Wednesday, March 25, 2009

Akhlaq dalam Islam

Sabda Nabi s.a.w. mafhumnya "Tujuan aku diutus adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlaq". Akhlaq mulia adalah intipati dari ajaran Islam. Orang yang mengerjakan solat, puasa, zakat, haji serta amalan ritual yang lain dalam Islam semestinya memiliki akhlaq mulia bukan sahaja pada Tuhan yang disembahnya tapi juga sesama manusia malah semua makhluq yang ada di alam ini. Bukankah Islam itu rahmat untuk seluruh alam (rahmatan lil`aalamiin)? Mengamalkan Islam akan membawa kabaikan dan rahmat untuk semua...

Berakhlaq pada Tuhan ialah dengan menjaga perintah serta laranganNya. Berakhlaq pada manusia ialah dengan mengamalkan sifat-sifat terpuji dalam pergaulan. Berakhlaq dengan alam ialah dengan memeliharanya dan tidak merosakkannya kerana Islam melarang kita melakukan sebarang kerosakan.

Isu global warming yang amat menakutkan kini adalah berpunca dari tingkah laku manusia. Manusia tidak berakhlaq pada alam. Asap kilang, kenderaan, rokok dll mencemar udara dan alam. Sampah, racun dll mencemar sungai dan laut. Pokok ditebang, bukit ditarah atas nama pembangunan yang rakus dan tamak dengan mengenepikan nilai akhlaq... Akibatnya? Tanah runtuh, banjir dan berbagai bencana lagi.

Ada pemburu ingin mendapat untung cepat dan banyak. Penghuni sungai dan laut di bom, diracun... anak ikan dan udang dibunuh dengan rakus... ibu udang yang sedang bertelur diratah... Akibatnya? Ikan dan udang serta penghuni air pupus...

Krisis ekonomi juga berpunca dari persoalan akhlaq. Orang-orang yang diamanahkan mengurus tadbir ekonomi adalah orang yang tidak berakhlaq. Akibatnya? Rakyat semakin terbeban dengan masalah ekonomi. Puluhan ribu (malah akan cecah ratusan ribu) orang dibuang kerja kerana tidak mampu dibayar gaji yang hanya seribu dua ribu seorang... Sedang dalam masa yang sama ada orang bergaji ratusan ribu sebulan (5.1 juta setahun). Tamak haloba, rasuah, pengkhianatan, penipuan dan segala sifat terkeji itulah yang menghancurkan ekonomi... Benarlah "kekayaan dunia ini cukup untuk manampung keperluan (need) semua, tapi tidak akan cukup untuk menampung tamak (greed) seorang".

Krisis politik juga begitu. Orang-orang yang mengurus kuasa politik adalah orang yang tidak berakhlaq. Fitnah, permusuhan, pembunuhan, rasuah, ugut, culik, blackmail dan segala sifat terkutuk itulah yang menyebabkan kemusnahan politik... Akibatnya? Perpecahan dan permusuhan yang tidak henti-henti...

Apa kurangnya dengan isu pendidikan? Oleh kerana orang-orang yang diamanahkan menjaga pendidikan adalah orang tidak berakhlaq maka berlakulah apa yang berlaku hari ini. Budak semakin bijak tetapi nilai akhlaq semakin hancur... Murid tidak hormat guru, anak-anak tidak hormat ayah ibu dan orang tua, remaja tidak peka dengan keharmonian alam dan persekitaran...

Nabi s.a.w bersabda mafhumnya "Sungguhnya Allah mewajibkan kita ihsan (buat baik) pada tiap suatu..." Ihsan adalah tuntutan akhlaq mulia... Marilah... Tegakkan nilai ihsan dalam diri, keluarga dan masyarakat... Kita akan hidup lebih bahgia...

Salam hormat!

Monday, March 16, 2009

Islam & Perpaduan.

"Wahdah Pemangkin Khayra Ummah" - Begitulah bunyi slogan sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Latar belakang - Lebih 10 tahun kita dipecah belahkan oleh politik jahat, fitnah dan kezaliman. 11 tahun rakyat menyaksikan pergaduhan. Ribuan rakyat hilang pekerjaan, ramai yang di kejar, dipukul, ditangkap, di belasah, disembur air kimia dan gas pemedih mata malah ada yang ditembak di jalanraya. Polis mencoroboh rumah ibadat, masuk ke masjid dengan kasut hanya untuk mengejar, menangkap dan memukul orang yang tidak berdosa. Akibatnya? Lebih 10 tahun masyarakat hidup dalam keadaan permusuhan, syak wasangka, kebencian serta dendam menggantikan kasih sayang, keamanan dan kedamaian yang diimpikan...

Wahdah (kesatuan)? Ya! memang itulah yang dicari selama ini... namun ia x semudah mencari ikan di pasar. Ianya bukan sekadar slogan atau seruan. Ianya memerlukan komitmen dan kesungguhan.

Jika benar ingin bersatu... Hentikan dulu politik jahat, fitnah dan kezaliman yang menyebabkan perpecahan selama ini. Kemudian cari titik persamaan yang boleh mempertemukan kita. Bangsa? Bukan! Lambang? Juga bukan! Lalu apa? ISLAM! Bagaimana pula dengan yang bukan Islam? Yang bukan Islam tidak ada masalah dengan Islam... Kerana mereka juga menegakkan nilai murni yang dianjurkan dalam Islam. Mereka juga menentang rasuah sama seperti Islam. Mereka juga menentang kezaliman, penipuan, penindasan, pencabulan hak sama seperti Islam. Hanya mereka yang suka dengan rasuah dan kezaliman sahaja yang takutkan Islam!

Lantas... Bagaimanakah untuk mengembalikan perpaduan, kedamaian serta keharmonian di negara ini? Hanya satu cara... Berikan kuasa pada orang yang punya komitmen untuk menegak keadilan dan kebaikan! Ketahuilah! Selagi kuasa ditangan orang yang zalim dan jahat maka selagi itu tidak akan tercipta kedamaian... Kebaikan dan keadilan hanya boleh ditegakkan dengan kuasa... Ia tidak akan tegak jika hanya dengan sekadar cita-cita dan kata-kata...

Dalam sejarah, hanya setelah kuasa berpindah dari Abu Jahal ke Muhammad barulah keamanan dan kedamaian tegak di Mekkah dan Tanah Arab...

Salam hormat!

Tuesday, March 10, 2009

Kekuatan Ruhani Dalam Perjuangan.

Hari ini (Selasa 10 Mac 2009) saya diberi penghormatan untuk hadir Majlis Tamat Latihan Kerohanian 40 Tahun Syekh Mahmud al-Majzub (Tok Ayah) di Madrasah Nurul Iman Ulu Langat.

Tamu kehormat yang lain termasuk beberapa Pimpinan keADILan (Mustafa kamil, Anwar Saleh, Shamsul Iskandar dll). Turut hadir ialah beberapa Pemimpin Kerohanian dari dalam dan luar Negara (Singapura, Thailand, Indonesia dan India) dan yang paling menarik perhatian ialah kehadiran Sami Di Raja (Royal Monk) Thailand bersama dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand dan rombongan.

Fokus utama perhimpunan yang diserikan dengan kehadiran ribuan hadirin dan hadirat adalah soal keamanan dan kedamaian. Dari ucapan-ucapan tokoh jemputan, jelas sekali betapa amalan Kerohanian punya kekuatan tersendiri yang amat istimewa dalam sesebuah perjuangan. Kekuatan ruhani itu amat luar biasa. Ia tidak mungkin dapat diukur dengan dengan mata kasar malah tidak mungkin dapat terjangkau oleh akal manusia.

Di penghujung majlis, himpunan ruhani yang sentiasa diiringi dengan zikir dan selawat itu telah menerima kejutan dengan kunjungan dua orang tokoh yang amat penting dalam melakar keamanan serta kedamaian bukan hanya di Malaysia malah rantau Asia dan Dunia. Mereka adalah YAB Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi dan YB Dato Seri Anwar Ibrahim.

Semoga kedamaian dan keamanan segera menjelma demi kemanusiaan sejagat...

Salam Hormat!

Tuesday, March 3, 2009

Allah Dalam Agama Lain.

Isu yang dilontarkan dihadapan saya ialah "Apakah agama lain boleh menggunakan nama Allah? Bolehkah orang bukan Islam mengucapkan salam? Bolehkah orang bukan bukan Islam menyebut Bismillah?"

Dalam surah az-Zumar 39:38 Allah berfirman bermaksud "Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..."

Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam telah berlaku sejak awal Islam. Sebahagian kitab suci mereka (terutama di Timur Tengah) juga menggunakan kalimah Allah. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah juga agak meluas di gereja-gereja. Cuma di Negara kita, fenomena ini agak baru dan memeranjatkan. Maka timbullah persoalan "sejak bila mereka mengaku Allah itu Tuhan?" dan soalan "Sejak bila pula mereka pandai menyebut Allah?" dan soalan lebih serius lagi "Apakah tujuan mereka ingin menggunakan kalimah Allah?" dan bermacam soalan lagi.

Mungkin soalan terakhir itu yang menimbulkan sedikit masalah dan ketegangan. Jika tujuan mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, maka itu hak mereka. Tiada siapa boleh menghalang. Bukankah Allah itu Tuhan semua - Rabbul `aalamiin - Lord of the Universe? Tapi jika tujuan mereka adalah untuk berdakwah dikalangan penganut Islam atau paling tidak untuk menimbulkan kekeliruan dikalangan orang Islam, maka hal itu dari awal lagi sudah bercanggah dengan Perlembagaan.

Menghormati keikhlasan mereka untuk membesarkan Allah, maka marilah kita seru mereka dengan seruan Allah dalam surah Ali `Imran 3:64 bermaksud "Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)".

Hal yang sama dengan pengucapan Salam dan Bismillah... Ianya sudah menjadi amalan biasa dikalangan orang bukan Islam di Timur Tengah. Malah penggunaan Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya juga sudah tidak pelik dan tidak janggal dikalangan mereka, berbeza dengan kita di Malaysia.

Jika orang bertanya wajibkah kita menjawab salam mereka? Jawabnya jelas wajib kerana itu ajaran Islam. Firman Allah dalam surah an-Nisa` 4:86 bermaksud "Dan jika kamu diberikan ucapan penghormatan maka balaslah dengan yang lebih baik atau jawablah (dengan yang serupa). Sungguhnya Allah menghitung tiap suatu."

Salam hormat.