Tuesday, July 28, 2009

Pegang Lilin Haram?

Q: Betulkah seperti kata mufti Perak bahawa pegang lilin dalam perhimpunan itu haram?

A: Pertama, saya tidak dengar sendiri fatwa tersebut. Oleh itu tidak perlulah saya jawab beliau tambahan pula akhir2 ini memang fatwanya dipandu oleh kepentingan politik BN (umno) seperti fatwa "orang cina baca Quran" satu masa dulu... Yang jelas dalam isu lilin ini, kita berpandukan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud "Sungguhnya tiap amalan bergantung pada niat..."

Apakah niat pegang lilin itu untuk menyembah lilin tersebut atau menyembah Tuhan lain selain Allah? Jika itu niatnya maka haramlah! Tapi saya yakin tidak begitu... Bagi saya lilin hanyalah simbol cahaya seperti pelita (bagi Hindu) yang juga telah lama digunakan dalam musim-musim perayaan orang Islam.

Memang pelita dan lilin bukan dari ajaran Islam tapi salahkah kita memasang pelita dan lilin (termasuk juga lampu kelip-kelip sekarang ini)? Salahkah kita bermain pelita dan lilin? Apa hukum pasang lilin atas kek hari jadi? Dan banyak soalan lain lagi berkaitan lilin... Bagi saya, jika niatnya hanya untuk suka-suka bagi menambah kemeriahan maka tidaklah haram.

Begitu juga memegang lilin untuk menuntut keadilan dan kebenaran. Kini, negara kita berada dalam kegelapan akibat kezaliman penguasa. Sabda Nabi s.a.w bermaksud "Kezaliman itu adalah kegelapan dihari Qiamat". Dalam kegelapan itu, kita ketakutan... kita tidak mengenal kawan dan lawan... kita tidak kenal yang mana salah yang mana betul, yang mana baik yang mana buruk... Kita hidup dalam gelap! Teraba-raba... tercari-cari...

Oleh kerana itu, kita perlukan cahaya. Lilin dan pelita adalah lambang cahaya... Semoga cahaya kembali menyinari hidup kita... Amin!

Salam hormat.
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Thursday, July 23, 2009

Hukum Minyak Wangi ber Alkohol.

Q: Apa hukum minyak wangi yang ada alkohol? Sahkah solat menggunakan minyak wangi yang ada alkohol?

A: Pertama, saya ingin jelaskan bahawa alkohol bukanlah najis. Oleh itu minyak wangi yang ada alkohol tidak najis dan solat menggunakan minyak wangi yang ada alkohol juga adalah sah.

Persoalan alkohol berpunca dari kekeliruan tentang arak kerana dalam arak ada alkohol. Malah istilah alkohol juga digunakan untuk arak sehingga difaham bahawa arak itu alkohol dan alkohol itu arak (alkoholik adalah merujuk pada orang yang ketagihan arak). Maka orang menghukum alkohol sama seperti arak - najis dan haram.

Sebenarnya tidak begitu. Alkohol hanyalah salah satu dari bahan yang terkandung dalam arak. Bahan2 lain adalah air, gula dsb.. Jika diasingkan air yang terdapat dalam arak itu (dengan proses penyulingan atau proses lain), sudah tentu ia (air tersebut) suci dan tidak najis. Begitu juga dengan gula, alkohol yang terdapat dalam arak itu.

Yang haram dan najis adalah arak. Yang mudarat adalah arak. Yang memabukkan adalah arak berpandukan hadith Nabi s.a.w yang bermaksud "Tiap yang memabukkan adalah arak (khamar) dan tiap arak adalah haram". Jika arak terkena pada pakaian maka pakaian itu najis dan solat dengannya tidak sah.

Tapi ingat! Jika ada minyak wangi yang mengandungi bahan2 najis yang lain seperti bahan tertentu yang diambil dari binatang atau organ manusia maka minyak wangi itu adalah najis serta haram digunakan dan solat dengannya tidak sah.

Panduan umum tentang minyak wangi yang mengandungi bahan2 najis seperti itu adalah harganya yang mahal... Biasanya minyak wangi yang murah tidak mengandungi bahan najis tersebut... Terkecuali dari panduan umum ini minyak wangi yang menggunakan bahan yang sukar diperoleh seperti kasturi, ambar, gaharu dll kerana kadang2 harganya juga mahal...

Wallahu a`lam.
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Wednesday, July 15, 2009

Apa Hukum Dividen ASN/ASB?

Ini satu lagi persoalan lama yang sering ditanyakan. Halalkah atau haram?

Latar belakang: Pihak kerajaan telah memberi jaminan bahawa wang ASN/ASB dilaburkan dalam perniagaan yang halal, oleh itu menyimpan wang disitu adalah halal dan dividennya juga halal. Demikian yang ditegaskan oleh pihak yang bertanggungjawab ketika ASN/ASB mula dilancarkan.

Macamanapun, pada hakikatnya masih ramai yang ragu dengan jaminan tersebut. Ramai yang tidak yakin kerana berbagai cerita tersebar yang kononnya ASN/ASB juga terlibat dengan saham arak dan judi yang menjadi salah satu tunggak kekuatan ekonomi negara ini.

Halalkah atau Haram? Mudah sahaja... Rujuk balik perbincangan kita tentang Hadith Nabi s.a.w yang bermaksud "Tinggalkan apa yang meragukan, buatlah apa yang tidak meragukan". Maka pasti kita temui panduan bagi menjawab persoalan diatas... Jika yakin, buatlah tapi jika tidak yakin maka elaklah.

Q: Bukankah kerajaan sudah beri jaminan? Jika tidak halal maka kerajaanlah yang tanggung...

A: Benar, jika memang ia haram maka kerajaanlah yang tanggung dosa kerana menghalalkan yang haram tapi kitalah yang menanggung kesan akibat memakan wang yang haram itu... hati jadi gelap, berkarat, degil... dan yang paling kita takuti ialah hilangnya keberkatan dalam diri, pasangan (suami isteri) dan keluarga...

Berhati-hatilah...

Salam hormat.
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Tuesday, July 14, 2009

Hukum Perniagaan MLM.


Sudah banyak perbincangan tentang status perniagaan MLM. Ada yang menghalalkan ada juga yang mengharamkan. Yang menghalalkan berpendapat bahawa MLM hanyalah sebuah perniagaan sama seperti perniagaan-perniagaan yang lain. Yang mengharamkan pula berpendapat MLM adalah sejenis eksploitasi atas usaha serta wang orang lain...


Saya setuju mengatakan bahawa MLM itu halal jika ada padanya syarat-syarat sebuah perniagaan yang halal serta jauh dari perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak:

1) Produk yang diniagakan adalah halal & bermanfaat.
2) Rida meridai antara semua pihak yang terlibat (Syarikat, ahli, penaja, downline dan pembeli).
2) Tiada unsur-unsur tipu, khianat atau zalim dalam semua urusniaga.

Q: Bagaimana dengan komisyen upline yang diperoleh dari hasil kerja dan usaha downline dimana upline tidak melakukan apa2 selain menaja downline?

A: Ia halal jika downline sudah diperjelaskan tentang sistem itu dan dia (downline) rida. Pada hakikatnya, tugas mencari dan menaja downline itu dianggap usaha yang menghasilkan keuntungan pada upline. Ibarat seorang yang mengajar satu perkara yang baik maka ia dapat pahala hasil kerja orang yang diajar itu tanpa dikurangkan sedikitpun... (mafhum Hadith Nabi).

Q: Bagaimana jika tidak ada produk yang diniagakan dan keuntungan hanya dari hasil penajaan?

A: Tidak sah urusniaga jika tiada produk atau manfaat yang diniagakan. Contoh produk telah kita ketahui (spt sabun, ubat dll) manakala contoh manfaat ialah apa sahaja yang bermanfaat seperti kemudahan pelancungan, pendidikan, kesihatan dll...)

Sebarang soalan dialu-alukan...

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Sunday, July 12, 2009

Halal & Haram dalam Mu`amalat (Perniagaan).

Halal & Haram dalam Islam bukan hanya pada persoalan makan minum dan pakai tapi juga pada seluruh sistem yang mengatur kehidupan kita termasuk sistem mu`amalat atau perniagaan. Terdapat sekian banyak kitab besar dan kecil membahaskan persoalan perniagaan dalam Islam yang disebut Kitab al-Mu`amalat. Satu cabang mu`amalat ialah jual beli (al-bay`).

Islam meletakkan asas penting dalam proses jual beli iaitu "rida meridai" antara semua pihak yang terlibat. Al-Quran menggunakan istilah "tijaaratan `an taraadin minkum" (perniagaan atas asas rida meridai antara kamu). Selain itu Islam mengharamkan riba serta sebarang bentuk penipuan (ghish) atau pengkiahanat dalam sebarang mu`amalat.

Firman Allah bermaksud "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba". Nabi s.a.w. memperingatkan dengan hatidhnya bermaksud "Siapa yang menipu bukan dari golongan kita". Rasulullah s.a.w juga bersabda bermaksud "Peniaga yang jujur bersama ku dalam syurga seperti ini (Nabi s.a.w. merapatkan dua jarinya untuk menggambarkan betapa rapatnya kedudukan peniaga yang jujur itu dengan baginda dalam syurga)".

Antara jual beli yang dilarang ialah menjual sesuatu yang tidak pasti bendanya atau harganya untuk mengelak sebarang penipuan seperti menjual sesuatu yang belum ada, ikan dalam air, binatang dalam hutan dsb kecuali dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Ada orang bertanya, bagaimana dengan amalan mengutip wang korban setahun sebelum lembu dibeli sedangkan harga dan lembunya belum ada atau belum diketahui? Apakah itu termasuk dalam urusniaga yang ditegah?

Sekiranya ada perjanjian yang jelas tentang tujuan kutipan wang, jumlah dan tempoh kutipan dengan syarat-syarat tertentu yang disetujui oleh semua pihak, maka mu`amalah tersebut sah. Contohnya, tujuan kutipan itu adalah untuk mengumpul wang bagi membeli lembu korban, kutipan sebanyak RM30/orang (1 bahagian) sebulan selama 12 bulan, seekor lembu dikongsi oleh 7 orang atau bahagian, harga lembu adalah menurut harga semasa pada tarikh lembu dibeli (bukan tarikh mula kutipan) dan sebarang kekurang atau kelebihan wang akan diurus sesama ahli pada tarikh lembu dibeli... maka urusniaga itu tidak syak lagi adalah sah. Dan inilah yang banyak diamalkan dalam masyarakat kita hari ini untuk memudahkan ibadah melalui surau dan masjid atau persatuan...

Ingat, menjaga halal dan haram dalam perniagan menjamin keberkatan rezki...

Salam hormat.
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Thursday, July 9, 2009

Mendidik Jiwa dengan Sedekah...

Hadis Rasulullah SAW mafhumnya: "Apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Iaitu sedekah (jariyah) yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah bermaksud: "Menolak peminta sedekah dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada memberi sedekah tetapi diiringi dengan perbuatan atau perkataan yang menyakitkan hati..." (al-Baqarah: 263)

Firman Allah lagi maksudnya: "Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada Nya serta kelebihan kurnia Nya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan Nya." (al-Baqarah: 268)

Rasulullah SAW bersabda juga yang bermaksud: "Setiap makruf itu sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan." (riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya: "Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk (merendah diri) maka Allah akan naikkan darjatnya." (Sahih Muslim)

Allah SWT berfirman bermaksud: "Perumpamaan (nafkah) orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui". (al-Baqarah: 261)

Tazkirah Manik Urai
http://www.drbadrulamin.blogspot.com/

Wednesday, July 8, 2009

TAQWA - Jalan keluar semua masalah...

Firman Allah bermaksud "Sesiapa yang bertaqwa pada Allah, Allah akan buka jalan keluar (bagi semua masalah) dan beri rezki dari sumber yang ia tidak sangka-sangka...". Abu Zarr al-Ghiffari ketika minta nasihat, Rasulullah s.a.w. bersabda "Wahai Abu Zarr, aku berpesan pada mu, Takutlah Allah kerana Takut Allah itu adalah kepala segala urusan..."

Dari dua petikan diatas jelas pada kita kepentingan dan kekuatan sifat takutkan Allah. Ingatlah! "Sesiapa yang takutkan Allah, Allah akan menjadikan semua makhluq takut padanya... Tapi sesiapa yang tidak takutkan Allah, maka Allah akan menjadikannya takut kepada semua makhluq..." (ada orang takut pada manusia, takut pada pokok, takut hilang kerja, takut tidak makan... dan bermacam rasa takut lagi...)

Bijak pandai ada berkata "Semua manusia mati sekali tetapi orang yang takut... mati banyak kali". Jiwa dan kemanusiaannya akan mati setiap kali rasa takut menguasai dirinya walaupun jasadnya masih hidup bernyawa... Bila diugut dia mati, bila rasa terancam dia mati... Ketahuilah! Mati hati lebih dahsyat dari mati jasad kerana bila hati mati, jasad akan jadi bangkai bernyawa...

Tanda Taqwa pada Allah ada lima: T - tawakkal, A - akal, Q - qana`ah (rasa cukup dan syukur), W - wara` (menjaga hukum Allah), A - amanah dalam amalan...

Peringatan dari Manik Urai oleh
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com

Tuesday, July 7, 2009

Rejab: Raa - Jim - Baa (Rahmat - Jihad - barakah)

Rejab bulan Allah, Sya`ban bulan Nabi & Ramadan bulan kita, umat Nabi... Peristiwa besar berlaku dalam bulan Rejab ialah Israk & Mikraj. Peristiwa yang bukan hanya sekadar kisah tapi ujian keimanan untuk umat dulu, kini dan selamanya. Setiap kali bila berlaku pertembungan antara hak dan batil, iman kita diuji samada berpihak pada yang hak atau yang batil. Setiap kali berlaku pertembungan antara golongan baik dan jahat kita dituntut untuk menyatakan pendirian... Bukankah Allah mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah antara kita yang paling baik amalannya? (Surah al-mulk ayat 2).

Bila tiba saja Rejab, kita tidak habis membahaskan persoalan titik bengik seperti status hadis, amalan puasa, zikir dll... sedangkan ada banyak lagi persoalan besar yang perlu ditangani seperti isu fitnah, rasuah, perpecahan dll. Isu Masjidil Aqsa yang terus menghiris jiwa dan perasaan orang yang beriman jarang-jarang dibincangkan. Soalnya mengapa umat Islam yang berjumlah hampir 2 ribu juta gagal membela al-Aqsa? Ada banyak sebab tapi saya ingin fokus pada isu "kepimpinan" umat yang lesu & korup. Pemimpin umat Islam rasuah, membazir, menipu dan fitnah berlaku dikalangan pemimpin orang Islam.

Dalam negara kita, isu yang paling memalukan dan paling melemahkan kita ialah isu fitnah liwat atas Anwar Ibrahim. Kesan kes liwat 1998 atas ummat belum reda lagi dan esok (8 Jul) bermula pula kes liwat siri 2 di mahkamah. Kes ini diteruskan juga walaupun 4 orang doktor telah melakukan pemeriksaan dan mengesahkan yang dubur Saiful masih "dara" yakni tidak dimasuki sebarang objek... Kes ini diteruskan juga walaupun kita sekarang sedang berada di bulan Allah, bulan Rejab, bulan Rahmat, Jihad & Barakah - bulan Israk & Mikraj...

Bagaimanakah negara kita ingin beroleh Rahmat kasih sayang Allah sedangkan kita dipimpin oleh orang yang jauh dari Rahmat dan sifat kasih sayang? Malah kita dipimpin oleh orang yang terlibat dengan rasuah serta kes yang paling dahsyat dan memalukan iaitu kes pembunuhan kejam altantuya... Soalan lebih besar lagi ... "Apakah Allah telah mencabut Rahmat Nya dari kita dan negara kita?"

Mungkin jugak Allah telah mencabut RahmatNya kerana sikap kita selama ini sombong dan bongkak... Kita tidak peduli dengan hukum2 Allah... Tidak peduli dengan Halal & Haram Allah... Riba, kilang arak, pusat judi dan maksiat tumbuh subur dalam negara ini... Apakah kita ingin menunggu hingga turunya bala dan malapetaka?

Firman Allah bermaksud "Jika kami ingin hancurkan sebuah begeri, kami biarkan pemimpin2 mereka melakukan kejahatan dan kerosakan hingga mereka layak dijatuhkan hukuman, lantas Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya..."

Peringatan dari
Http://drbadrulamin.blogspot.com

Friday, July 3, 2009

Sedikit Petua...

PETUA IMAM SYAFIE


Empat perkara menguatkan badan

1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas

Empat perkara melemahkan badan
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih

Empat perkara merosakkan mata
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama

4 CARA TIDUR

1. TIDUR PARA NABI
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan
bumi.

2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat
malam.

3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA
Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak
dimakan.

4. TIDUR SYAITAN
Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli neraka.


dinukilkan semula oleh

Http://drbadrulamin.blogspot.com

Wednesday, July 1, 2009

Air Mineral Merbahaya?

Sudah lama orang bertanya tentang air mineral yang didakwa mengandungi air holy water. Berbagai kisah yang dipaparkan untuk meyakinkan dakwaan itu. Ada yang lengkap beri nama produk seperti Al-Mansur, Al-Mubarakah, Al-Barakah, Bestari dan bermacam lagi. Apa pendirian kita?

Sebenarnya nabi Muhammad s.a.w telah pun memberikan panduan yang jelas bila kita berdepan dalam masalah atau situasi seperti ini. Sabda baginda s.a.w. bermaksud "Tinggalkan apa saja yang meragukan dan lakukan apa yang tidak meragukan".

Dalam hal ini bukan hanya air mineral tapi banyak lagi benda yang meragukan dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim yang perlu dihindarkan. Ini termasuk produk-produk yang jelas tertera logo halal tetapi sering dipertikaikan statusnya. Apa lagi dalam keadaan hari ini dimana industri halal tidak diurus oleh orang yang kenal dosa dan pahala tetapi orang yang hanya tahu menghitung untung rugi semata...

Hadis diatas jelas menyuruh kita meninggalkan apa saja yang meragukan kerana ia termasuk dalam kategori samar atau "syubhat" yang boleh membawa kepada hukum haram. Oleh itu jika kita ragu dengan sesuatu minuman atau makanan atau apa saja, maka elakkanlah. Banyak lagi pilihan minuman dan makanan lain yang ada di pasaran. Berusahalah mendapatkan yang terbaik untuk keluarga kerana usaha mendapatkan yang terbaik itu adalah jihad. Sabda Nabi s.a.w. bermaksud "Mencari yag halal itu adalah satu kefarduan..."

Dalam Islam kita dianjurkan melakukan sesuatu atas dasar yakin tanpa sebarang keraguan. Keraguan akan menimbulkan "was-was" yang mebuka pintu iblis dan syaitan untuk merosakkan ibadah kita. Dalam surah an-Nas Allah berfirman merintahkan kita berlindung dengan Nya dari gangguan al-waswasil khannas yang ditiupkan dalam hati manusia oleh Jin dan Manusia...

Was-was akan mengganggu hati dan hati yang was-was akan mengganggu ibadah. Ibadah jadi tidak khusyuk malah boleh menyebabkan seseorang itu malas melakukannya. Berusahalah kita mendapatkan yang terbaik untuk diri dan keluarga moga hati terus sentiasa bersih sebagai persiapan menemui Allah...

Salam hormat.
Http://drbadrulamin.blogspot.com