Thursday, May 26, 2011

ISU SUMPAH - Harap baca dan sebarkan...

SUMPAH DALAM PERUNDANGAN SYARIAH

Qazaf adalah satu daripada kesalahan jenayah Hudud yang dinyatakan secara qat’iy (pasti) dengan jelas oleh al-Qur’an dan Sunnah. Ia merupakan satu jenayah khusus yang melibatkan penghinaan yang amat serius ke atas seseorang yang baik akhlaknya dengan tuduhan zina atau seumpamanya dan tuduhan anak luar nikah. Justeru, pembuktian untuk mensabitkan kesalahan jenayah ini amat ketat prosedurnya. Jika berlaku sebarang keraguan terhadap bukti maka hukuman asal boleh digugurkan berdasarkan hadith, gugurkanlah hukuman hudud dengan adanya kesamaran bukti.

TAKRIF QAZAF

Imam Nawawi daripada Mazhab Shafi’i mentakrifkan Qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang) untuk menghinanya.1 Ibn Humam daripada Mazhab Hanafi mentakrifkan Qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang).2 Ibn Arafah daripada Mazhab Maliki pula mentakrifkan Qazaf ialah seseorang mukallaf menuduh orang merdeka, berakhlak baik, Muslim yang baligh atau kanak-kanak melakukan zina atau menafikan keturunannya yang sah.3 Ibn Quddamah daripada Mazhab Hambali pula mentakrifkan Qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang).

Memandang kepada takrif yang diberikan oleh ulama daripada pelbagai mazhab, Qazaf ialah tuduhan ke atas seseorang yang baik akhlaknya dengan berzina, atau menafikan keturunannya yang sah. Manakala zina pula mengikut Mazhab Shafi’i bermaksud memasukkan kemaluan lelaki kadar hasyafah atau seumpamanya ke dalam faraj perempuan untuk kepuasan yang haram baginya tanpa ada sebarang syubhah.

Mengikut Mazhab Hanafi pula, nama bagi persetubuhan haram dalam faraj perempuan yang hidup berlaku secara sukarela dalam negara Islam yang bebas daripada sebarang syubhah hamba miliknya atau perkahwinan. Manakala Mazhab Hambali pula mentakrifkan zina mengikut Ibn Quddamah ialah persetubuhan pada faraj perempuan yang haram baginya tanpa ada sebarang syubhah.

Mazhab Maliki pula mengikut takrif yang diberikan oleh al-Dasuqi ialah memasukkan kepala zakar atau kadarnya dalam kemaluan perempuan, sekalipun beralas, tetapi tidak menghalang kepuasan dan ketegangannya.

Berdasarkan takrif di atas bahawa penzinaan itu adalah persetubuhan haram yang dilakukan oleh seseorang dengan memasukkan kemaluannya sekadar hasyafah atau seumpamanya ke dalam faraj perempuan yang isterinya dan bukan juga hamba miliknya, serta tidak ada bukan sebarang syubhah pada perlakuan tersebut.

Tuduhan zina adalah tuduhan ke atas seseorang yang melakukan persetubuhan haram ke atas perempuan yang tidak ada hak baginya yang bertujuan untuk mengaib dan menghina pihak yang dituduh.

LIWAT SAMA DENGAN ZINA

Takrif liwat mengikut Mazhab Shafi’i ialah memasukkan zakar ke dalam dubur lelaki, perempuan atau khunsa dikenakan hukuman had(hudud).9Ibn Quddamah daripada Mazhab Hambali berpendapat bahawa persetubuhan di dubur sama dengan persetubuhan di faraj iaitu zina.Mazhab Maliki mengikut pendapat al-Dasuqi menyatakan bahawa seorang lelaki yang bersetubuh melalui dubur dengan perempuan asing baginya melakukan jenayah zina
mengikut syarak dan dikenakan hukuman had ke atasnya.

Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa persetubuhan pada dubur tidak diwajibkan hukuman had ke atas kedua-dua pelaku liwat dan penerimanya, lelaki atau perempuan, sekali pun hukumnya adalah haram. Ini disandarkan kepada hujah bahawa zina haram hukumnya kerana persetubuhan di faraj, tetapi bagi peliwat, yang berlaku bukan zina, ia adalah liwat.

Berdasarkan penjelasan di atas, majoriti fuqaha’ daripada empat mazhab berpendapat bahawa liwat adalah sama sahaja dengan zina, kerana perbuatan liwat berlakunya kemasukan kemaluan dan berlakunya kepuasan seperti zina, maka ia sama dengan hukum zina.

AUTORITI PENGHARAMAN QAZAF
Fuqaha’ yang membincangkan tentang kesalahan jenayah Qazaf berdasarkan autoriti al-Qur’an, hadith dan ijmak. Mazhab Shafi’e13 menjadikan ayat 4 surah an-Nur sebagai dalilnya. Maksud Firman Allah:

“Mereka yang menuduh perempuan-perempuan suci dengan tuduhan zina dan mereka itu tidak dapat buktikan dengan empat saksi lelaki maka hendaklah mereka disebat sebanyak 80 kali. Saksi mereka tidak diterima selama-lamanya dan mereka itu adalah orang-orang fasik."(an-Nur (24): 4)

Tuduhan zina yang palsu terhadap perempuan-perempuan yang suci dan baik akhlaknya, hendaklah mereka dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali, kesaksian mereka tidak diterima selama-lamanya dan mereka menjadi Fasik. Hadith Abu Hurairah ada meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:

“Jauhilah tujuh perkara yang besar dosanya.” Sahabat bertanya, “Apa dia ya Rasulullah?” Katanya, “syirik kepada Allah, sihir, membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan yang baik dengan zina.”

Hadith di atas menjelaskan bahawa antara kesalahan besar di sisi Allah S.W.T. ialah Qazaf ke atas seseorang perempuan yang baik dan suci peribadinya. Ia meliputi lelaki dan perempuan. Mazhab Hambali juga berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadith di atas sebagai dalil kesalahan Qazaf ini dan Mazhab Hanafi juga berdalilkan hadith di atas dan ayat surah an-Nur, ayat 32,18 Allah berfirman:

“Mereka yang menuduh Qazaf perempuan-perempuan baik dan suci yang beriman, mereka itu dilaknat di dunia dan di Akhirat dan bagi mereka azab yang besar.” (an-Nur (24): 23)

Ayat ini jelas menerangkan janji buruk ke atas mereka yang melakukan Qazaf ke atas orang wanita mukminah dan lelaki mukmin dengan menerima laknat Allah di dunia dan mendapat seksa di Akhirat.19

Tuduhan liwat ke atas seseorang mengikut Imam Malik, Imam Shafi’i dan Imam Ahmad sama dengan tuduhan zina (Qazaf) kerana mereka berpendapat bahawa liwat adalah zina dan peliwat adalah penzina sama ada ia sebagai pelaku atau penerima pelakuan itu, sama ada ia lelaki atau perempuan jika sabit penuduh berniat dalam
tuduhannya itu bermaksud yang dituduh melakukan perbuatan kaum Lut, maka penuduh wajib dikenakan hukuman had, manakala Abu Hanifah berpendapat bahawa tuduhan liwat termasuk dalam hukuman ta’zir kerana beliau berpendapat bahawa liwat bukannya zina justeru tuduhan liwat tidak dikira sebagai tuduhan zina.

AUTORITI KESALAHAN JENAYAH LIWAT DAN ZINA

Mazhab Shafi’i menyandarkan kesalahan liwat kepada al-Qur’an dan Sunnah. Dalam al-Qur’an Allah berfirman:

“Janganlah kamu menghampiri zina kerana zina itu adalah fahishah (perkara keji) dan sejahat-jahat jalan.” (al-Isra’ (17): 32)

Firman Allah lagi:


“Adakah kamu melakukan fahishah (perkara keji) yang tidak dilakukan oleh sesiapa pun sebelum kamu di dunia ini.” ( al-A’raf (7): 80)

Ayat pertama menjelaskan Allah melarang melakukan zina yang disifatkannya sebagai fahishah (suatu perbuatan keji) dan ayat kedua pula Allah menyifatkan perbuatan liwat sifatnya fahishah (suatu perbuatan keji). Oleh sebab kedua-duanya bersifat fahishah (keji) maka kedua-dua hukumnya sama. Mereka juga berasaskan kepada Sunnah yang bermaksud: “Apabila lelaki bersetubuh dengan lelaki, maka kedua-duanya melakukan zina,” dan hadith riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibn Majah maksudnya: “Sesiapa yang mendapati antara kamu yang melakukan perbuatan kaum Lut maka bunuhlah yang melakukan dan yang kena lakukan.”

Hadith ini menjelaskan tentang kesalahan jenayah liwat yang boleh dikenakan hukuman mati dibunuh dengan pedang seperti orang murtad. Mazhab Hambali juga berpendapat liwat sama dengan zina berdasarkan nas-nas al-Qur’an di atas yang difahaminya bahawa kemasukan zakar dalam faraj sama dengan kemasukan zakar ke dalam dubur.

Pada awalnya, kaum Lut memulakan liwat dengan perempuan mereka, kemudian melakukannya pula ke atas orang lelaki. Qadi Abu Hasan daripada Mazhab Maliki berpendapat persetubuhan lelaki dengan perempuan ajnabi pada duburnya adalah hukum liwat sebagaimana hukum liwat antara lelaki dengan lelaki.

Dua murid Abu Hanifah, iaitu Abu Yusuf dan Muhammad berpendapat bahawa hukuman keseksaan jenayah liwat sama dengan zina. Dalil mereka ialah kesalahan zina adalah hukuman had mengikut ketetapan nas. Dari sudut nama, zina adalah fahishah (perbuatan keji), liwat juga fahishah mengikut nas “ata’tuna alfahishah.”


Dari sudut makna, zina mempunyai makna yang maknawi, yang tersirat dan mempunyai tujuan mengeluarkan mani dengan memasukkan zakar ke dalam faraj secara haram tanpa sebarang syubhah. Tujuan itu didapati wujud pada kedua-dua perbuatan itu, iaitu kemasukan di faraj atau di dubur, yang kedua-dua anggota itu dianggap kemaluan yang wajib ditutup pada syarak dan kedua-dua anggota itu diingini oleh nafsu, terutamanya
bagi orang yang tidak memahami hukum syarak. Keinginan nafsu itu ditinjau dari sudut kesuaman dan kelicinan salurannya. Kedua-duanya tidak ada beza antara faraj dengan dubur.

Hukuman had pada kesalahan liwat adalah ketetapan nas-nas yang terdapat hukuman pada jenayah zina, maka nas didapati juga pada liwat. Abu Hanifah mempunyai pendapat yang berbeza di mana beliau membataskan persetubuhan itu pada faraj sahaja, tidak pada dubur.

Maka peliwat tidak dikenakan hukuman had kerana zina itu ialah persetubuhan yang berlaku pada faraj, sedangkan apa yang berlaku pada peliwat itu bukannya zina, tetapi liwat. Sekiranya liwat itu sama dengan zina, tentunya para sahabat tidak berbeza pendapat tentang ini.

Dengan perbezaan pendapat itu menunjukkan bahawa liwat bukannya zina, kerana zina hukumannya mengikut ketetapan nas. Maka dengan itu, Abu Hanifah berpendapat bahawa tidak boleh menetapkan hukuman had zina terhadap perbuatan bukan zina, dan dengan itu hukum liwat tidak ada hukuman tetap pada nas, maka yang pastinya hukuman ta’zir dikenakan mengikut ketetapan imam.

Berdasarkan perbincangan di atas, pandangan majoriti fuqaha’ daripada pelbagai aliran mazhab kecuali Abu Hanifah yang berpendapat bahawa kesalahan jenayah liwat sama dengan jenayah zina. Oleh itu, hukumannya sama dengan hukuman zina termasuk prosedur pensabitannya.

PROSEDUR PENSABITAN JENAYAH QAZAF

Jenayah Hudud merupakan jenayah yang hukumannya amat berat, yang hukumannya adalah antara sebatan, mati dan buang kawasan. Justeru, ia memerlukan prosedur yang ketat berdasarkan nas Qat’iy dari sudut pensabitan, kesalahan dan hukumannya. Prosedur untuk pensabitannya seperti berikut:

Pengakuan (Iqrar)

Pengakuan ialah menyatakan sesuatu tindakan atau hak terhadap diri seseorang, seperti A membuat pengakuan di mahkamah di hadapan hakim, “Saya mengakui bahawa saya yang melakukan jenayah zina/liwat.” Jika pengakuan itu telah jelas difahami, mencukupi sekali pengakuan sahaja mengikut Mazhab Shafi’i dan empat kali pengakuan dalam kes zina mengikut Mazhab Hanafi.

Pengakuan penjenayah merupakan bukti yang paling kuat untuk disabitkan jenayah. Ia berbeza dengan dakwaan dan tuduhan seperti seorang berkata: “Saya disetubuhi oleh sipolan” atau “saya diliwat oleh sipolan.” Kenyataan ini berupa tuduhan dan dakwaan yang mesti dibuktikan dengan empat orang saksi, sebab ia bukan satu pengakuan tetapi, satu tuduhan terhadap orang lain yang melakukan jenayah tersebut ke atasnya yang memerlukan bukti tentang kebenaran dakwaannya itu.

Penyaksian (Bayyinah)

Penyaksian maksudnya ialah menyampaikan penyaksian untuk mensabitkan sesuatu hak atau kesalahan dalam majlis perbicaraan rasmi. Penyaksian merupakan satu daripada prosedur untuk mensabitkan jenayah Hudud.

Jenayah zina dan liwat boleh disabitkan dengan penyaksian yang bilangan saksinya mestilah empat orang lelaki yang layak (mukallaf), yang adil, menjelaskan dengan betul dan tepat perlakuan jenayah yang disaksikannya dan kenyataan mereka semua adalah seragam dan tidak
ada percanggahan antara satu dengan yang lain, sama ada dilakukan secara berasingan antara mereka mengikut mazhab Shafi’i atau mereka melakukan serentak mengikut mazhab Hanafi.

Berdasarkan keterangan dan pembuktian empat saksi lelaki itu, maka jenayah zina atau liwat dapat disabitkan ke atas penjenayah. Jika pendakwa atau penuduh tidak dapat membuktikan dakwaan zina atau liwat itu dengan empat saksi maka, dia boleh dituduh melakukan jenayah Qazaf disebabkan tidak cukup bukti ke atas yang dituduh untuk disabitkan.

Qarinah

Qarinah maksudnya sesuatu tanda atau perkara yang diyakini ada kaitan langsung dengan sesuatu tindakan jenayah yang berlaku, atau sesuatu yang dapat diambil kesimpulan daripadanya oleh hakim tentang berlakunya jenayah tersebut. Ia diambil kira sebagai satu saluran untuk mendapatkan kenyataan terhadap kesalahan jenayah ketika ketiadaan fakta-fakta atau bukti-bukti yang lain.

Qarinah dijadikan sebagai bukti jenayah jika tidak terdapat bukti-bukti lain yang lebih kuat. Ia dijadikan bukti dalam jenayah Hudud. Contohnya, perempuan yang tidak bersuami mengandung, maka bukti “mengandung” itu dianggap sebagai qarinah adanya persetubuhan haram. Begitu juga dengan bau arak di mulut sebagai qarinah untuk disabitkan kesalahan minum arak; dan carik atau luka pada faraj perempuan menjadi qarinah berlakunya persetubuhan.

Memandangkan jenayah zina dan liwat termasuk dalam kumpulan jenayah Hudud, maka ia terikat kepada nas qat’iy dari sudut kesalahan, pembuktian, dan hukuman keseksaannya. Oleh itu, tidak ada sebarang penambahan prosedur yang perlu dilakukan kerana pembuktian dalam jenayah Hudud adalah pembuktian yang tepat dan benar, dan tidak ada sebarang keraguan. Sekiranya ada sedikit keraguan, maka kes itu dan hukuman asalnya digugurkan. Adalah lebih baik membebaskan seseorang yang tidak jelas bukti kesalahannya daripada menghukum seseorang secara zalim.

APAKAH SUMPAH BOLEH DIJADIKAN ASAS PEMBUKTIAN DALAM JENAYAH ZINA DAN QAZAF?

Sumpah (al-yamin) sama pengertiannya dengan al-khalaf dan al-qasam. Pengertiannya mengikut penggunaan umum ialah penegasan terhadap sesuatu hak atau kenyataan sama ada pengakuan atau penafian dengan menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Sumpah untuk penghakiman (al-Yamin al-Qadhaiyyah) ialah untuk mensabitkan pendakwaan bagi tujuan penegasan sabitnya hak atau penafian hak di hadapan hakim dengan menyebut nama Allah atau salah satu dari sifat-sifatnya.

Autoriti Sumpah

Sumpah diharuskan berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Allah S.W.T. berfirman:

“Allah tidak mengambil kira sumpah kamu yang siasia tetapi, Dia mengambil kira sumpah kamu yang benar-benar.”

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:

“Kalau manusia itu dibiarkan membuat dakwaan, nescaya manusia akan mendakwa hak darah dan hak harta sesuka hati, tetapi ditetapkan bahawa ke atas pendakwa membawa bukti dan yang didakwa ingkar hendaklah bersumpah.”

Hak sumpah adalah hak pihak yang didakwa, manakala yang mendakwa perlu mengemukakan bukti. Berdasarkan ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa sumpah adalah diharuskan dalam pertikaian hak. Ia menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa sumpah penghakiman hendaklah orang yang bersumpah menyebut Wallahi, Wabillahi, atau Rabbul ‘alamin dan seumpamanya. Sumpah penghakiman hendaklah diberikan dengan perintah hakim atau wakilnya untuk menyelesaikan kes berdasarkan kehendak hakim, demikian pendapat jumhur fuqaha’.

Hak-hak Yang Tidak Dapat Disabitkan dengan Sumpah dan Yang Dapat Disabitkan dengan Sumpah

Fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa tidak diharuskan bersumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pensabitan Hak Allah semata-mata sama ada ia kesalahan Hudud seperti zina, mencuri, minum minuman yang memabukkan atau yang berkaitan dengan ibadah semata-mata seperti solat, puasa, haji, sedekah, nazar dan kaffarah, melainkan jika ia ada melibatkan hak manusia, kerana hudud tertolak apabila ada kesamaran bukti.

Fuqaha’ juga sepakat berpendapat bahawa diharuskan sumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan harta dan seumpamanya. Pihak yang didakwa diberi hak bersumpah untuk memperakukan dakwaannya atau menafikannya. Demikian juga, fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa diharuskan bersumpah dalam perkara jenayah, melibatkan kesalahan qisas dan kecederaan termasuk juga sebahagian daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan.

Tuduhan zina antara suami isteri lebih kepada mencabuli keselamatan dan kesejahteraan rumah tangga yang lebih bersifat hak peribadi manusia daripada hak Allah kerana penglibatan tuduhan itu berlaku dalam keluarga tidak melibatkan masyarakat awam, tidak sebagaimana yang berlaku ke atas bukan keluarga.

Oleh itu bagi mensabitkan jenayah Qazaf yang berlaku antara suami isteri hendaklah pihak yang menuduh membuktikan tuduhan ke atas isterinya berzina, sekali pun didubur dengan bersumpah menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi atau Watallahi sebanyak empat kali bahawa isterinya melakukan zina dan kali kelima hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah jika ia berdusta maka laknat Allah ke atas dirinya.

Bagi isterinya jika ia menyangkal dakwaan suaminya hendaklah ia bersumpah dengan menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi, atau Watallahi, sebanyak empat kali bahawa dia tidak melakukan zina yang didakwanya, dan kali kelima ia bersumpah jika ia berdusta maka ia dilaknat oleh Allah S.W.T. Ini berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menuduh isteri mereka (berzina) tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar (an-Nur: 6). Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah ke atasnya jika ia termasuk orang-orang yang berdusta (an-Nur: 7).

Isterinya itu dihindarkan daripada hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta (an-Nur: 8).

Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar (al-Nur: 9).

Dengan sumpah ini menjadikan mereka berdua terpisah dan gugur ke atas suami hukuman Qazaf dan gugur atas isteri hukuman had zina.

Memandangkan jenayah Qazaf ini sebagai suatu jenayah yang serius dan terdapat nas qat’iy tentang ketetapan kesalahan, prosedur pembuktian dan hukuman keseksaannya, kerana ia diketegorikan sebagai kesalahan awam, maka sumpah tidak termasuk dalam prosedur pembuktian jenayah Hudud, kecuali dalam kes yang melibatkan tuduhan zina antara suami dengan isteri yang tidak diketegorikan sebagai kesalahan awam.

Kerana ia lebih kepada kesalahan peribadi dan kekeluargaan, maka ia sebagai kes pengecualian maka pihak yang membuat dakwaan diminta bersumpah laknat dengan nama Allah demikian juga pihak yang engkar dakwaan itu diminta bersumpah laknat dengan nama Allah.

Berdasarkan pandangan jumhur fuqaha’ bahawa kesalahan jenayah Hudud tidak termasuk dalam perkara yang boleh menggunakan sumpah untuk mensabitkan atau menafikannya kecuali pada masalah li’an, tuduhan zina yang melibatkan suami isteri yang diperuntukkan khusus dalam al-Qur’an sebagai pengecualian daripada prosedur umum pensabitan zina dan Qazaf.


KESIMPULAN
Jenayah zina dan liwat adalah termasuk dalam jenayah Hudud yang tidak ada peruntukan sumpah sebagai prosedur untuk membuktikan atau mensabitkan kesalahan. Penyelesaiannya setelah dibawa ke mahkamah ialah mahkamah menentukannya dan prosedur pembuktiannya harus dirujuk kepada peruntukan nas tentang pembuktian tuduhan Qazaf, iaitu mesti ada empat orang saksi yang adil, memberi penyaksian terhadap perlakuan jenayah yang didakwa di hadapan hakim dalam mahkamah. Sekiranya empat orang saksi tidak boleh dikemukakan, maka tuduhan itu dianggap palsu dan penuduh dikenakan kesalahan Qazaf.

Prosedur yang ketat dan hukuman yang keras diperuntukkan bagi mengelakkan manusia daripada membuat tuduhan menghina orang dengan kata-kata yang amat keji yang boleh meruntuh kerukunan hidup rumah tangga seseorang dan kehormatan diri yang dituduh serta seluruh keluarganya. Jenayah Qazaf adalah satu jenayah serius yang melibatkan kehormatan diri individu, keluarga dan keturunannya. Justeru itu, Allah menetapkan nas secara qat’iy dari sudut ketetapan kesalahan prosedur pembuktian dan hukuman keseksaannya.

1 Ibn Humam, Fath al-Qadir, jilid 4, h. 190.
2 Sharbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 4, h. 155.
3 Dasuqi, al-Sharh al-Kabir, jilid 4, h. 324.
4 Ibn Quddamah, al-Mughni, jilid 10, h. 201.
5 Sharbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 4, h. 144.
6 Kasani, Badai’iy wa al-Sonai’, jilid 7, h. 33-34.
7 Ibn Quddamah, al-Mughni, jilid 10, h. 120.


Salam Hormat.

drbadrulamin.blogspot.com

Facebook: Badrulamin II (Maaf, akaun "Badrulamin Bahron" dah penuh)

Tuesday, May 24, 2011

ARAK - IBU SEGALA KEJAHATAN...

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Kemunculan Malaysia sebagai negara yang menduduki tangga ke-10 peminum arak paling ramai di dunia, jelas meletakkan Malaysia sebagai negara lebih teruk dari negara-negara bukan Islam di seluruh dunia.

Dengan kedudukan itu juga, jelas melambangkan kegagalan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno dalam mendidik rakyatnya tentang bahaya arak agar menjauhinya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin Md Taib (gambar) berkata, kejadian itu turut menjadi satu tamparan hebat kepada umat Islam di negara ini, memandangkan negara ini adalah negara umat Islam dengan Islam sebagai agama rasminya.

Menurut beliau, dalam masa yang sama, ia turut melibatkan maruah para mufti sendiri di tanah air kerana Malaysia turut memiliki mufti yang ramai yang berjumlah 14 orang di seluruh negara.

Katanya, selain itu, ia turut memberikan tamparan hebat kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam yang berada di JPM yang walaupun tidak mempunyai kementerian khusus, tetapi berfungsi sebagai menteri yang bertanggungjawab penuh terhadap hal ehwal Islam di negara ini.

"Memang amat mengaibkan. Dah lebih 50 tahun Kerajaan BN yang ditunjangi Umno memerintah negara ini, tetapi masih gagal mengatasi masalah ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar milik MCA, The Star semalam menyiarkan statistik tahun ini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa Malaysia menduduki "ranking Top 10" peminum arak paling ramai di dunia.

WHO turut menjelaskan, Malaysia membelanjakan US$500 juta (RM1.5 bilion) untuk alkohol dengan kadar penggunaan per kapita sebanyak 7 liter, manakala penggunaan beer di Malaysia pula mencecah 11 liter per kapita.

Menurut Ustaz Taib, para pemimpin Umno sepatutnya berasa malu dengan statistik itu, memandangkan sebelum ini mereka begitu bangga apabila Amerika Syarikat mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam contoh.

Antara pemimpin Umno yang jelas menyuarakan kebanggaannya dengan pengiktirafan Amerika itu termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sendiri.

"Jadi sekarang apakah sudahnya? Patutlah Amerika mahu Malaysia jadi negara Islam contoh. Tidakkah para pemimpin Umno malu dengan apa yang berlaku itu?" katanya sinis.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, walaupun secara dasarnya statistik itu melibatkan orang bukan Islam, tetapi kejadian itu tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan BN tahu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan BN tidak sepatutnya membiarkan rakyatnya begitu bebas dengan minuman arak, tetapi mestilah ada dasar tertentu yang perlu dilaksanakan bagi kawalan dan pemantauannya.

"Selain itu, kerajaan juga perlu melaksanakan dasar-dasar tertentu ke arah mendidik rakyatnya agar faham dengan bahaya minuman keras. Tetapi tanggungjawab itu ternyata gagal dilaksanakan oleh Kerajaan BN," katanya.

Beliau turut bimbang jika statistik itu juga turut membabitkan umat Islam sendiri, memandangkan di negara kita sememangnya terdapat anak pemimpin sendiri yang menjadi taukeh syarikat arak terbesar di Filipina, San Miguel, manakala bapanya pula asyik menghentam ulama kononnya dialah yang lebih pandai mengenai hukum-hakam.

Lebih jauh dari itu, katanya, walaupun umat Islam sendiri tidak meminumnya, tetapi kegitan itu juga pasti turut melibatkan umat Islam kerana persoalan arak itu sendiri melibatkan 10 perkara atau 10 pihak.

"Antaranya termasuklah pihak yang mengeluarkan lesen penjualan arak, orang yang menyediakan pembuatannya, orang yang menghidangnya dan orang yang mengangkutnya.

"Walaupun saya hanya menyebut beberapa perkara dari 10 perkara itu, tetapi dari yang saya sebutkan itu, tidakkah ia juga turut terbabit dengan umat Islam?" tegasnya.

Dengan kedudukan Malaysia di tangga ke-10 peminum arak tertinggi di dunia, jelas beliau, ternyata menunjukkan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno tidak mengambil berat tentang perkara itu, walaupun ia akan mendatangkan kesan amat buruk kepada negara.

"Arak adalah ibu maksiat. Jika ia tidak ditangani dengan baik, ia pasti akan mendatangkan masalah besar kepada peminumnya sendiri, keluarga, masyarakat dan negara, termasuk mempertingkatkan lagi kes-kes gejala sosial," katanya.

Menurut beliau lagi, tokoh gerakan Islam, Al-Syahid Syed Qutb di dalam bukunya "Fi Zilli Quran" menjelaskan, kelebihan kepimpinan Islam antara lain akan menjaga dan mendokong kedaulatan agama, dakwah dan akhlak rakyatnya.

"Dalam Umno BN ternyata tidak ada landasan itu. Ia amat berbeza dengan PAS. Inilah yang perlu disedari oleh seluruh rakyat negara ini dengan memberikan sokongan padu kepada PAS dan Pakatan Rakyat, bagi membolehkan negara muncul sebagai negara yang diberkati Allah," ujar beliau.