharmonian berbanding perpecahan dan konflik berasaskan prinsip fiqhu al aulawiyyat.

Justeru, sepatutnya kelompok prihatin kepada Islam perlu lebih memberi perhatian kepada isu-isu lebih utama seperti kezaliman, rasuah, pembunuhan, fitnah, pembohongan, pendustaan, penganiayaan, ketidakadilan dan perzinaan yang berlaku.

Sebagai contoh, dikemukakan pendirian dan pendekatan dakwah Buya HAMKA, seorang ulamak besar, pendokong aliran Muhammadiah – sebuah pertubuhan Islam dominan di alam Melayu dan amat dihormati di dunia Melayu. Beliau yang kerap datang ke Malaysia menyampaikan dakwahnya, telah bersama-sama mengangkat tangan membaca qunut ketika solat subuh lantaran menghormati amalan masyarakat Islam setempat.

Berasaskan pandangan di atas, BIPPA ingin mengemukan enam langkah penyelesaian:

1. Kita perlu memahami fiqh kehidupan bersama orang lain yang berbeda pendapat hatta yang yang berlainan agama dengan kita.

2. Kita perlu menggunakan pendekatan wasatiyyah (keseimbangan dan kesederhanaan) dalam menyelesai segala konflik pemikiran seperti yang digesa di dalam Al-Quran.

3. Semua pihak perlu menghadapi pelbagai aliran mazhab pemikiran umat Islam ini dengan jiwa penuh silaturrahim, bertolak ansur dan menghormati kepelbagaian yang wujud.

4. Institusi-institusi agama seperti Jakim, Jabatan Agama Islam, Pejabat Mufti dan lain-lain agensi agama sewajarnya kerap mengadakan muzakarah secara ilmiah dan terbuka, telus dan adil dengan pelbagai pihak yang dianggap menimbulkan kontroversi agama.

5. Pihak penguatkuasa agama Islam di semua jabatan perlu diberi latihan dan keilmuan sewajarnya mengenai undang-undang berkaitan dan bagaimana mereka boleh melaksanakan tugas secara professional dan beretika.

6. Pendekatan yang berasaskan prinsip maqasid syari’ah (matlamat terakhir syari’ah) hendaklah diutamakan demi kesucian syari’ah itu sendiri. Lantaran itu, pendekatan menghukum hendaklah dijadikan pilihan terakhir.

Semoga peristiwa di atas menjadi ibrah kepada semua pihak. Kita juga berharap agar JAIS sebagai pihak berkuasa agama yang diamanahkan menjaga urusan agama untuk rakyat di Negeri Selangor tidak membiarkan diri diperalatkan oleh mana-mana pihak lain yang bermotif politik. Apatah lagi jika pihak tersebut dengan sengaja berniat untuk memburukkan atau memecahbelahkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang ada. Sekian.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
3 November 2009

Tuesday, November 3, 2009

Sedikit Catatan Perjalanan.

Alhamdulillah 3 hari berada di Cairo (28-31 Nov), sempat berprogram dengan pelajar Malaysia, bertemu dengan Mufti Mesir (Syekh Ali Jum`ah), berbincang dengan Syekh Taha Jabir al-Alwani dan bertemu dengan ramai ulamak lain.

Dihadapan ribuan pelajar, saya menekankan prihal pentingnya ilmu serta persiapan diri untuk melaksanakan tugas dakwah sambil menghimbau kenangan manis dan pahit ketika menuntut di Azhar 30 tahun yang silam (1979-1983). Yb Saifuddin menjelaskan isu2 terkini tanah air manakala DSAI berjaya memukau pelajar (dan pegawai2) dengan pidatonya yang hebat. Berbagai soalan dikemukakan & alhamdulillah semua dijawab dengan baik. Terimakasih & tahniah pada Ustaz Farhan (Pengerusi Gerakan Suara Rakyat Mesir) dan semua yang telah memberi layanan yang amat memuaskan. Tidak lupa ucapan terima kasih saya rakamkan khas buat pimpinan PMRAM serta Pegawai Pelajar Selangor & Kedah atas kerjasama yang diberikan.

2 hari di Bombay (1-2 Dis) menghadiri program anjuran Islamic Research Foundation dibawah kelolaan Dr Zakir Naik. Peluang bertemu dengan aktivis dakwah serta ulamak dari seluruh dunia. Yang paling istimewa ialah perbincangan dengan Imam Masjid al-Aqsa (Syekh Ali Abbasy), beliau menekankan betapa pentingnya umat Islam terus berjuang dan berjihad untuk menyelamatkan al-Aqsa dari cengkaman Zionis Yahudi.

Sekembalinya kami pagi tadi, dari KLIA saya terus ke Mahkamah Jalan Duta untuk sambungan bicara kes Arsenik 2 (Imam Solat Hajat di Masjid Negara 1999). Perbicaraan akan berlangsung selama 2 minggu. Dari KLIA, DSAI juga terus ke Mahkamah yang sama (kamar berlainan) untuk sebutan Kes Liwat Siri2 (kes ditunda ke bulan depan). Dalam masa yang sama Yahya Sahri juga dihadapkan ke Mahkamah S.Alam...

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Monday, October 26, 2009

Bila Rasuah dikata Hadiah...

Nabi s.a.w. telah peringatkan kita dalam banyak hadith bahawa diakhir zaman nanti orang sudah tidak peduli dari mana ia dapat harta samada halal atau haram. Tepat sekali. Hari ini orang bukan saja tidak peduli halal haram malah mereka menghalalkan yang haram dengan memberikan jenama baru pada yang haram itu. Contoh yang paling jelas adalah rasuah.

Walaupun Isa Samad telah didapati bersalah kerana kerana rasuah dengan menyogok wang pada perwakilan tapi masih ada orang mengatakan yang itu bukan rasuah tetapi bemberian hadiah... Walaupun terang rasuah berlaku dalam kes kapal selam, jet juang, pembinaan stadium, PKFZ dsb tapi orang mengatakan itu bukan rasuah tapi komisyen...

Ingatlah... walau satu dunia orang mengatakan rasuah itu halal... ketahuilah bahawa ia tetap haram... dimana pemberi rasuah dan penerima rasuah akan dicampak dalam api neraka... Bagaimana pula dengan orang yang menyokong rasuah?

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Tuesday, October 20, 2009

Beza Halal & Haram.

Q. Apa beza makanan halal dan haram? Saya lihat ramai orang yang makan benda haram tapi baik perangainya dan ada yang konon makan benda halal tapi buruk perangai.

A. Pertama... Baik atau buruk sesuatu itu bukan akal yang menentukan tapi agama. Apa yang Tuhan suruh itu semuanya baik dan apa yang Tuhan larang semuanya buruk. Seorang itu suka tolong orang, tidak bohong, tidak fitnah maka dia orang baik, tetapi jika tidak solat maka tidak ada kebaikan padanya menurut agama.

Kedua... Halal bukan sahaja pada bendanya tapi sumbernya. Makan minumnya halal tapi dibeli guna wang haram atau syubhat maka tidaklah halal namanya.

Adapun beza makanan halal dan haram bukan pada sangat unsur zatnya tapi pada unsur ruhaninya. Dari segi rasa, ayam goreng yang tidak halal munkin sama saja dengan ayam goreng yang halal tetapi... makan ayam goreng halal mendekatkan seseorang pada Tuhan (rajin serta mudah beribadat) manakala makan ayam goreng haram menggelapkan hati dan menjauhkan seseorang dari Tuhan (malas solat, malas ngaji dsb.)

"Tidak wajar bagi seorang beriman, jika Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu, tapi dia memilih yang lain..." Al-Ahzab 33:36.

Moga kita patuh dengan paraturan halal dan haram Allah demi kesejahteraan hidup dunia akhirat.

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Tuesday, October 13, 2009

Assalamualaikum w.w.

Salam hujung Syawwal... Tahniah pada yang telah Raya 6 Syawwal... Yang belum, moga dapat disempurnakan. Jika tidak berjaya tahun ini, moga Allah panjangkan umur kita untuk bertemu dangan Ramadan dan Syawwal tahun depan... Amin.

Saya mohon maaf kerana lama x update blog, ramai yang bertanya... Hmmm selain PC rosak, memang terlalu sibuk dengan program Ramadan (pagi petang subuh siang dan malam). Ujung Ramadan ke Sabah seminggu (program di KK dan Raya di Tawau). 3 Okt terima menantu (terima kasih yang sudi datang meraikan majlis di Masjid Faizin Kepong). 10 Okt sekali lagi walimah dibuat di Sabak Bernam. Alhamdulillah kedua-dua majlis lancar. Terima kasih pada semua yang terlibat membantu... Saya tidak mampu membalas jasa, pertolongan serta pengorbanan semua... Moga Allah mudahkan urusan sahabat semua dunia dan akhirat...

Ramai juga tanya tentang Bagan Pinang... Mudah saja... Itu kerja Allah, ketentuan Allah! Yang kita sedih bukan sebab kalah tapi sebab perangai anak muda bangsa kita yang seolah2 dirasuk setan hingga hilang akhlaq, budi dan hilang agama... Masih ada lagi aksi lucah "liwat" dipamerkan depan khalayak ramai... Ada yang tunjuk punggung menghina Takbir yang dilaungkan... Ada yang pijak lenyek kupiah menunjukkan sikap benci pada golongan yang memuliakan agama... Ada yang melaungkan kata2 hina "pergi jahannam dengan takbir awak..."dan berbagai lagi aksi, slogan yang manyayat hati...

Moga Allah selamatkan kita dari bala bencana Allah... yang jika turun tidak ada siapa (baik yang taat atau yang jahat ingkar) akan selamat kecuali dengan izin Allah...

Salam hormat!
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Thursday, September 24, 2009

Salam Idul Fitri.

Tahniah kepada semua yang telah melalui tarbiyah Ramadan... Moga kita berhasil memperoleh ijazah TAQWA yang dijanjikan Allah. Moga latihan yang dilalui siang dan malam tidak sia2...

Moha jadi orang yang lebih baik... Suami isteri yang lbh baik... ayah ibu yang lbh baik... anak, menantu yang lbh baik... ipar duai yang lbh baik... jiran yang lbh baik... manusia & hamba Allah yang lbh baik...

Islam menganjurkan kita memohon serta menghulurkan kemaafan... Jangan pula kotorkan fitrah dgn dosa2... dosa pada Allah hanya 3 syarat taubatnya... Tapi dosa pada manusia? Hentikan GHIBAH (mengumpat) serta jauhkan FITNAH & ZALIM. Jauhi orang2 yang menyebarkan FITNAH & melakukan keZALIMan. Jangan sampai menjadi orang2 yang bankrup (muflis) di akhirat kelak... Amal sendiri pun kurang, dosa orang lain pula ditanggung... Astaghfirullah...

Salam Idulfitri...
Salam kemaafan dari saya dan keluarga.
Badrulamin & Zumrah serta anak2...

Wednesday, September 2, 2009

Jangan Hina Tuhan Orang Lain (Kenyataan Rasmi Biro Agama PKR)

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”(Al-An’am: 108).

Adalah amat pelik dan mendukacitakan apabila melihat tindakan sekumpulan 50 penduduk mengarak kepala seekor lembu, melaungkan kata-kata provokatif dan bertakbir tidak pada tempatnya. Ia dilakukan pada hari (Jumaat) dan di bulan (Ramadan) yang cukup mulia bagi umat Islam. Seharusnya, bulan Ramadan ini dapat melatih kita untuk menundukkan nafsu amarah yang merajalela dalam diri. Tindakan kumpulan ini adalah terasing dan bukan mewakili kehendak Islam. Agama mengajar kita agar menangani isu-isu seperti yang dihadapi dengan penuh kesabaran, bijaksana dan berhikmah.

Kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah suatu perlu diizinkan. Inilah iklim yang kita mahu demi membina masyarakat madani dan masa depan negara yang lebih gemilang. Namun, apabila kita lupa kepada adab dan susila yang sewajibnya, ia jadi memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat. Malah, lebih parah ia boleh menimbulkan tindakbalas anarki yang mungkin tidak mampu kita kendalikan lagi.

Inilah garis panduan yang ditetapkan Allah di dalam ayat diatas. Jelasnya, tindakan provokatif ke atas agama lain seperti ini boleh mencetuskan reaksi dan ketegangan yang tidak perlu sama sekali dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan harmoni ini. Bukankah Islam itu merupakan agama pelindung dan rahmat untuk sekalian alam?

Melihat kepada ironisnya peristiwa yang terjadi, kita mengesyaki bagaikan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memenuhi agenda politik tersirat yang telah dirancang lebih awal. Maka itu, semua pihak perlu berhati-hati dan berwaspada.

Dengan kejadian ini, kita menuntut agar tindakan segera hendaklah dilakukan oleh semua pihak berwajib – polis, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agama sendiri. Siasatan perlu perlu dibuat, siapa sebenarnya mereka (khususnya kewujudan individu yang tidak dikenali bersama kepala lembunya), siapa di belakang mereka dan apakah matlamat mereka sebenarnya.

Kita juga memohon kesabaran dan ketenangan semua pihak. Suasana dialog dan mesyuarah dalam menyelesai segala kemelut yang berlaku hendaklah disuburkan. Ini sudah pasti dapat meningkatkan persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakatnya. Bukankah Islam itu agama yang membawa kesejahteraan?

Diterbitkan semula:
Http://drbadrulamin.blogspot.com