Thursday, May 28, 2009

Fitrah Manusia Yang Rosak Punca Segala Fasad...

Apabila Allah berfirman kepada para malaikat "Aku akan cipta di bumi (manusia) sebagai khalifah (pentadbir)" maka Malaikat pun bertanya "Adakah Kau akan cipta didalamnya (dunia) orang yang akan merosakkannya (melakukan fasad) serta menumpahkan darah?". Allah menjawab "Aku tahu apa yang kamu tidak tahu..." (surah al-Baqarah 2:29-31)

Dengan berbekalkan ilmu maka Allah muliakan Adam. Tugasnya adalah untuk memelihara dunia serta beribadat pada Allah. "Aku tidak jadikan jin dan manusia selain untuk beribadat kepada Ku" (surah al-Zariyat 51:56). Selain ilmu, Adam dan zuriatnya (kita semua anak cucu Adam) juga dibekalkan dengan fitrah untuk memelihara sifat kemanusiaan. Sabda Nabi s.a.w bermaksud "Setiap anak yang lahir itu, lahir dalam fitrah". Maksudnya tidak ada manusia yang dilahirkan jahat kerana semua manusia lahir dengan sifat baik (fitrah - suci). Tidak cukup dengan itu, manusia juga di bekalkan dengan Islam, agama fitrah, sebagai panduan.

Bila fitrah (sifat baik) manusia dijaga dengan ilmu dan agama, selamatlah dunia ini tapi sebaliknya jika manusia mengenepikan ilmu dan agama, maka rosaklah fitrah (dia jadi jahat) dan binasalah dunia...

Hari ini kita berdepan dengan kerosakan (fasad) dalam berbagai bentuk - fasad dalam sosial, ekonomi, dan politik. Fasad itu tidak terbatas kepada isu alam sekitar sahaja malah meliputi segala sistem yang mengatur kehidupan kita termasuk fasad (kerosakan) dalam sistem perundangan, kehakiman malah keselamatan.

Sebenarnya segala yang berlaku hari ini bukan sekadar krisis sosial, ekonomi atau politik tetapi ianya adalah krisis kemanusiaan. Manusia hilang kemanusiaan akibat fitrah yang rosak dan diganti dengan fitrah kebinatangan juga kesyaitanan. Manusia yang rosak fitrah itu sanggup melakukan apa saja - menipu, merasuah, menculik, mengugut, melakukan kejahatan dan kezaliman hingga sanggup membunuh dengan kejam...

Ketahuilah! Selagi manusia tidak kembali kepada fitrah manusiawi, dia akan gagal berperanan sebagai 'pentadbir' 'pengurus' 'pemakmur' dunia (khalifah) dan selagi itulah kerosakan (fasad) akan terus berlaku...

Marilah kita bersama memelihara fitrah insani dengan ilmu dan agama...

Salam hormat!

Wednesday, May 6, 2009

Tiada Paksaan Dalam Agama.

Kes: Sepasang suami isteri yang telah berkahwin menurut upacara bukan Islam dan dikurniakan anak. Suami kemudian memilih untuk masuk Islam. Adakah anak itu akan ikut ayahnya jadi Islam atau kekal dengan ibu?

Pertama, konsep yang diamalkan dalam Islam ialah ayat Quran dalam surah al-Baqarah 2:256 bermaksud "Tiada paksaan dalam agama". Maka tidak ada sesiapa boleh memaksa anak itu untuk masuk Islam walaupun ayahnya sendiri.

Pertikaian antara suami isteri dalam soal anak sewajarnya diselesaikan secara perbincangan dan muafakat dalam ruh kekeluargaan atau menurut kaedah agama asal yang telah mengikat mereka atau paling tidak menurut mahkamah sivil yang sebelum ini menjadi rujukan dan sandaran mereka. Mahkamah Syari`ah hanya berperanan menyelesaikan kes suami isteri (keluarga) yang Islam.

Perlu diingat, kisah perebutan anak antara suami isteri berlaku dimana-mana dan di setiap masa dengan 1001 sebab. Jika ada orang menuduh yang "masuk Islam" itu sebagai punca pergaduhan serta perebutan anak, jelas tuduhan itu salah dan tidak berasas kerana krisis dalam keluarga itu telahpun lama berlaku dan hanya menanti saat keruntuhan (perceraian)... Dalam ertikata lain, jika seseorang masuk Islam kerana ingin mencari penyelesaian konflik keluarganya, maka jelas bahawa proses "masuk Islam" itu tidak ada kena mengena dengan masalah keluarga yang berlaku.

Jika ada orang berpendapat, dengan masuk Islam maka dia akan mendapat hak penjagaan anak, itu juga salah kerana tiada paksaan dalam Islam.

Ketahuilah bahawa seseorang itu masuk Islam adalah kerana kerelaannya untuk mencari kebenaran, kedamaian serta keselamatan yang diyakininya. Masuk Islam tidak memutuskan hubungan apalagi kasih sayang ayah-anak walaupun dia sudah tidak boleh bersama dengan isteri atau ibu anak itu.

Apa yang perlu ialah penghayatan Islam sebagai sebuah agama fitrah yang indah. Dengan mempamerkan akhlaq Islam yang baik, suami yang sudah Islam itu (dengan izin Allah) akan dapat menawan hati anaknya (setelah dewasa kelak) malah tidak mustahil juga isterinya untuk bersama dalam Islam.

Islam itu agama fitrah... Ianya mudah diterima oleh siapapun kerana tiap manusia lahir kedunia dengan fitrah... Yang penting Islam itu perlu difahami dengan tepat tanpa rasa prejudis dan syak wasangka.

Salam hormat.