Thursday, December 24, 2009

Wahabi Tidak Salah.

Ramai bertanya "salahkan Wahabi"? Tidak! Wahabi tidak salah. Yang salah ialah perangai pengikutnya (tidak semua) yang suka menyalahkan amalan orang lain. "Qunut bid`ah...", "Zikir ramai2 bidah...", "Doa ramai2 bid`ah...", "Tahlil bid`ah...", "Talqin bid`ah..." dan mcm2 lg...

Beginilah... Siapa tak nak qunut, jgn la qunut... dan tolong jangan ganggu orang yang qunut... masih ramai lagi yang tak solat subuh... Mudah kan? Yang jadi payah sebab kita suka menghukum amal orang lain sedangkan itu hanyalah khilafiyah... soal remeh temeh... Banyak lagi soal lain yang lebih besar... Isu rasuah, murtad, kezaliman, fitnah dll...

Nak tau? Perkembangan terbaru di Masjidil Haram, dorang dah buat 2kali azan masa solat Jumaat. Dulu, azan 2kali adalah bid`ah... Dari apa yang tersebar di Saudi, mereka akan kembali pada ajaran 4 mazhab kerana Raja Abdullah sendiri tidak senang dengan apa yang berlaku dalam isu bid`ah membid`ah.

Sebenarnya, ajaran Wahabi baru muncul setelah Khilafah Uthmaniyyah runtuh di Turki. Ketika Raja Saud (pengasas negara Saudi) mengambil alih kuasa, dia dibantu oleh Syekh Abdul Wahhab dan sejak itu bermulalah faham Wahabi...

Marilah berlapang dada... Masing2 perbanyak amal... nanti mati bawa amal masing2... dan jawab masing2... OK?

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Thursday, November 5, 2009

Isu Penahanan Dr Asri (Kenyataan Biro Agama PKR)


ISU PENAHANAN DR. MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN
3 November 2009

Insiden penahanan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA) mantan Mufti Perlis di tengah malam 1 November 2009 lalu adalah satu tindakan yang dikesali. Cara beliau ditahan oleh pihak JAIS bersama sejumlah besar anggota keselamatan amatlah menjengkelkan. Ia jelas menimbulkan persepsi buruk bahawa agensi penguatkuasa agama kita kurang professional dan berhemah dalam bertindak ke atas seorang tokoh agama yang disegani. Lebih parah, sebahagian masyarakat yang kurang menguasai pengetahuan Islam akan menjadi keliru dan penghormatan mereka kepada para ulama Islam juga akan luntur.

Beliau ditahan atas alas an mengajar agama tanpa tauliah. Namun, kami berpandangan bahawa tindakan JAIS adalah didorong oleh isu utama lain yang terpendam. Dr. MAZA dituduh sedang cuba mengembangkan aliran agama yang dinamakan Wahabi yang dianggap sesat dan memecahbelah umat. JAIS hanya mengiktiraf amalan agama mengikut mazhab Shafie. Maka, drama penahanan beliau tersebut hanyalah merupakan cebisan kecil dari konflik yang wujud. Tuduhan tersebut belumpun dibuktikan. Malah Dr. MAZA sendiri menafikannya.

Sebenarnya, isu ini bukanlah perkara baru. Ia telahpun menjadi isu usang yang sering diperbaharui semula berulang kali sejak beberapa dekad yang lalu. Ia telah mengakibatkan wujudnya aliran kaum muda dan kaum tua dalam pemikiran Islam di dunia Melayu suatu ketika dulu. Masyarakat Islam silam telahpun cukup serik melaluinya. Implikasinya mereka telahpun mencari formula penyelesaian secara terbaik. Lebih jauh lagi, masalah yang ditimbulkan bukanlah merupakan permasalahan pokok yang menjejaskan pegangan akidah seorang muslim. Ia hanyalah merupakan masalah kecil (furu’), khilafiyah dan bersifat pemikiran.

Pengalaman lalu memperlihatkan bahawa apabila isu ini dikendalikan tanpa memelihara adab al-ikhtilaf (adab berbeza pendapat), maka ia akan lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikannya. Akibatnya masyarakat Islam (apatahlagi masyarakat bukan Islam) akan bertambah keliru, porak-peranda dan mengorbankan nilai silaturrahim yang lebih aula dipertahankan.

Yang menjadi masalah adalah sikap para pendokong yang fanatik atau taksub dalam perkara-perkara cabang. Sepatutnya masalah ini tidak berbangkit lagi secara terbuka kerana ia telahpun menjadi sejarah. Biarlah ia dikaji dan dibincang oleh mereka yang berkelayakan, beramanah dan tahu menilai harga pemikiran ulama dan perbezaan pendapat mereka dalam masalah-masalah tertentu.

Kami tidak bersetuju dengan kaedah tindakan menahan beliau dilakukan. Pendekatan yang dilakukan adalah melampaui batas ke atas seorang ilmuan meskipun mungkin sebahagian pegangan dan pendekatan dakwah beliau tidak kita persetujui. Kaedah keras begini boleh menyebarkan sikap permusuhan dan ketegangan sesama umat Islam sendiri.

Sheikh Yusuf al Qardawi dan lain-lain ulama yang berwibawa pernah menyarankan supaya umat Islam lebih mengutamakan perkara usul berbanding furu’ dan khilafiyyah. Juga perlu lebih mengutamakan persaudaraan dan keharmonian berbanding perpecahan dan konflik berasaskan prinsip fiqhu al aulawiyyat.

Justeru, sepatutnya kelompok prihatin kepada Islam perlu lebih memberi perhatian kepada isu-isu lebih utama seperti kezaliman, rasuah, pembunuhan, fitnah, pembohongan, pendustaan, penganiayaan, ketidakadilan dan perzinaan yang berlaku.

Sebagai contoh, dikemukakan pendirian dan pendekatan dakwah Buya HAMKA, seorang ulamak besar, pendokong aliran Muhammadiah – sebuah pertubuhan Islam dominan di alam Melayu dan amat dihormati di dunia Melayu. Beliau yang kerap datang ke Malaysia menyampaikan dakwahnya, telah bersama-sama mengangkat tangan membaca qunut ketika solat subuh lantaran menghormati amalan masyarakat Islam setempat.

Berasaskan pandangan di atas, BIPPA ingin mengemukan enam langkah penyelesaian:

1. Kita perlu memahami fiqh kehidupan bersama orang lain yang berbeda pendapat hatta yang yang berlainan agama dengan kita.

2. Kita perlu menggunakan pendekatan wasatiyyah (keseimbangan dan kesederhanaan) dalam menyelesai segala konflik pemikiran seperti yang digesa di dalam Al-Quran.

3. Semua pihak perlu menghadapi pelbagai aliran mazhab pemikiran umat Islam ini dengan jiwa penuh silaturrahim, bertolak ansur dan menghormati kepelbagaian yang wujud.

4. Institusi-institusi agama seperti Jakim, Jabatan Agama Islam, Pejabat Mufti dan lain-lain agensi agama sewajarnya kerap mengadakan muzakarah secara ilmiah dan terbuka, telus dan adil dengan pelbagai pihak yang dianggap menimbulkan kontroversi agama.

5. Pihak penguatkuasa agama Islam di semua jabatan perlu diberi latihan dan keilmuan sewajarnya mengenai undang-undang berkaitan dan bagaimana mereka boleh melaksanakan tugas secara professional dan beretika.

6. Pendekatan yang berasaskan prinsip maqasid syari’ah (matlamat terakhir syari’ah) hendaklah diutamakan demi kesucian syari’ah itu sendiri. Lantaran itu, pendekatan menghukum hendaklah dijadikan pilihan terakhir.

Semoga peristiwa di atas menjadi ibrah kepada semua pihak. Kita juga berharap agar JAIS sebagai pihak berkuasa agama yang diamanahkan menjaga urusan agama untuk rakyat di Negeri Selangor tidak membiarkan diri diperalatkan oleh mana-mana pihak lain yang bermotif politik. Apatah lagi jika pihak tersebut dengan sengaja berniat untuk memburukkan atau memecahbelahkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang ada. Sekian.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
3 November 2009

Tuesday, November 3, 2009

Sedikit Catatan Perjalanan.

Alhamdulillah 3 hari berada di Cairo (28-31 Nov), sempat berprogram dengan pelajar Malaysia, bertemu dengan Mufti Mesir (Syekh Ali Jum`ah), berbincang dengan Syekh Taha Jabir al-Alwani dan bertemu dengan ramai ulamak lain.

Dihadapan ribuan pelajar, saya menekankan prihal pentingnya ilmu serta persiapan diri untuk melaksanakan tugas dakwah sambil menghimbau kenangan manis dan pahit ketika menuntut di Azhar 30 tahun yang silam (1979-1983). Yb Saifuddin menjelaskan isu2 terkini tanah air manakala DSAI berjaya memukau pelajar (dan pegawai2) dengan pidatonya yang hebat. Berbagai soalan dikemukakan & alhamdulillah semua dijawab dengan baik. Terimakasih & tahniah pada Ustaz Farhan (Pengerusi Gerakan Suara Rakyat Mesir) dan semua yang telah memberi layanan yang amat memuaskan. Tidak lupa ucapan terima kasih saya rakamkan khas buat pimpinan PMRAM serta Pegawai Pelajar Selangor & Kedah atas kerjasama yang diberikan.

2 hari di Bombay (1-2 Dis) menghadiri program anjuran Islamic Research Foundation dibawah kelolaan Dr Zakir Naik. Peluang bertemu dengan aktivis dakwah serta ulamak dari seluruh dunia. Yang paling istimewa ialah perbincangan dengan Imam Masjid al-Aqsa (Syekh Ali Abbasy), beliau menekankan betapa pentingnya umat Islam terus berjuang dan berjihad untuk menyelamatkan al-Aqsa dari cengkaman Zionis Yahudi.

Sekembalinya kami pagi tadi, dari KLIA saya terus ke Mahkamah Jalan Duta untuk sambungan bicara kes Arsenik 2 (Imam Solat Hajat di Masjid Negara 1999). Perbicaraan akan berlangsung selama 2 minggu. Dari KLIA, DSAI juga terus ke Mahkamah yang sama (kamar berlainan) untuk sebutan Kes Liwat Siri2 (kes ditunda ke bulan depan). Dalam masa yang sama Yahya Sahri juga dihadapkan ke Mahkamah S.Alam...

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Monday, October 26, 2009

Bila Rasuah dikata Hadiah...

Nabi s.a.w. telah peringatkan kita dalam banyak hadith bahawa diakhir zaman nanti orang sudah tidak peduli dari mana ia dapat harta samada halal atau haram. Tepat sekali. Hari ini orang bukan saja tidak peduli halal haram malah mereka menghalalkan yang haram dengan memberikan jenama baru pada yang haram itu. Contoh yang paling jelas adalah rasuah.

Walaupun Isa Samad telah didapati bersalah kerana kerana rasuah dengan menyogok wang pada perwakilan tapi masih ada orang mengatakan yang itu bukan rasuah tetapi bemberian hadiah... Walaupun terang rasuah berlaku dalam kes kapal selam, jet juang, pembinaan stadium, PKFZ dsb tapi orang mengatakan itu bukan rasuah tapi komisyen...

Ingatlah... walau satu dunia orang mengatakan rasuah itu halal... ketahuilah bahawa ia tetap haram... dimana pemberi rasuah dan penerima rasuah akan dicampak dalam api neraka... Bagaimana pula dengan orang yang menyokong rasuah?

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Tuesday, October 20, 2009

Beza Halal & Haram.

Q. Apa beza makanan halal dan haram? Saya lihat ramai orang yang makan benda haram tapi baik perangainya dan ada yang konon makan benda halal tapi buruk perangai.

A. Pertama... Baik atau buruk sesuatu itu bukan akal yang menentukan tapi agama. Apa yang Tuhan suruh itu semuanya baik dan apa yang Tuhan larang semuanya buruk. Seorang itu suka tolong orang, tidak bohong, tidak fitnah maka dia orang baik, tetapi jika tidak solat maka tidak ada kebaikan padanya menurut agama.

Kedua... Halal bukan sahaja pada bendanya tapi sumbernya. Makan minumnya halal tapi dibeli guna wang haram atau syubhat maka tidaklah halal namanya.

Adapun beza makanan halal dan haram bukan pada sangat unsur zatnya tapi pada unsur ruhaninya. Dari segi rasa, ayam goreng yang tidak halal munkin sama saja dengan ayam goreng yang halal tetapi... makan ayam goreng halal mendekatkan seseorang pada Tuhan (rajin serta mudah beribadat) manakala makan ayam goreng haram menggelapkan hati dan menjauhkan seseorang dari Tuhan (malas solat, malas ngaji dsb.)

"Tidak wajar bagi seorang beriman, jika Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu, tapi dia memilih yang lain..." Al-Ahzab 33:36.

Moga kita patuh dengan paraturan halal dan haram Allah demi kesejahteraan hidup dunia akhirat.

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Tuesday, October 13, 2009

Assalamualaikum w.w.

Salam hujung Syawwal... Tahniah pada yang telah Raya 6 Syawwal... Yang belum, moga dapat disempurnakan. Jika tidak berjaya tahun ini, moga Allah panjangkan umur kita untuk bertemu dangan Ramadan dan Syawwal tahun depan... Amin.

Saya mohon maaf kerana lama x update blog, ramai yang bertanya... Hmmm selain PC rosak, memang terlalu sibuk dengan program Ramadan (pagi petang subuh siang dan malam). Ujung Ramadan ke Sabah seminggu (program di KK dan Raya di Tawau). 3 Okt terima menantu (terima kasih yang sudi datang meraikan majlis di Masjid Faizin Kepong). 10 Okt sekali lagi walimah dibuat di Sabak Bernam. Alhamdulillah kedua-dua majlis lancar. Terima kasih pada semua yang terlibat membantu... Saya tidak mampu membalas jasa, pertolongan serta pengorbanan semua... Moga Allah mudahkan urusan sahabat semua dunia dan akhirat...

Ramai juga tanya tentang Bagan Pinang... Mudah saja... Itu kerja Allah, ketentuan Allah! Yang kita sedih bukan sebab kalah tapi sebab perangai anak muda bangsa kita yang seolah2 dirasuk setan hingga hilang akhlaq, budi dan hilang agama... Masih ada lagi aksi lucah "liwat" dipamerkan depan khalayak ramai... Ada yang tunjuk punggung menghina Takbir yang dilaungkan... Ada yang pijak lenyek kupiah menunjukkan sikap benci pada golongan yang memuliakan agama... Ada yang melaungkan kata2 hina "pergi jahannam dengan takbir awak..."dan berbagai lagi aksi, slogan yang manyayat hati...

Moga Allah selamatkan kita dari bala bencana Allah... yang jika turun tidak ada siapa (baik yang taat atau yang jahat ingkar) akan selamat kecuali dengan izin Allah...

Salam hormat!
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Thursday, September 24, 2009

Salam Idul Fitri.

Tahniah kepada semua yang telah melalui tarbiyah Ramadan... Moga kita berhasil memperoleh ijazah TAQWA yang dijanjikan Allah. Moga latihan yang dilalui siang dan malam tidak sia2...

Moha jadi orang yang lebih baik... Suami isteri yang lbh baik... ayah ibu yang lbh baik... anak, menantu yang lbh baik... ipar duai yang lbh baik... jiran yang lbh baik... manusia & hamba Allah yang lbh baik...

Islam menganjurkan kita memohon serta menghulurkan kemaafan... Jangan pula kotorkan fitrah dgn dosa2... dosa pada Allah hanya 3 syarat taubatnya... Tapi dosa pada manusia? Hentikan GHIBAH (mengumpat) serta jauhkan FITNAH & ZALIM. Jauhi orang2 yang menyebarkan FITNAH & melakukan keZALIMan. Jangan sampai menjadi orang2 yang bankrup (muflis) di akhirat kelak... Amal sendiri pun kurang, dosa orang lain pula ditanggung... Astaghfirullah...

Salam Idulfitri...
Salam kemaafan dari saya dan keluarga.
Badrulamin & Zumrah serta anak2...

Wednesday, September 2, 2009

Jangan Hina Tuhan Orang Lain (Kenyataan Rasmi Biro Agama PKR)

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”(Al-An’am: 108).

Adalah amat pelik dan mendukacitakan apabila melihat tindakan sekumpulan 50 penduduk mengarak kepala seekor lembu, melaungkan kata-kata provokatif dan bertakbir tidak pada tempatnya. Ia dilakukan pada hari (Jumaat) dan di bulan (Ramadan) yang cukup mulia bagi umat Islam. Seharusnya, bulan Ramadan ini dapat melatih kita untuk menundukkan nafsu amarah yang merajalela dalam diri. Tindakan kumpulan ini adalah terasing dan bukan mewakili kehendak Islam. Agama mengajar kita agar menangani isu-isu seperti yang dihadapi dengan penuh kesabaran, bijaksana dan berhikmah.

Kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah suatu perlu diizinkan. Inilah iklim yang kita mahu demi membina masyarakat madani dan masa depan negara yang lebih gemilang. Namun, apabila kita lupa kepada adab dan susila yang sewajibnya, ia jadi memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat. Malah, lebih parah ia boleh menimbulkan tindakbalas anarki yang mungkin tidak mampu kita kendalikan lagi.

Inilah garis panduan yang ditetapkan Allah di dalam ayat diatas. Jelasnya, tindakan provokatif ke atas agama lain seperti ini boleh mencetuskan reaksi dan ketegangan yang tidak perlu sama sekali dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan harmoni ini. Bukankah Islam itu merupakan agama pelindung dan rahmat untuk sekalian alam?

Melihat kepada ironisnya peristiwa yang terjadi, kita mengesyaki bagaikan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memenuhi agenda politik tersirat yang telah dirancang lebih awal. Maka itu, semua pihak perlu berhati-hati dan berwaspada.

Dengan kejadian ini, kita menuntut agar tindakan segera hendaklah dilakukan oleh semua pihak berwajib – polis, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agama sendiri. Siasatan perlu perlu dibuat, siapa sebenarnya mereka (khususnya kewujudan individu yang tidak dikenali bersama kepala lembunya), siapa di belakang mereka dan apakah matlamat mereka sebenarnya.

Kita juga memohon kesabaran dan ketenangan semua pihak. Suasana dialog dan mesyuarah dalam menyelesai segala kemelut yang berlaku hendaklah disuburkan. Ini sudah pasti dapat meningkatkan persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakatnya. Bukankah Islam itu agama yang membawa kesejahteraan?

Diterbitkan semula:
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Friday, August 28, 2009

Isu Kartika, Arak & Sebat - Ihsan Dr Md Nor Manuty

Sebat Kartika hampiri Syariah.

Oleh: Dr Muhammad Nur Manuty
Ogos 27, 09

Komentar Polemik yang melanda negara mengenai isu hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno yang sedang hebat diperkatakan sekarang ini menampakkan dengan jelas kekeliruan banyak pihak – orang Islam dan bukan Islam - mengenai prinsip keadilan Islam dalam melaksanakan syariah.

Isu ini hendaklah dilihat dalam satu perspektif yang tepat dan holistik. PKR berpandangan bahawa ia bukan berpunca dari keraguan kepada keadilan syariah Islam, tetapi ia lebih disebabkan oleh lunturnya kepercayaan ke atas integriti sistem pentadbiran dan pelaksanaan syariah itu sendiri.

Sebagaimana integriti sistem kehakiman negara yang terhakis lantaran pelbagai gejala skandal, maka perkara yang hampir sama jugalah terjadi kepada pelaksanaan hukum syariah kita.

Jelasnya, ia telah dicemari oleh pengaruh sistem politik negara masakini yang dibarahi dengan pelbagai penyelewengan dan gejala rasuah.

Maka akibatnya, kita melihat pelbagai ketempangan dan ketidakadilan berlaku dalam pelaksanaan hukum Islam di negara ini.

Banyak kes yang melibatkan golongan atasan dan berpengaruh tidak diadili dengan seadilnya dan akhirnya mereka dibebaskan daripada sebarang tindakan undang-undang syariah.

Memadailah kami memberikan dua contoh berikut:

Mufti Selangor yang dipecat lantaran mempertahankan tindakan undang-undang syariah yang dilaksanakan di negeri tersebut.
Kegagalan pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan bertindak segera menyiasat aduan fitnah liwat yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amat ketara, agensi pelaksana hukum syariah tidak mampu melaksanakan keadilan kerana tekanan dari parti yang memerintah. Akibatknya, mereka dilihat gagal menangani pelbagai isu secara tuntas, menyeluruh dan seadilnya tanpa mengira status dan gender.

Hasilnya, kredibiliti agensi-agensi ini akan sentiasa dipandang rendah dan tidak meyakinkan rakyat.

Fenomena yang sama sedang dialami dalam kes jenayah arak. Ia hanya melibatkan hukuman terhadap orang awam yang lemah, rakyat yang miskin dan kaum wanita.

Pihak berkuasa dilihat gagal untuk bertindak dan menghukum para usahawan, tokoh politik dan pemimpin yang berada di belakang industri arak ini.

Dalam kes Kartika Dewi, PKR berpandangan bahawa dalam keadaan para ulama sendiri berbeza pendapat tentang jenis hukuman dan bilangan sebatan, hukuman yang dijatuhkan (terhadap wanita ini) "mendekati" hukuman Islam.

Namun begitu, sikap Kartika yang mengakui dan menyesali kesalahannya, serta tidak membantah hukuman yang dikenakan amatlah dipuji.

Ia menampakkan, sebahagian daripada matlamat pelaksanaan hukuman syariah telah tercapai maksudnya.

Kita juga berpandangan bahawa Kartika berhak mengemukakan rayuan untuk diringankan hukuman ke atas dirinya dan pihak bertanggungjawab wajib mempertimbangkan rayuannya itu.

Sehubungan hal di atas, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada sepotong ayat al-Qur'an yang bermaksud:

"Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya sebagai pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melaksanakan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al Ma'idah: 38-39)

Sebagai jalan keluar, dalam usaha ke arah mengakhiri permasalahan di atas untuk jangka pendek PKR ingin mencadangkan langkah-langkah berikut:

- Kartika Dewi perlu diberi peluang untuk membuat rayuan untuk diringankan hukuman ke atas dirinya.
- Semua pihak berkuasa termasuk pemimpin-pemimpin politik hendaklah memberi kebebasan kepada autoriti perlaksanaan syariah bagi melaksanakan tugas mereka secara professional.
- Mengiktiraf hakikat kuasa mentadbir hukum syariah adalah milik seutuhnya umat Islam.

Untuk jangka panjang, agensi pelaksana hukum syariah hendaklah diperkasakan melalui:

- Program-program tarbiyyah mendidik masyarakat Islam supaya mengelakkan diri dan meminum arak hendaklah dilancarkan secara besar-besaran oleh semua pihak –agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan-pertubuh an NGO.
- Latihan-latihan yang lebih professional dalam pelbagai bentuk berkaitan.
- Usaha-usaha penyelarasan dan penyeragaman hukuman syariah segera dilakukan diseluruh negara.
- Rakyat perlu mempastikan wujudnya barisan kepimpinan negara yang berilmu pengetahuan dalam hal-hal keagamaan dan berintegriti.
- Selagi sistem politik negara gagal dirobah dan direformasikan, maka selagi itulah perjalanan mahkamah syariah kita tidak akan dapat berjalan dengan seadilnya. Kegagalan melaksanakan Islam secara adil akan menjadikan Islam terus dipandang lemah oleh orang bukan Islam dan di mata masyarakat antarabangsa.

(Dr Muhammad Nur Manuty, bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), kini pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR)

Thursday, August 27, 2009

Mohon Laluan untuk IKlan Mancing...

PERTANDINGAN NGAIL PANTAI.

Tarikh: Ahad 25 Okt 2009

Tempat: Pantai Sekendi Sabak Bernam.

Masa: 8 pagi - 1 ptg.

Yuran: RM30 satu Joran.

Hadiah: Juara RM3000. Kedua RM1000. Ketiga RM500. 6 saguhati RM100 tiap satu.

Dapatkan tiket sambil menderma untuk keADILan Sabak Bernam.

Hubungi Us.Bad 013-3974050 atau Sani 014-6616200 sebelum 15 Okt.

Salam.

Thursday, August 20, 2009

Haram Pilih Pemimpin Penipu!

Surat khabar UMNO kata calon mereka "peguam" sedang calon PAS hanya "peniaga"... Tapi mengapa Rohaizat tidak meletakkan kerjaya 'peguam' dalam borang penamaan calonnya pada hari penamaan calon tersebut? Sebaliknya, dia hanya mengaku yang dia adalah ahli peniagaan sama seperti calon Pakatan Rakyat dari PAS Mohd Salleh Man.

Jawabnya mudah! Rohaizat bukan peguam! Menurut Presiden Majlis Peguam Negara Ragunath Kasavan, Rohaizat telah ditarik balik (struck off) status peguamnya berdasarkan Bahagian 103D Akta Guaman 1976 atas kes penyelewengan wang.

Majlis Peguam membatalkan lesen Rohaizat kerana jenayah pecah amanah melibatkan wang RM161 ribu milik Koperasi Pekebun Kecil tahun lalu. Muhyiddin berkata, kes pecah amanah itu tidak boleh dikaitkan dengan peribadi Rohaizat... Astaghfirullah... Inilah sifat dan watak sebanar pemimpin UMNO. Jenayah dan salah laku yang dilakukan oleh mereka tiada kaitan dengan akhlaq dan peribadi mereka... Sebab itu ramai orang UMNO Solat dan Haji tapi rasuah dan kaki mungkar... Hancur!

Soal peribadi seseorang calon wajib dihitung kerana Allah memerintahkan kepemimpinan Islam mestilah memiliki akhlaq serta integriti. Bagaimana mungkin seorang yang pecah amanah boleh diserahkan amanah untuk memimpin?

Apa hukum memilih orang seperti ini sebagai pemimpin? Ingat sabda Nabi s.a.w. bermaksud "Apabila amanah diabaikan maka tunggulah saat kehancuran... sahabat bertanya, bagaimanakah amanah diabaikan? Baginda menjawab, jika suatu urusan diserahkan pada orang yang tidak layak..." Oleh itu haram hukumnya memilih pemimpin yang tidak amanah, tidak berakhlaq dan zalim!

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Monday, August 17, 2009

Amalan Ruhani Mengelakkan H1N1.

Berbagai panduan telah diberikan untuk mengelakkan selsema babi antaranya; selalu basuh tangan, pakai penutup mulut dan hidung, jangan pergi tempat ramai orang berkumpul, jaga jarak (dua meter) dgn org sakit (selsema, batuk, bersin), minum air kelapa muda dll...

Sebenarnya amalan keruhanian dalam Islam adalah perisai yang cukup kuat untuk mengelakkan wabak tersebut.

Wuduk lima kali sehari lebih dari sekadar basuh tangan. Dalam wuduk, kita diajar basuh tangan hingga kesiku, muka, kepala, telinga dan kaki hingga buku lali...

Solat dan zikir menguatkan hati dan jiwa... Bila hati dan jiwa kuat, maka tubuh akan kuat...

Sedekah mengelakkan mala petaka selain menyuburkan harta dan diri...

Solat jamaah (Jumaat dan lima waktu) tidak akan menyebabkan virus itu merebak walaupun kita berkumpul serta duduk berdiri dalam keadaan amat rapat (tidak sah solat jamaah jika sof tidak rapat)...

Baca al-Quran kerana itulah doa ("jampi mentera") yang paling hebat! Bukankah al-Quran itu kalimah2 Allah? Apakah ada kalimah lebih baik dari al-Quran?

Disamping semua itu... amalkan madu asli. Nabi s.a.w bersabda maksudnya "Sesiapa menjilat madu tiap pagi maka ia selamat dari racun dan sihir..."

Selamat beramal!

Salam hormat
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Wednesday, August 5, 2009

Beberapa Persoalan Tentang Doa & Nisfu Syaaban.

Q: Apa hukum baca yasin malam nisfu Syaaban?
A: Tidak ada salahnya baca Yasin pada bila2 masa pun dengan niat (hajat/doa) apa pun. Bacalah Quran atau mana2 surah atau mana2 bahagian dari Quran dan berdoalah dengan doa yang baik bila2 masapun juga.

Q: Benarkah pada malam nisfu Syaaban Allah mengkaji semula catatan hambaNya?
A: Wallahu a`lam. Yang pasti Allah berhak merubah apa saja yang telah ditentukan atas hambanya pada bila2 masa yang Ia kehendaki. Rezki, ajal, amal, nasib seseorang telahpun ditulis apabila ruh masuk dalam janin (ketika kita dalam rahim ibu) namun, Allah berhak merubah semua itu.

Q: Bolehkah buku catitan kita yang telah ditentukan sejak azali itu diubah?
A: Allah Maha kuasa melakukan apa saja (Qudrat) menurut apa saja kehendakNya (Iradat). Firmah Allah bermaksud "Allah menghapus apa saja (dari buku catitan) dan menetapkan apa saja yang Dia kehendaki, dan ditangan Nya Ummul Kitab (ibu kitab)..."

Q: Bukankah Qada dan Qadar Allah tetap akan berlaku?
A: Betul! Tetapi Allah berhak merubah satu ketetapan pada satu ketetapan yang lain menurut kehendak Nya. Sabda Nabi s.a.w. bermaksud "Tidak akan dapat ditolak suatu qada (ketetapan) melainkan dengan doa". Dari itu berdoalah...

Catitan: Selama ini mengapa kita berdoa jika tidak ingin suatu yang terbaik dari Allah? Jika segalanya telah tetap dan tidak boleh diubah, maka untuk apa kita disuruh berdoa? Kita diperintah agar husnuz zann (sangka baik) pada Allah... Berdoalah dan husnuz zann lah pada Nya yang Dia akan memberi yang terbaik dari doa kita...

Macamanapun, doa hendaklah diiringi dengan usaha... Satu ketika wabak melanda dan Umar al-Khattab menasihatkan sahabat2 keluar ke daerah lain. Sahabat bertanya "apakah kita ingin lari dari qadar (ketentuan) Allah?" Umar menjawab "Kita lari dari dari qadar Allah ke qadar Allah (yang lain)..."

Salam hormat.
Http:www.drbadrulamin.blogspot.com

Tuesday, July 28, 2009

Pegang Lilin Haram?

Q: Betulkah seperti kata mufti Perak bahawa pegang lilin dalam perhimpunan itu haram?

A: Pertama, saya tidak dengar sendiri fatwa tersebut. Oleh itu tidak perlulah saya jawab beliau tambahan pula akhir2 ini memang fatwanya dipandu oleh kepentingan politik BN (umno) seperti fatwa "orang cina baca Quran" satu masa dulu... Yang jelas dalam isu lilin ini, kita berpandukan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud "Sungguhnya tiap amalan bergantung pada niat..."

Apakah niat pegang lilin itu untuk menyembah lilin tersebut atau menyembah Tuhan lain selain Allah? Jika itu niatnya maka haramlah! Tapi saya yakin tidak begitu... Bagi saya lilin hanyalah simbol cahaya seperti pelita (bagi Hindu) yang juga telah lama digunakan dalam musim-musim perayaan orang Islam.

Memang pelita dan lilin bukan dari ajaran Islam tapi salahkah kita memasang pelita dan lilin (termasuk juga lampu kelip-kelip sekarang ini)? Salahkah kita bermain pelita dan lilin? Apa hukum pasang lilin atas kek hari jadi? Dan banyak soalan lain lagi berkaitan lilin... Bagi saya, jika niatnya hanya untuk suka-suka bagi menambah kemeriahan maka tidaklah haram.

Begitu juga memegang lilin untuk menuntut keadilan dan kebenaran. Kini, negara kita berada dalam kegelapan akibat kezaliman penguasa. Sabda Nabi s.a.w bermaksud "Kezaliman itu adalah kegelapan dihari Qiamat". Dalam kegelapan itu, kita ketakutan... kita tidak mengenal kawan dan lawan... kita tidak kenal yang mana salah yang mana betul, yang mana baik yang mana buruk... Kita hidup dalam gelap! Teraba-raba... tercari-cari...

Oleh kerana itu, kita perlukan cahaya. Lilin dan pelita adalah lambang cahaya... Semoga cahaya kembali menyinari hidup kita... Amin!

Salam hormat.
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Thursday, July 23, 2009

Hukum Minyak Wangi ber Alkohol.

Q: Apa hukum minyak wangi yang ada alkohol? Sahkah solat menggunakan minyak wangi yang ada alkohol?

A: Pertama, saya ingin jelaskan bahawa alkohol bukanlah najis. Oleh itu minyak wangi yang ada alkohol tidak najis dan solat menggunakan minyak wangi yang ada alkohol juga adalah sah.

Persoalan alkohol berpunca dari kekeliruan tentang arak kerana dalam arak ada alkohol. Malah istilah alkohol juga digunakan untuk arak sehingga difaham bahawa arak itu alkohol dan alkohol itu arak (alkoholik adalah merujuk pada orang yang ketagihan arak). Maka orang menghukum alkohol sama seperti arak - najis dan haram.

Sebenarnya tidak begitu. Alkohol hanyalah salah satu dari bahan yang terkandung dalam arak. Bahan2 lain adalah air, gula dsb.. Jika diasingkan air yang terdapat dalam arak itu (dengan proses penyulingan atau proses lain), sudah tentu ia (air tersebut) suci dan tidak najis. Begitu juga dengan gula, alkohol yang terdapat dalam arak itu.

Yang haram dan najis adalah arak. Yang mudarat adalah arak. Yang memabukkan adalah arak berpandukan hadith Nabi s.a.w yang bermaksud "Tiap yang memabukkan adalah arak (khamar) dan tiap arak adalah haram". Jika arak terkena pada pakaian maka pakaian itu najis dan solat dengannya tidak sah.

Tapi ingat! Jika ada minyak wangi yang mengandungi bahan2 najis yang lain seperti bahan tertentu yang diambil dari binatang atau organ manusia maka minyak wangi itu adalah najis serta haram digunakan dan solat dengannya tidak sah.

Panduan umum tentang minyak wangi yang mengandungi bahan2 najis seperti itu adalah harganya yang mahal... Biasanya minyak wangi yang murah tidak mengandungi bahan najis tersebut... Terkecuali dari panduan umum ini minyak wangi yang menggunakan bahan yang sukar diperoleh seperti kasturi, ambar, gaharu dll kerana kadang2 harganya juga mahal...

Wallahu a`lam.
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Wednesday, July 15, 2009

Apa Hukum Dividen ASN/ASB?

Ini satu lagi persoalan lama yang sering ditanyakan. Halalkah atau haram?

Latar belakang: Pihak kerajaan telah memberi jaminan bahawa wang ASN/ASB dilaburkan dalam perniagaan yang halal, oleh itu menyimpan wang disitu adalah halal dan dividennya juga halal. Demikian yang ditegaskan oleh pihak yang bertanggungjawab ketika ASN/ASB mula dilancarkan.

Macamanapun, pada hakikatnya masih ramai yang ragu dengan jaminan tersebut. Ramai yang tidak yakin kerana berbagai cerita tersebar yang kononnya ASN/ASB juga terlibat dengan saham arak dan judi yang menjadi salah satu tunggak kekuatan ekonomi negara ini.

Halalkah atau Haram? Mudah sahaja... Rujuk balik perbincangan kita tentang Hadith Nabi s.a.w yang bermaksud "Tinggalkan apa yang meragukan, buatlah apa yang tidak meragukan". Maka pasti kita temui panduan bagi menjawab persoalan diatas... Jika yakin, buatlah tapi jika tidak yakin maka elaklah.

Q: Bukankah kerajaan sudah beri jaminan? Jika tidak halal maka kerajaanlah yang tanggung...

A: Benar, jika memang ia haram maka kerajaanlah yang tanggung dosa kerana menghalalkan yang haram tapi kitalah yang menanggung kesan akibat memakan wang yang haram itu... hati jadi gelap, berkarat, degil... dan yang paling kita takuti ialah hilangnya keberkatan dalam diri, pasangan (suami isteri) dan keluarga...

Berhati-hatilah...

Salam hormat.
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Tuesday, July 14, 2009

Hukum Perniagaan MLM.


Sudah banyak perbincangan tentang status perniagaan MLM. Ada yang menghalalkan ada juga yang mengharamkan. Yang menghalalkan berpendapat bahawa MLM hanyalah sebuah perniagaan sama seperti perniagaan-perniagaan yang lain. Yang mengharamkan pula berpendapat MLM adalah sejenis eksploitasi atas usaha serta wang orang lain...


Saya setuju mengatakan bahawa MLM itu halal jika ada padanya syarat-syarat sebuah perniagaan yang halal serta jauh dari perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak:

1) Produk yang diniagakan adalah halal & bermanfaat.
2) Rida meridai antara semua pihak yang terlibat (Syarikat, ahli, penaja, downline dan pembeli).
2) Tiada unsur-unsur tipu, khianat atau zalim dalam semua urusniaga.

Q: Bagaimana dengan komisyen upline yang diperoleh dari hasil kerja dan usaha downline dimana upline tidak melakukan apa2 selain menaja downline?

A: Ia halal jika downline sudah diperjelaskan tentang sistem itu dan dia (downline) rida. Pada hakikatnya, tugas mencari dan menaja downline itu dianggap usaha yang menghasilkan keuntungan pada upline. Ibarat seorang yang mengajar satu perkara yang baik maka ia dapat pahala hasil kerja orang yang diajar itu tanpa dikurangkan sedikitpun... (mafhum Hadith Nabi).

Q: Bagaimana jika tidak ada produk yang diniagakan dan keuntungan hanya dari hasil penajaan?

A: Tidak sah urusniaga jika tiada produk atau manfaat yang diniagakan. Contoh produk telah kita ketahui (spt sabun, ubat dll) manakala contoh manfaat ialah apa sahaja yang bermanfaat seperti kemudahan pelancungan, pendidikan, kesihatan dll...)

Sebarang soalan dialu-alukan...

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Sunday, July 12, 2009

Halal & Haram dalam Mu`amalat (Perniagaan).

Halal & Haram dalam Islam bukan hanya pada persoalan makan minum dan pakai tapi juga pada seluruh sistem yang mengatur kehidupan kita termasuk sistem mu`amalat atau perniagaan. Terdapat sekian banyak kitab besar dan kecil membahaskan persoalan perniagaan dalam Islam yang disebut Kitab al-Mu`amalat. Satu cabang mu`amalat ialah jual beli (al-bay`).

Islam meletakkan asas penting dalam proses jual beli iaitu "rida meridai" antara semua pihak yang terlibat. Al-Quran menggunakan istilah "tijaaratan `an taraadin minkum" (perniagaan atas asas rida meridai antara kamu). Selain itu Islam mengharamkan riba serta sebarang bentuk penipuan (ghish) atau pengkiahanat dalam sebarang mu`amalat.

Firman Allah bermaksud "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba". Nabi s.a.w. memperingatkan dengan hatidhnya bermaksud "Siapa yang menipu bukan dari golongan kita". Rasulullah s.a.w juga bersabda bermaksud "Peniaga yang jujur bersama ku dalam syurga seperti ini (Nabi s.a.w. merapatkan dua jarinya untuk menggambarkan betapa rapatnya kedudukan peniaga yang jujur itu dengan baginda dalam syurga)".

Antara jual beli yang dilarang ialah menjual sesuatu yang tidak pasti bendanya atau harganya untuk mengelak sebarang penipuan seperti menjual sesuatu yang belum ada, ikan dalam air, binatang dalam hutan dsb kecuali dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Ada orang bertanya, bagaimana dengan amalan mengutip wang korban setahun sebelum lembu dibeli sedangkan harga dan lembunya belum ada atau belum diketahui? Apakah itu termasuk dalam urusniaga yang ditegah?

Sekiranya ada perjanjian yang jelas tentang tujuan kutipan wang, jumlah dan tempoh kutipan dengan syarat-syarat tertentu yang disetujui oleh semua pihak, maka mu`amalah tersebut sah. Contohnya, tujuan kutipan itu adalah untuk mengumpul wang bagi membeli lembu korban, kutipan sebanyak RM30/orang (1 bahagian) sebulan selama 12 bulan, seekor lembu dikongsi oleh 7 orang atau bahagian, harga lembu adalah menurut harga semasa pada tarikh lembu dibeli (bukan tarikh mula kutipan) dan sebarang kekurang atau kelebihan wang akan diurus sesama ahli pada tarikh lembu dibeli... maka urusniaga itu tidak syak lagi adalah sah. Dan inilah yang banyak diamalkan dalam masyarakat kita hari ini untuk memudahkan ibadah melalui surau dan masjid atau persatuan...

Ingat, menjaga halal dan haram dalam perniagan menjamin keberkatan rezki...

Salam hormat.
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Thursday, July 9, 2009

Mendidik Jiwa dengan Sedekah...

Hadis Rasulullah SAW mafhumnya: "Apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Iaitu sedekah (jariyah) yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah bermaksud: "Menolak peminta sedekah dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada memberi sedekah tetapi diiringi dengan perbuatan atau perkataan yang menyakitkan hati..." (al-Baqarah: 263)

Firman Allah lagi maksudnya: "Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada Nya serta kelebihan kurnia Nya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan Nya." (al-Baqarah: 268)

Rasulullah SAW bersabda juga yang bermaksud: "Setiap makruf itu sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan." (riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya: "Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk (merendah diri) maka Allah akan naikkan darjatnya." (Sahih Muslim)

Allah SWT berfirman bermaksud: "Perumpamaan (nafkah) orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui". (al-Baqarah: 261)

Tazkirah Manik Urai
http://www.drbadrulamin.blogspot.com/

Wednesday, July 8, 2009

TAQWA - Jalan keluar semua masalah...

Firman Allah bermaksud "Sesiapa yang bertaqwa pada Allah, Allah akan buka jalan keluar (bagi semua masalah) dan beri rezki dari sumber yang ia tidak sangka-sangka...". Abu Zarr al-Ghiffari ketika minta nasihat, Rasulullah s.a.w. bersabda "Wahai Abu Zarr, aku berpesan pada mu, Takutlah Allah kerana Takut Allah itu adalah kepala segala urusan..."

Dari dua petikan diatas jelas pada kita kepentingan dan kekuatan sifat takutkan Allah. Ingatlah! "Sesiapa yang takutkan Allah, Allah akan menjadikan semua makhluq takut padanya... Tapi sesiapa yang tidak takutkan Allah, maka Allah akan menjadikannya takut kepada semua makhluq..." (ada orang takut pada manusia, takut pada pokok, takut hilang kerja, takut tidak makan... dan bermacam rasa takut lagi...)

Bijak pandai ada berkata "Semua manusia mati sekali tetapi orang yang takut... mati banyak kali". Jiwa dan kemanusiaannya akan mati setiap kali rasa takut menguasai dirinya walaupun jasadnya masih hidup bernyawa... Bila diugut dia mati, bila rasa terancam dia mati... Ketahuilah! Mati hati lebih dahsyat dari mati jasad kerana bila hati mati, jasad akan jadi bangkai bernyawa...

Tanda Taqwa pada Allah ada lima: T - tawakkal, A - akal, Q - qana`ah (rasa cukup dan syukur), W - wara` (menjaga hukum Allah), A - amanah dalam amalan...

Peringatan dari Manik Urai oleh
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Tuesday, July 7, 2009

Rejab: Raa - Jim - Baa (Rahmat - Jihad - barakah)

Rejab bulan Allah, Sya`ban bulan Nabi & Ramadan bulan kita, umat Nabi... Peristiwa besar berlaku dalam bulan Rejab ialah Israk & Mikraj. Peristiwa yang bukan hanya sekadar kisah tapi ujian keimanan untuk umat dulu, kini dan selamanya. Setiap kali bila berlaku pertembungan antara hak dan batil, iman kita diuji samada berpihak pada yang hak atau yang batil. Setiap kali berlaku pertembungan antara golongan baik dan jahat kita dituntut untuk menyatakan pendirian... Bukankah Allah mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah antara kita yang paling baik amalannya? (Surah al-mulk ayat 2).

Bila tiba saja Rejab, kita tidak habis membahaskan persoalan titik bengik seperti status hadis, amalan puasa, zikir dll... sedangkan ada banyak lagi persoalan besar yang perlu ditangani seperti isu fitnah, rasuah, perpecahan dll. Isu Masjidil Aqsa yang terus menghiris jiwa dan perasaan orang yang beriman jarang-jarang dibincangkan. Soalnya mengapa umat Islam yang berjumlah hampir 2 ribu juta gagal membela al-Aqsa? Ada banyak sebab tapi saya ingin fokus pada isu "kepimpinan" umat yang lesu & korup. Pemimpin umat Islam rasuah, membazir, menipu dan fitnah berlaku dikalangan pemimpin orang Islam.

Dalam negara kita, isu yang paling memalukan dan paling melemahkan kita ialah isu fitnah liwat atas Anwar Ibrahim. Kesan kes liwat 1998 atas ummat belum reda lagi dan esok (8 Jul) bermula pula kes liwat siri 2 di mahkamah. Kes ini diteruskan juga walaupun 4 orang doktor telah melakukan pemeriksaan dan mengesahkan yang dubur Saiful masih "dara" yakni tidak dimasuki sebarang objek... Kes ini diteruskan juga walaupun kita sekarang sedang berada di bulan Allah, bulan Rejab, bulan Rahmat, Jihad & Barakah - bulan Israk & Mikraj...

Bagaimanakah negara kita ingin beroleh Rahmat kasih sayang Allah sedangkan kita dipimpin oleh orang yang jauh dari Rahmat dan sifat kasih sayang? Malah kita dipimpin oleh orang yang terlibat dengan rasuah serta kes yang paling dahsyat dan memalukan iaitu kes pembunuhan kejam altantuya... Soalan lebih besar lagi ... "Apakah Allah telah mencabut Rahmat Nya dari kita dan negara kita?"

Mungkin jugak Allah telah mencabut RahmatNya kerana sikap kita selama ini sombong dan bongkak... Kita tidak peduli dengan hukum2 Allah... Tidak peduli dengan Halal & Haram Allah... Riba, kilang arak, pusat judi dan maksiat tumbuh subur dalam negara ini... Apakah kita ingin menunggu hingga turunya bala dan malapetaka?

Firman Allah bermaksud "Jika kami ingin hancurkan sebuah begeri, kami biarkan pemimpin2 mereka melakukan kejahatan dan kerosakan hingga mereka layak dijatuhkan hukuman, lantas Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya..."

Peringatan dari
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Friday, July 3, 2009

Sedikit Petua...

PETUA IMAM SYAFIE


Empat perkara menguatkan badan

1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas

Empat perkara melemahkan badan
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih

Empat perkara merosakkan mata
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama

4 CARA TIDUR

1. TIDUR PARA NABI
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan
bumi.

2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat
malam.

3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA
Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak
dimakan.

4. TIDUR SYAITAN
Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli neraka.


dinukilkan semula oleh

Http://drbadrulamin.blogspot.com

Wednesday, July 1, 2009

Air Mineral Merbahaya?

Sudah lama orang bertanya tentang air mineral yang didakwa mengandungi air holy water. Berbagai kisah yang dipaparkan untuk meyakinkan dakwaan itu. Ada yang lengkap beri nama produk seperti Al-Mansur, Al-Mubarakah, Al-Barakah, Bestari dan bermacam lagi. Apa pendirian kita?

Sebenarnya nabi Muhammad s.a.w telah pun memberikan panduan yang jelas bila kita berdepan dalam masalah atau situasi seperti ini. Sabda baginda s.a.w. bermaksud "Tinggalkan apa saja yang meragukan dan lakukan apa yang tidak meragukan".

Dalam hal ini bukan hanya air mineral tapi banyak lagi benda yang meragukan dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim yang perlu dihindarkan. Ini termasuk produk-produk yang jelas tertera logo halal tetapi sering dipertikaikan statusnya. Apa lagi dalam keadaan hari ini dimana industri halal tidak diurus oleh orang yang kenal dosa dan pahala tetapi orang yang hanya tahu menghitung untung rugi semata...

Hadis diatas jelas menyuruh kita meninggalkan apa saja yang meragukan kerana ia termasuk dalam kategori samar atau "syubhat" yang boleh membawa kepada hukum haram. Oleh itu jika kita ragu dengan sesuatu minuman atau makanan atau apa saja, maka elakkanlah. Banyak lagi pilihan minuman dan makanan lain yang ada di pasaran. Berusahalah mendapatkan yang terbaik untuk keluarga kerana usaha mendapatkan yang terbaik itu adalah jihad. Sabda Nabi s.a.w. bermaksud "Mencari yag halal itu adalah satu kefarduan..."

Dalam Islam kita dianjurkan melakukan sesuatu atas dasar yakin tanpa sebarang keraguan. Keraguan akan menimbulkan "was-was" yang mebuka pintu iblis dan syaitan untuk merosakkan ibadah kita. Dalam surah an-Nas Allah berfirman merintahkan kita berlindung dengan Nya dari gangguan al-waswasil khannas yang ditiupkan dalam hati manusia oleh Jin dan Manusia...

Was-was akan mengganggu hati dan hati yang was-was akan mengganggu ibadah. Ibadah jadi tidak khusyuk malah boleh menyebabkan seseorang itu malas melakukannya. Berusahalah kita mendapatkan yang terbaik untuk diri dan keluarga moga hati terus sentiasa bersih sebagai persiapan menemui Allah...

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com




Tuesday, June 30, 2009

Renungan... Bersedekahlah...

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan. Diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi. ''Dengan muka bengis si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu. Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tapi untuk diri dan keluargaku". Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk menolong orang itu.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami rugi dan dia jatuh lalu jadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis. Suami yang baru itu menjawab dengan tenang ''Demi Allah akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya ''Sedekah itu dapat menutup 70 ribu kejahatan''.

Anas Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud ''Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya''.

Diceritakan semula oleh
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Sunday, June 28, 2009

Perkara Haram yang dianggap Ringan...

Kita sering persoalkan tentang pakaian wanita dan aurat. Halal dan haram tentang wanita... Tetapi jarang sekali kita bicarakan tentang pakaian dan aurat lelaki. Mungkin kerana ada antara kita yang menganggap bahawa lelaki itu bukan simbol seks seperti wanita. Jika itu tanggapan kita terhadap lelaki maka jelas sekali ia salah kerana dalam Islam, hukum tetap hukum. Dan Islam telah menetapkan hukum tentang aurat lelaki dan wanita.

Meskipun ianya berbeza tetapi aurat tetap aurat. Jika aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tangan maka aurat lelaki hanyalah anggota antara pusat dan lutut (walaupun ada ulamak yang yang berpendapat bahawa mana2 bahagian tubuh lelaki yang menarik perhatian wanita juga adalah aurat seperti dada, lengan dan betis).

Bagaimana dengan emas dan sutera? Hari ini ramai lelaki yang memakai cincin, gelang (termasuk jam) serta rantai emas yang jelas diharamkan Islam. Sabda Nabi s.a.w bermaksud "Emas dan sutera dihalalkan untuk wanita dari umat ku dan diharamkan atas lelaki...". Larangan amat jelas tapi mereka masih memakainya walaupun mereka adalah orang-orang yang mengerjakan solat...

Mungkin saja solat mereka sah kerana memakai emas tidak membatalkan solat tetapi bayangkan bagaimanakah mereka mendekati Allah dalam keadaan melakukan perkara yang diharamkan Allah? Bagaimana mereka berdoa menadah tangan memohon pada Allah sedangkan ditangan mereka ada perkara haram yang menyebabkan kemurkaan Allah? Bagaimanakah doa mereka akan diterima?

Bayangkan selama 24 jam sehari mereka berada dalam keadaan maksiat kerana memakai emas yang diharamkan untuk lelaki memakainya... Bayangkan bangun dan tidur mereka dalam maksiat... duduk dan berdiri mereka dalam maksiat... setiap gerak laku mereka dalam maksiat...

Apakah kita menganggap emas dan sutera itu perkara kecil... atau menganggapnya sebagai fesyen yang sudah diterima oleh masyarakat? Ingat... Haram tetap Haram walaupun semua orang melakukannya... Dan tiap yang haram akan merosakkan hati... Peliharalah hati...

Salam hormat.
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Saturday, June 27, 2009

Halal & Haram dalam Islam.

Sabda Nabi s.a.w mafhumnya "Yang halal jelas dan yang haram pun jelas. Namun diantaranya ada perkara2 yang samar (syubahat). Sesiapa yang melakukan yang syubahat dikhawatiri ia akan melakukan yang haram. Setiap raja ada kawasan larangan, kawasanan larangan Allah adalah perkara2 yang diharamkan..."

Baik dan buruk dalam Islam tidak ditentukan oleh akal manusia tetapi oleh peraturan yang tetap yang di cipta oleh Allah yang telah mencipta manusia... Ini kerana akal manusia tidak mampu untuk menentukan apa yang baik dan buruk buat mereka. Tambahan pula akal dan latar belakang manusia berbeza sehingga apa yang difikir baik oleh seseorang belum tentu baik pada fikiran orang lain. Allah telah mencipta agama, dan agama itulah yang menjadi panduan baik dan buruk sesuatu...

Dalam Islam, apa yang halal itu baik dan apa yang haram itu buruk. Beramal dengan yang halal akan menjamin keselamatan dan kebahagiaan manusia dan begitu juga sebaliknya, beramal dengan yang haram akan membawa kepada kebinasaan dan kesengsaraan. Halal dan haram dalam Islam meliputi semua aspek kehidupan manusia dari soal peribadi (tatacara makan, pakai dll), kekeluargaan, kejiranan, kemasyarakatan dan kenegaraan... Semua itu diatur dengan rapi agar manusia terhindar dari kebinasaan dan penderitaan serta dapat mencapai tahap kejayaan dan kebahagiaan maksima di dunia dan akhirat.

Kerosakan yang berlaku hari ini adalah akibat perbuatan manusia yang tergamak melakukan apa yang diharamkan. Dari kerosakan akhlaq hinggalah kerosakan alam sekitar dan menjangkau ke kerosakan sistem ekonomi dan politik adalah kerana manusia melakukan perkara yang diharamkan. Bukankah Allah memerintahkan manusia berlaku adil dan ehsan dan mengharamkan kejahatan, kemungkaran dan kezaliman? Namun akibat fitrah manusia yang telah terhakis maka manusia banyak melakukan kejahatan dan kezaliman. Rasuah, tipu, tamak, fitnah dan bunuh adalah antara banyak perkara haram yang telah dilakukan manusia hingga mengakibatkan kebinasaan dan kesengsaraan...

Salam hormat
drbadrulamin.blogspot.com

Wednesday, June 24, 2009

Halalan Toyyiba Menjadikan Doa Makbul.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud "Sungguhnya Allah itu toyyib (baik) dan tidak akan menerima sesuatu melainkan yang toyyiba (baik).." Kemudian baginda menceritakan kisah seorang yang dengan khusyuk berdoa menadah tangan ke langit tetapi doanya ditolak Allah kerana makan minumnya yang haram...

Berapa ramai ayah yang berusaha mempastikan makan minum keluarganya halal dan toyyiba? Berapa ramai isteri yang bertanya pada suaminya samada wang yang diberi suami itu halal atau tidak? Berapa ramai kita yang tidak kisah tentang itu semua kerana berpegang pada konsep "asal dapat"... Jangan... jangan biarkan keluarga kita mengambil makan minum yang tidak halal kerana ianya akan menghalang doa kita dari didengar...

Satu hari Abu Bakar r.a. diberi susu kambing lantas beliau meminumnya. Namun setelah ia tahu yang susu itu adalah dari kambing seorang sahabat yang tidak dijaga dengan baik (dimana kambing itu sering makan tanaman dikebun orang lain) maka Abu bakar dengan segera memasukkan jarinya ketekak dam memuntahkan kembali susu yang diminumnya. Begitu bersungguh sekali sahabat Nabi ini memelihara setiap yang masuk kedalam perutnya demi menjaga hububngan hati dengan Allah...

Ketika kecil, ibu saya pernah memerintahkan saya mengembalikan timun yang saya ambil dari kebun jiran dengan katanya "jangan pulang kerumah selagi timun itu tidak lekat kembali di pokoknya..."

Peliharalah makan minum kita dan keluarga kita. Moga doa kita dimakbulkan Allah...

Tuesday, June 23, 2009

Halalan Toyyiba Melembutkan Hati.

Secara umum, anak2 sekarang lebih keras hati dari anak2 generasi dulu. Mengapa? Antara sebabnya ialah faktor makanan. Anak2 dulu tidak makan diluar rumah. Walaupun penat jauh bermain dia akan kembali kerumah untuk makan apa yang mak siapkan. Makanan dirumah sudah tentu halal, bersih... dimasak oleh mak yang baik dan ikhlas ingin melihat anak2 membesar sebagai anak baik...

Mulut mak sentiasa berdoa, mak ambil beras dengan bismillah, basuh beras dengan bismillah, tanak nasi dgn bismillah, hidang nasi dgn bismillah... pendek kata semua dgn nama Allah... Tangan mak itu berkat, sentuhan mak juga berkat. Anak dulu2 makan nasi yang diramas digenggam oleh jari2 mak yang suci. Anak2 dulu makan mengadap mak, basuh tangan dalam mangkuk tempat mak basuh tangan... Anak2 dulu makan saki baki makanan mak, minum segelas dgn mak... Bukankah memandang mak itu satu ibadah?

Berbeza dengan anak2 hari ni yang jarang2 makan di rumah sebaliknya makan diwarung2, gerai dan kadang restoran yang makanannya 'mungkin' halal tapi belum tentu dimasak oleh orang baik yang menjaga agama. (Berhati2 memilih tempat makan)...

Sabda Nabi s.a.w bermaksud "Bila seorang buat dosa, akan timbul titik hitam atas hatinya..." Harus diingat bahawa makan minum yang tidak halal menyebabkan dosa. Tiap dosa itu menggelapkan hati. Hati yang gelap jika tidak dirawat akan mematikannya. Tanda anak2 hati gelap atau mati adalah sifat degil, percakapan serta perlakuan yang kasar menyakitkan hati, suka perkara yang tidak baik (suka maksiat), malas solat (malas beribadat), suka buang masa, tak suka ditegur atau dinasihat, lebih mengutamakan kawan dari orang tua dan lain2 perkara yang akan menjadikan ia anak derhaka...

Didiklah anak2 kita dengan makan minum yang halal dan toyyiba... Moga mereka menjadi permata hati, penyejuk mata dan penyeri hidup dalam keluarga... Amin.

Monday, June 22, 2009

Makan Minum Halalan Tayyiba Jadi Ubat.

Satu hari Imam Imam Malik menjamu Imam Syafie yang bertamu kerumahnya. Imam Syafie makan dengan banyak hingga jadi tandatanya pada anak Imam Malik. Bila ditanya oleh Imam Malik maka Imam Syafie berkata "Makanan yang kau hidang adalah ubat kerana ia bukan hanya halal, tapi dimasak oleh isterimu seorang yang baik, dihidang oleh engkau sendiri seorang yang baik, dimakan dirumahmu tempat yang baik, bersama orang yang baik... Aku makan banyak untuk berubat".

Bagaimana jika makanan itu halal tetapi dimasak oleh oleh orang yang tidak baik atau fasik (tidak solat, tidak jaga hukum-hakam pakaian dan pergaulan)? Atau dihidang oleh orang yang tidak baik atau dimakan ditempat yang tidak baik bersama orang yang tidak baik? Jelas ia adalah racun. Bayangkan bagaimana pula jika makanan itu tidak halal... Sudah tentu ia membunuh hati. Bila hati mati... rosaklah manusia... Kerana manusia itu jadi baik selagi baik hatinya...

Pengalaman saya bertamu kerumah Tuan Guru Nik Aziz... Alangkah bahagianya kerana Tn Guru sendiri yang mengangkat minuman. Ketika Tn Guru keluar membawa dulang gelas dan air, kawan yang duduk disebelah saya ingin bangun menyambut dulang tersebut tetapi saya halang. Setelah pulang, kawan saya bertanya mengapa saya menghalangnya maka jawab saya "...bila Tn Guru yang hidang, air itu jadi ubat tapi jika engkau yang menghidangnya..." belum sempat saya menghabiskan ayat saya, kawan saya sudah faham dan berterima kasih pada saya kerana ia juga perlukan "ubat" itu...

Thursday, May 28, 2009

Fitrah Manusia Yang Rosak Punca Segala Fasad...

Apabila Allah berfirman kepada para malaikat "Aku akan cipta di bumi (manusia) sebagai khalifah (pentadbir)" maka Malaikat pun bertanya "Adakah Kau akan cipta didalamnya (dunia) orang yang akan merosakkannya (melakukan fasad) serta menumpahkan darah?". Allah menjawab "Aku tahu apa yang kamu tidak tahu..." (surah al-Baqarah 2:29-31)

Dengan berbekalkan ilmu maka Allah muliakan Adam. Tugasnya adalah untuk memelihara dunia serta beribadat pada Allah. "Aku tidak jadikan jin dan manusia selain untuk beribadat kepada Ku" (surah al-Zariyat 51:56). Selain ilmu, Adam dan zuriatnya (kita semua anak cucu Adam) juga dibekalkan dengan fitrah untuk memelihara sifat kemanusiaan. Sabda Nabi s.a.w bermaksud "Setiap anak yang lahir itu, lahir dalam fitrah". Maksudnya tidak ada manusia yang dilahirkan jahat kerana semua manusia lahir dengan sifat baik (fitrah - suci). Tidak cukup dengan itu, manusia juga di bekalkan dengan Islam, agama fitrah, sebagai panduan.

Bila fitrah (sifat baik) manusia dijaga dengan ilmu dan agama, selamatlah dunia ini tapi sebaliknya jika manusia mengenepikan ilmu dan agama, maka rosaklah fitrah (dia jadi jahat) dan binasalah dunia...

Hari ini kita berdepan dengan kerosakan (fasad) dalam berbagai bentuk - fasad dalam sosial, ekonomi, dan politik. Fasad itu tidak terbatas kepada isu alam sekitar sahaja malah meliputi segala sistem yang mengatur kehidupan kita termasuk fasad (kerosakan) dalam sistem perundangan, kehakiman malah keselamatan.

Sebenarnya segala yang berlaku hari ini bukan sekadar krisis sosial, ekonomi atau politik tetapi ianya adalah krisis kemanusiaan. Manusia hilang kemanusiaan akibat fitrah yang rosak dan diganti dengan fitrah kebinatangan juga kesyaitanan. Manusia yang rosak fitrah itu sanggup melakukan apa saja - menipu, merasuah, menculik, mengugut, melakukan kejahatan dan kezaliman hingga sanggup membunuh dengan kejam...

Ketahuilah! Selagi manusia tidak kembali kepada fitrah manusiawi, dia akan gagal berperanan sebagai 'pentadbir' 'pengurus' 'pemakmur' dunia (khalifah) dan selagi itulah kerosakan (fasad) akan terus berlaku...

Marilah kita bersama memelihara fitrah insani dengan ilmu dan agama...

Salam hormat!

Wednesday, May 6, 2009

Tiada Paksaan Dalam Agama.

Kes: Sepasang suami isteri yang telah berkahwin menurut upacara bukan Islam dan dikurniakan anak. Suami kemudian memilih untuk masuk Islam. Adakah anak itu akan ikut ayahnya jadi Islam atau kekal dengan ibu?

Pertama, konsep yang diamalkan dalam Islam ialah ayat Quran dalam surah al-Baqarah 2:256 bermaksud "Tiada paksaan dalam agama". Maka tidak ada sesiapa boleh memaksa anak itu untuk masuk Islam walaupun ayahnya sendiri.

Pertikaian antara suami isteri dalam soal anak sewajarnya diselesaikan secara perbincangan dan muafakat dalam ruh kekeluargaan atau menurut kaedah agama asal yang telah mengikat mereka atau paling tidak menurut mahkamah sivil yang sebelum ini menjadi rujukan dan sandaran mereka. Mahkamah Syari`ah hanya berperanan menyelesaikan kes suami isteri (keluarga) yang Islam.

Perlu diingat, kisah perebutan anak antara suami isteri berlaku dimana-mana dan di setiap masa dengan 1001 sebab. Jika ada orang menuduh yang "masuk Islam" itu sebagai punca pergaduhan serta perebutan anak, jelas tuduhan itu salah dan tidak berasas kerana krisis dalam keluarga itu telahpun lama berlaku dan hanya menanti saat keruntuhan (perceraian)... Dalam ertikata lain, jika seseorang masuk Islam kerana ingin mencari penyelesaian konflik keluarganya, maka jelas bahawa proses "masuk Islam" itu tidak ada kena mengena dengan masalah keluarga yang berlaku.

Jika ada orang berpendapat, dengan masuk Islam maka dia akan mendapat hak penjagaan anak, itu juga salah kerana tiada paksaan dalam Islam.

Ketahuilah bahawa seseorang itu masuk Islam adalah kerana kerelaannya untuk mencari kebenaran, kedamaian serta keselamatan yang diyakininya. Masuk Islam tidak memutuskan hubungan apalagi kasih sayang ayah-anak walaupun dia sudah tidak boleh bersama dengan isteri atau ibu anak itu.

Apa yang perlu ialah penghayatan Islam sebagai sebuah agama fitrah yang indah. Dengan mempamerkan akhlaq Islam yang baik, suami yang sudah Islam itu (dengan izin Allah) akan dapat menawan hati anaknya (setelah dewasa kelak) malah tidak mustahil juga isterinya untuk bersama dalam Islam.

Islam itu agama fitrah... Ianya mudah diterima oleh siapapun kerana tiap manusia lahir kedunia dengan fitrah... Yang penting Islam itu perlu difahami dengan tepat tanpa rasa prejudis dan syak wasangka.

Salam hormat.

Monday, April 20, 2009

Adil & Ihsan.

Salam sejahtera...

Ayat yang dibaca oleh rakan China kita hingga menggemparkan UMNO dan muftinya ialah Firman Allah dalam surah an-Nahli 16:90 yang bermaksud "Sungguhnya Allah memerintahkan (kita) menegakkan keadilan dan ihsan...". Ayat yang telah kita dengar sejak kecil, sejak kita mula melangkah kaki ke Masjid untuk hadir Solat Jumaat... Malangnya ramai kita yang tidak faham malah ramai juga yang tidak dengar (kerana lambat datang masjid atau sembang atau tidur ketika khutbah) atau buat-buat tak dengar...

Saya bertanya kepada rakan-rakan bukan Islam tentang ayat tersebut. Apa kata mereka? "Saya tertarik dengan konsep keadilan dan ihsan yang diajar dalam ayat itu kerana ia terlalu hebat..."

Memanglah hebat! Kerana konsep keadilan dan ihsan Islam adalah ciptaan Allah, Tuhan semesta alam... Ianya melampaui batas agama dan bangsa. Orang Islam wajib berlaku adil dan ihsan pada semua - Islam dan bukan Islam. Malah kita wajib berlaku adil dan ihsan pada haiwan, tumbuhan dan semua makhluk. Hatta dalam perang sekalipun, kita wajib berlaku adil dan ihsan pada musuh...

Dalam sebuah hadith Nabi yang panjang, Baginda s.a.w menasihati panglima perang agar bertaqwa pada Allah... Baginda seterusnya menasihati para tentera agar memelihara akhlaq. Antara pesan Nabi - Jangan merompak mencuri. Jangan cabul hak dan kehormatan orang. Jangan bunuh kanak2, wanita dan orang tua yang tidak bersenjata. Jangan bunuh binatang, jangan tebang pokok, jangan bakar rumah, jangan robohkan tempat ibadat... Malah jangan cacatkan mayat musuh... (termasuk jangan kerat mayat, jangan letupkan dll...).

Sungguh hebat! Fitrah manusia manakah yang tidak tertarik dengan konsep keadilan dan ihsan seindah itu? Ingin saya tegaskan sekali lagi... Hanya manusia yang memiliki fitrah haiwan buas sahaja yang akan menolaknya. Hati manusia yang sudah terlalu kotor dah hitam akibat rasuah dan segala macam kejahatan hingga tidak mampu membezakan antara baik dan jahat, salah dan benar...

Moga fitrah manusiawi kita terus terpelihara... Amin.

Salam hormat.

Saturday, April 11, 2009

Kebaikan Islam Untuk Semua

Salam sejahtera.

Dua minggu terlalu sibuk dengan Bkt Gantang dan Selambau. Berbagai isu dibincang dari soal bangsa, tanah, derhaka dll. Namun yang menarik perhatian saya ialah isu orang bukan Islam membaca ayat Quran hingga Dato Mufti Perak keluarkan fatwa bahawa perbuatan mereka itu menghina Islam.

Menghina Islam? Persoalan asas ialah mengapa kita melenting marah bila orang bukan Islam membaca ayat Quran sedang kita tidak rasa apa2 bila semakin ramai orang Islam yang tidak mahu membaca Quran?

Mereka kata - orang bukan Islam membaca ayat Quran secara tidak betul. Saya kata -Berapa ramaikah orang Islam yang belajar Ilmu Tajwid dan membaca Quran dengan tepat sedangkan belajar Tajwid adalah fardu ain (wajib) atas tiap orang Islam yang mukallaf?

Mereka kata - Mereka bukan Islam, kenapa mereka mahu baca ayat Quran? Saya kata - Tanyalah mereka. Saya sendiri sudah bertanya dan jawab mereka "kami percaya dengan kebaikan yang dianjurkan dalam Quran". Salahkah mereka (orang bukan Islam) menerima kebaikan Islam yang diajarkan dalam Quran? Mana satukah yang sebenarnya menghina Islam - Orang bukan Islam yang menerima kebenaran dan kebaikan Islam atau orang Islam yang menolak kebenaran dan kebaikan Islam?

Mereka kata - Kalau mereka percaya dengan Quran mengapa mereka tidak masuk Islam? Saya kata - Itu soal hidayah Allah. Siapa kita untuk bertanya hal itu? Memang betul mereka belum Islam tapi sekurang2nya mereka mahu menerima nilai baik yang dibawa dalam Islam. Bagaimana pula dengan orang yang mengaku Islam tapi menolak ajaran Islam?

Islam adalah agama fitrah dan tiap manusia ada fitrah kerana tiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah... Fitrah manusia yang inginkan kebenaran dan kebaikan satu masa pasti akan bertemu dengan kebenaran dan kebaikan Islam. Hanya manusia durjana (jahat) yang sudah jauh dari fitrah sahaja akan menjauhi kebenaran dan kebaikan Islam.

Bukankah Islam itu rahmat bagi seluruh alam? Mengapa pula kita ingin menghalang rahmat Islam dari dinikmati oleh orang lain? Jika kita enggan menerima kebenaran Islam... janganlah sampai kita menghalang orang lain dari menerimanya...

Salam Hormat.

Wednesday, March 25, 2009

Akhlaq dalam Islam

Sabda Nabi s.a.w. mafhumnya "Tujuan aku diutus adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlaq". Akhlaq mulia adalah intipati dari ajaran Islam. Orang yang mengerjakan solat, puasa, zakat, haji serta amalan ritual yang lain dalam Islam semestinya memiliki akhlaq mulia bukan sahaja pada Tuhan yang disembahnya tapi juga sesama manusia malah semua makhluq yang ada di alam ini. Bukankah Islam itu rahmat untuk seluruh alam (rahmatan lil`aalamiin)? Mengamalkan Islam akan membawa kabaikan dan rahmat untuk semua...

Berakhlaq pada Tuhan ialah dengan menjaga perintah serta laranganNya. Berakhlaq pada manusia ialah dengan mengamalkan sifat-sifat terpuji dalam pergaulan. Berakhlaq dengan alam ialah dengan memeliharanya dan tidak merosakkannya kerana Islam melarang kita melakukan sebarang kerosakan.

Isu global warming yang amat menakutkan kini adalah berpunca dari tingkah laku manusia. Manusia tidak berakhlaq pada alam. Asap kilang, kenderaan, rokok dll mencemar udara dan alam. Sampah, racun dll mencemar sungai dan laut. Pokok ditebang, bukit ditarah atas nama pembangunan yang rakus dan tamak dengan mengenepikan nilai akhlaq... Akibatnya? Tanah runtuh, banjir dan berbagai bencana lagi.

Ada pemburu ingin mendapat untung cepat dan banyak. Penghuni sungai dan laut di bom, diracun... anak ikan dan udang dibunuh dengan rakus... ibu udang yang sedang bertelur diratah... Akibatnya? Ikan dan udang serta penghuni air pupus...

Krisis ekonomi juga berpunca dari persoalan akhlaq. Orang-orang yang diamanahkan mengurus tadbir ekonomi adalah orang yang tidak berakhlaq. Akibatnya? Rakyat semakin terbeban dengan masalah ekonomi. Puluhan ribu (malah akan cecah ratusan ribu) orang dibuang kerja kerana tidak mampu dibayar gaji yang hanya seribu dua ribu seorang... Sedang dalam masa yang sama ada orang bergaji ratusan ribu sebulan (5.1 juta setahun). Tamak haloba, rasuah, pengkhianatan, penipuan dan segala sifat terkeji itulah yang menghancurkan ekonomi... Benarlah "kekayaan dunia ini cukup untuk manampung keperluan (need) semua, tapi tidak akan cukup untuk menampung tamak (greed) seorang".

Krisis politik juga begitu. Orang-orang yang mengurus kuasa politik adalah orang yang tidak berakhlaq. Fitnah, permusuhan, pembunuhan, rasuah, ugut, culik, blackmail dan segala sifat terkutuk itulah yang menyebabkan kemusnahan politik... Akibatnya? Perpecahan dan permusuhan yang tidak henti-henti...

Apa kurangnya dengan isu pendidikan? Oleh kerana orang-orang yang diamanahkan menjaga pendidikan adalah orang tidak berakhlaq maka berlakulah apa yang berlaku hari ini. Budak semakin bijak tetapi nilai akhlaq semakin hancur... Murid tidak hormat guru, anak-anak tidak hormat ayah ibu dan orang tua, remaja tidak peka dengan keharmonian alam dan persekitaran...

Nabi s.a.w bersabda mafhumnya "Sungguhnya Allah mewajibkan kita ihsan (buat baik) pada tiap suatu..." Ihsan adalah tuntutan akhlaq mulia... Marilah... Tegakkan nilai ihsan dalam diri, keluarga dan masyarakat... Kita akan hidup lebih bahgia...

Salam hormat!

Monday, March 16, 2009

Islam & Perpaduan.

"Wahdah Pemangkin Khayra Ummah" - Begitulah bunyi slogan sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Latar belakang - Lebih 10 tahun kita dipecah belahkan oleh politik jahat, fitnah dan kezaliman. 11 tahun rakyat menyaksikan pergaduhan. Ribuan rakyat hilang pekerjaan, ramai yang di kejar, dipukul, ditangkap, di belasah, disembur air kimia dan gas pemedih mata malah ada yang ditembak di jalanraya. Polis mencoroboh rumah ibadat, masuk ke masjid dengan kasut hanya untuk mengejar, menangkap dan memukul orang yang tidak berdosa. Akibatnya? Lebih 10 tahun masyarakat hidup dalam keadaan permusuhan, syak wasangka, kebencian serta dendam menggantikan kasih sayang, keamanan dan kedamaian yang diimpikan...

Wahdah (kesatuan)? Ya! memang itulah yang dicari selama ini... namun ia x semudah mencari ikan di pasar. Ianya bukan sekadar slogan atau seruan. Ianya memerlukan komitmen dan kesungguhan.

Jika benar ingin bersatu... Hentikan dulu politik jahat, fitnah dan kezaliman yang menyebabkan perpecahan selama ini. Kemudian cari titik persamaan yang boleh mempertemukan kita. Bangsa? Bukan! Lambang? Juga bukan! Lalu apa? ISLAM! Bagaimana pula dengan yang bukan Islam? Yang bukan Islam tidak ada masalah dengan Islam... Kerana mereka juga menegakkan nilai murni yang dianjurkan dalam Islam. Mereka juga menentang rasuah sama seperti Islam. Mereka juga menentang kezaliman, penipuan, penindasan, pencabulan hak sama seperti Islam. Hanya mereka yang suka dengan rasuah dan kezaliman sahaja yang takutkan Islam!

Lantas... Bagaimanakah untuk mengembalikan perpaduan, kedamaian serta keharmonian di negara ini? Hanya satu cara... Berikan kuasa pada orang yang punya komitmen untuk menegak keadilan dan kebaikan! Ketahuilah! Selagi kuasa ditangan orang yang zalim dan jahat maka selagi itu tidak akan tercipta kedamaian... Kebaikan dan keadilan hanya boleh ditegakkan dengan kuasa... Ia tidak akan tegak jika hanya dengan sekadar cita-cita dan kata-kata...

Dalam sejarah, hanya setelah kuasa berpindah dari Abu Jahal ke Muhammad barulah keamanan dan kedamaian tegak di Mekkah dan Tanah Arab...

Salam hormat!

Tuesday, March 10, 2009

Kekuatan Ruhani Dalam Perjuangan.

Hari ini (Selasa 10 Mac 2009) saya diberi penghormatan untuk hadir Majlis Tamat Latihan Kerohanian 40 Tahun Syekh Mahmud al-Majzub (Tok Ayah) di Madrasah Nurul Iman Ulu Langat.

Tamu kehormat yang lain termasuk beberapa Pimpinan keADILan (Mustafa kamil, Anwar Saleh, Shamsul Iskandar dll). Turut hadir ialah beberapa Pemimpin Kerohanian dari dalam dan luar Negara (Singapura, Thailand, Indonesia dan India) dan yang paling menarik perhatian ialah kehadiran Sami Di Raja (Royal Monk) Thailand bersama dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand dan rombongan.

Fokus utama perhimpunan yang diserikan dengan kehadiran ribuan hadirin dan hadirat adalah soal keamanan dan kedamaian. Dari ucapan-ucapan tokoh jemputan, jelas sekali betapa amalan Kerohanian punya kekuatan tersendiri yang amat istimewa dalam sesebuah perjuangan. Kekuatan ruhani itu amat luar biasa. Ia tidak mungkin dapat diukur dengan dengan mata kasar malah tidak mungkin dapat terjangkau oleh akal manusia.

Di penghujung majlis, himpunan ruhani yang sentiasa diiringi dengan zikir dan selawat itu telah menerima kejutan dengan kunjungan dua orang tokoh yang amat penting dalam melakar keamanan serta kedamaian bukan hanya di Malaysia malah rantau Asia dan Dunia. Mereka adalah YAB Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi dan YB Dato Seri Anwar Ibrahim.

Semoga kedamaian dan keamanan segera menjelma demi kemanusiaan sejagat...

Salam Hormat!

Tuesday, March 3, 2009

Allah Dalam Agama Lain.

Isu yang dilontarkan dihadapan saya ialah "Apakah agama lain boleh menggunakan nama Allah? Bolehkah orang bukan Islam mengucapkan salam? Bolehkah orang bukan bukan Islam menyebut Bismillah?"

Dalam surah az-Zumar 39:38 Allah berfirman bermaksud "Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..."

Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam telah berlaku sejak awal Islam. Sebahagian kitab suci mereka (terutama di Timur Tengah) juga menggunakan kalimah Allah. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah juga agak meluas di gereja-gereja. Cuma di Negara kita, fenomena ini agak baru dan memeranjatkan. Maka timbullah persoalan "sejak bila mereka mengaku Allah itu Tuhan?" dan soalan "Sejak bila pula mereka pandai menyebut Allah?" dan soalan lebih serius lagi "Apakah tujuan mereka ingin menggunakan kalimah Allah?" dan bermacam soalan lagi.

Mungkin soalan terakhir itu yang menimbulkan sedikit masalah dan ketegangan. Jika tujuan mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, maka itu hak mereka. Tiada siapa boleh menghalang. Bukankah Allah itu Tuhan semua - Rabbul `aalamiin - Lord of the Universe? Tapi jika tujuan mereka adalah untuk berdakwah dikalangan penganut Islam atau paling tidak untuk menimbulkan kekeliruan dikalangan orang Islam, maka hal itu dari awal lagi sudah bercanggah dengan Perlembagaan.

Menghormati keikhlasan mereka untuk membesarkan Allah, maka marilah kita seru mereka dengan seruan Allah dalam surah Ali `Imran 3:64 bermaksud "Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)".

Hal yang sama dengan pengucapan Salam dan Bismillah... Ianya sudah menjadi amalan biasa dikalangan orang bukan Islam di Timur Tengah. Malah penggunaan Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya juga sudah tidak pelik dan tidak janggal dikalangan mereka, berbeza dengan kita di Malaysia.

Jika orang bertanya wajibkah kita menjawab salam mereka? Jawabnya jelas wajib kerana itu ajaran Islam. Firman Allah dalam surah an-Nisa` 4:86 bermaksud "Dan jika kamu diberikan ucapan penghormatan maka balaslah dengan yang lebih baik atau jawablah (dengan yang serupa). Sungguhnya Allah menghitung tiap suatu."

Salam hormat.

Thursday, February 26, 2009

Sultan sebagai Naungan Allah...

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan kepada saya untuk memaklumkan bahawa Baginda tidak dapat memberikan panduan atau nasihat kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor dalam hal berkenaan isu Yang Berhormat Elizibeth Wong... Sebagai Sultan Selangor, Baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik (above politic)... Baginda selanjutnya menyatakan keyakinan Baginda atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan percaya bahawa ianya dibuat secara adil dan bijaksana, dengan mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan Negeri Selangor amnya". (S/U Sulit DYMM Sultan Selangor).

Demikianlah kebijaksanaan Sultan yang menjadikan dirinya Payung untuk semua. Dalam Islam, Sultan adalah "Naungan Allah di bumi..." (hadith). Naungan Allah harus difaham dalam konteks penjagaan Agama serta perlaksanaan Hukum-hakam Agama. Ini kerana tugas Khalifah (Sultan) adalah "Hirasatud din wa siyasatud dunya bihi" (memelihara Agama dan mentadbir dunia dengan Agama).

Dalam Perlembagaan Malaysia, Tugas Sultan adalah menjaga Agama dan Adat istiadat Melayu. Jelas sekali, apabila Sultan menitahkan yang baginda berkecuali dalam hal ehwal politik, sebenarnya Baginda faham bahawa urusan politik sebenarnya bukan dalam bidang tugas Baginda...

Hal ini perlu difahami oleh Sultan-Sultan lain agar krisis politik yang berlaku di Perak akibat campur tangan Sultan dapat diatasi dengan baik dan tidak berlaku pula di mana-mana negeri yang lain. Ini juga penting difahami demi memelihara nama baik Sultan serta Institusi Raja yang telah wujud sekian lama dalam Negara ini...

Salam Hormat.

Saturday, February 21, 2009

Antara Calon & Perjuangan.

Menjelang Pilihanraya kecil Bkt Selambau, ada orang bertanya "Apa jaminan calon yang akan diletak kali ini TIDAK belot atau menyerah dalam perjuangan?"

Saya jawab - Hanya Allah yang tahu! Siapa pun tak boleh jamin...


Sebenarnya apa pun jawapan yang diberi tak penting. Yang penting ialah mengapa pertanyaan itu timbul? Rupanya-rupanya sudah ada gerakan halus pihak musuh untuk menimbulkan keraguan dan seterusnya perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Ada dikalangan "pejuang" PR sendiri mula rasa hambar (tawar) untuk berjuang di Bkt Selambau kerana calon itu bukan dari PARTI nya. Maka timbullah alasan-alasan naif seperti "buat penat je... nanti menang dia lompat" atau "buat penat je... dah menang nanti dia letak jawatan" dan bermacam alasan lagi...

Hakikatnya, ada antara kita tak dapat nak bezakan antara CALON dan PERJUANGAN. Jika tanya saya, saya kata, saya berjuang bukan kerana calon tapi kerana perjuangan! Mungkin kita tidak yakin dengan calon, tapi tidakkah kita yakin dengan perjuangan? Bukankah jika calon menang maka yang menang adalah perjuangan dan jika kalah calon maka yang kalah juga adalah perjuangan?

Setiap pejuang dan pendukung PR seharusnya bertekad bahawa "Saya akan bekerja keras memenangkan calon Bkt Selambau, Bkt Gantang dan mungkin juga Bkt Lanjan untuk mengangkat perjuangan serta memelihara maruah para Pemimpin perjuangan (Sdr Anwar Ibrahim, Tn Guru Hadi dan Tn Guru Nik Aziz) tanpa bertanya siapakah calon itu kerana keyakinan saya yang teguh dan tidak berbelah bagi pada perjuangan dan Pemimpin-pemimpin perjuangan...

Ingat! Musuh hanya dapat mengalahkan kita jika kita berpecah... Dan perpecahan itu bermula dengan timbulnya keraguan sesama kita...

Thursday, February 19, 2009

Antara Moral & Hukum.

Gambar separuh bogel awak telah tersebar... Awak tidak bermoral! Awak tidak layak memimpin! Begitulah lantangnya tuduhan dan tuntutan mereka.

Faktanya? Saya bogel di rumah saya, diambil gambar dan gambar itu disebarkan... Siapa yang tidak bermoral? Yang diambil gambar atau yang menyebarkan gambar?

Dalam Islam, ada beza antara maksiat yang dilakukan secara sembunyi dimana pelakunya ada rasa malu bila maksiat itu diketahui umum dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan dimana pelakunya rasa bangga dengan apa yang dilakukannya serta tidak rasa malu jika orang lain mengetahuinya...

Sebab itu hikmah terbesar bila Islam menuntut 4 orang saksi (yang adil) dalam kes zina ialah untuk memelihara aib orang yang masih ingin memelihara maruahnya. Walaupun betul dia berzina tetapi adalah mustahil dapat disaksikan oleh 4 orang jika dia masih ada malu. Orang yang ada malu dan ingin memelihara maruahnya tidak akan melakukan maksiat itu ditempat terbuka secara terang-terangan hingga dilihat oleh ramai orang...

Jika ada sepasang lelaki dan wanita berzina, salah seorang mengaku dia berzina dangan pasangannya... Yang dihukum hanya yang mengaku kerana untuk menghukum pasangan yang seorang lagi perlu 4 orang saksi... Adilnya Islam! Ada orang kata ini tidak adil kerana mengapa hanya yang mengaku sahaja yang dihukum?

Jawabnya:

1) Orang yang sanggup mengaku hanya akan mengaku jika ia benar-benar ingin bertaubat kepada Allah atas dosanya tanpa sedikitpun niat ingin melibatkan pasangannya (kerana masing-masing menanggung dosa sendiri di hadapan Allah).

2) Jika pengakuan seseorang itu berkesan (binding) atas dirinya dan diri orang lain, nescaya akan berleluasa fitnah dikalangan manusia. Sesiapapun juga akan sanggup buat pengakuan yang yang ia melakukan itu dan ini dengan si anu dan si anu... Akibatnya? (rujuk kes Anwar vs Azizan juga Anwar vs Saiful).

Di zaman Nabi s.a.w. berlaku kes pengakuan zina dimana hukuman dijatuhkan kepada si pengaku sahaja tanpa ditanya siapakah pasangannya...

Kembali kepada kes gambar bogel/separuh bogel yang disebarkan dimana gambar itu diambil di tempat tersembunyi dan orang yang diambil gambar itu pula sedang tidur... Maka yang perlu dihukum adalah penyebarnya kerana perbuatan mengaibkan seseorang adalah HARAM hukumnya...

Salam Hormat.

Tuesday, February 10, 2009

Pengajaran dari Perak.

"Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekali pun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya" - Sultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980.

"Innamaa amruhuu izaa araada syai`an ayyaquula lahuu kun fayakuun..."

Salam Reformasi!

Pakatan Rakyat sedang menggelegak? Alhamdulillah! Itu tandanya nasi akan masak. Anggaplah ini satu proses mematangkan perjuangan yang baru setahun jagung ini...

Yang penting ialah apakah pengajaran serta iktibar yang perlu dipelajari? Sekurang-kurangnya ada 3:

1) Keikhlasan perlu dalam perjuangan. Hanya mereka yang ikhlas dapat bertahan dari ujian susah dan senang. Ikhlas maknanya bukan hanya berjuang kerana Allah tapi juga berjuang menurut panduan-panduan Allah.

2) Tarbiyyah adalah asas kekuatan organisasi. Tarbiyyah perlu bukan hanya dalam KEADILAN, PAS dan DAP tapi juga dalam PAKATAN. MB-MB PAKATAN wajib belajar dari MB Kelantan (Tok guru) bagaimana beliau mentarbiyyah organisasi, negeri dan ummah. Pimpinan PAKATAN perlu belajar bagaimana untuk jadi tawaduk serta punya sifat kasih sayang pada orang bawahan. Sayang menyayang, hormat menghormati serta ukhuwwah sejati perlu dipupuk dikalangan pimpinan dan ahli. Wihdatul fikr (kesatuan pemikiran) hanya dapat dibentuk melalui program tarbiyyah berterusan di semua peringkat untuk melahirkan wihdatul amal (kesatuan tindakan).

3) Perencanaan pula adalah asas kejayaan. Kebenaran yang tidak berencana akan tewas kepada kebatilan yang berencana. Kemenangan kita Mac tahun lalu adalah anugerah Allah yang terlalu besar serta tidak disangka-sangka. Kita masuk perang Mac 2008 dengan perencanaan yang amat minima. Alhamdulillah kita menang.

Apa kita buat setelah menang? Berebut jawatan dan habuan? Yah... Suka atau tidak... Gara-gara berebut jawatan ketua kampung, GLC, Pasar malam, projek yang nilainya hanya ribuan ringgit... Kita kehilangan negeri.

SHARING is CARING! Tepat sekali... Soalnya... Mengapa masa susah kita boleh berkongsi yang sedikit sedang bila senang kita tidak boleh berkongsi yang banyak?

Ingat! Kekuatan PAKATAN bukan pada KEADILAN atau PAS atau DAP. Kekuatan PAKATAN adalah pada kesepakatan kita.

BETUL! Kekuatan KEADILAN adalah kekuatan PAKATAN. Kekuatan PAS adalah kekuatan PAKATAN dan kekuatan DAP adalah juga kekuatan PAKATAN. Tapi...

Ingat! Kelemahan KEADILAN adalah kelemahan PAKATAN. Kelemahan PAS adalah kelemahan PAKATAN dan kelemahan DAP juga adalah kelemahan PAKATAN.

Parti-parti dalam PAKATAN mestilah saling kuat menguatkan bukan lemah melemahkan satu sama lain. Mesti saling memperbaiki bukan merosakkan satu sama lain. Saling membela bukan menyerang satu sama lain...

Mari kita pelajari hikmah di sebalik semua ujian ini... Jadilah orang yang mahu belajar! Mahu mengambil iktibar...

"Di sebalik kesusahan ada kesenangan... Di sebalik penderitaan ada kebahagiaan..."

Salam hormat!

Sunday, February 8, 2009

Tahun Penuh Cabaran

Salam Reformasi!
Selamat bertemu semula di tahun yang lebih mencabar.

Januari 2009 dicemari dengan kezaliman zionis-israel. Ribuan orang awam jadi korban sifat kebinatangan mereka. Puncanya? HAMAS! Hamas adalah pengganas! Hamas mesti dihapuskan! Begitulah sumpah angkuh pemimpin negara haram israel itu. Sejak kemenangan Parti Islam Hamas 3 tahun lalu dalam pilihanraya demokratik Palestin mengalahkan Parti Kebangsaan Fatah, zionis-israel tidak pernah mengiktiraf Hamas. Itu tidak menghairankan kita kerana kita faham sifat permusuhan yahudi dan Islam yang termaktub dalam a-Quran (Yahudi akan tetap memusuhi Islam sejak dulu, kini dan selamanya...) Apa yang membuatkan kita hairan dan kesal ialah mengapa ada pemimpin negara Islam yang menurut perangai yahudi dan enggan mengiktiraf Hamas. Malah Mesir misalnya enggan membantu saudara mereka di Gaza dengan menutup pintu sempadan.

Bagaimana dengan Malaysia? Malaysia bukan hanya tidak mengiktiraf Hamas, malah satu sen pun wang bantuan kemanusiaan yang dikutip oleh agensi kerajaan (RTM, TV3, NST dll) tidak sampai kepada Hamas yang berjuang mati-matian menentang kezaliman zionis-israel (apa khabar wang yang dikutip untuk Dafour dan Tsunami satu masa dulu?).

Ummat Islam, sebenarnya, sedang menghadapi krisis kepimpinan! 2 ribu juta ummat kehilangan pemimpin yang mampu menyatukan. Pemimpin Syi`ah menyuarakan perlunya PBB alternatif yang akan menjaga kepentingan ummat Islam. Apa peranan OIC? Bukankah itu OIC itu PBB ummat Islam? Oh... I see.. Semua bercakap (termasuk Mahathir) tentang OIC yang tiada taring. Mengapa? Masalahnya ialah kepimpinan. Siapa memimpin OIC hari ini? Malaysia. PM Malaysia. Dolah Badawi. Bolehkan Dolah menyatukan kepala-kepala negara Islam dalam keadaan kepalanya sendiri biul dan bermasalah? Hmm.. Mac ini kita akan ada PM baru. Mampukan PM baru ini menyatukan ummat? Ramai menganggap bakal PM Mac ini hanya layak jadi duta ke Monggolia.

Jadi? Apa pilihan ummat? Siapakah pemimpin yang mampu menyatukan ummat ini?Apakah pemimpin Saudi yang kini berhutang ribuan juta dollar pada US akibat perang teluk? Atau pemimpin Iran yang berjaya menghantar satelit ke langit? Atau pemimpin Turki yang baru2 ini jadi wira negaranya kerana memalukan pemimpin haram israel dalam forum ekonomi dunia?

Sedar atau tidak, kita ada calon terbaik yang mampu menyatukan pemimpin2 Islam sekaligus dihormati oleh Barat dan Timur... Dia bukan orang arab... Bukan juga orang putih... Dia orang Melayu, orang Malaysia... Dia adalah Anwar Ibrahim! Ada orang kata saya taksub... Saya hanya berkata, jika anda punya calon yang lebih baik dari Anwar, sila kemukakan... Yang penting ummat perlukan pemimpin itu untuk menyelesaikan kemelut berpanjangan ini...

Salam Hormat.