Thursday, May 28, 2009

Fitrah Manusia Yang Rosak Punca Segala Fasad...

Apabila Allah berfirman kepada para malaikat "Aku akan cipta di bumi (manusia) sebagai khalifah (pentadbir)" maka Malaikat pun bertanya "Adakah Kau akan cipta didalamnya (dunia) orang yang akan merosakkannya (melakukan fasad) serta menumpahkan darah?". Allah menjawab "Aku tahu apa yang kamu tidak tahu..." (surah al-Baqarah 2:29-31)

Dengan berbekalkan ilmu maka Allah muliakan Adam. Tugasnya adalah untuk memelihara dunia serta beribadat pada Allah. "Aku tidak jadikan jin dan manusia selain untuk beribadat kepada Ku" (surah al-Zariyat 51:56). Selain ilmu, Adam dan zuriatnya (kita semua anak cucu Adam) juga dibekalkan dengan fitrah untuk memelihara sifat kemanusiaan. Sabda Nabi s.a.w bermaksud "Setiap anak yang lahir itu, lahir dalam fitrah". Maksudnya tidak ada manusia yang dilahirkan jahat kerana semua manusia lahir dengan sifat baik (fitrah - suci). Tidak cukup dengan itu, manusia juga di bekalkan dengan Islam, agama fitrah, sebagai panduan.

Bila fitrah (sifat baik) manusia dijaga dengan ilmu dan agama, selamatlah dunia ini tapi sebaliknya jika manusia mengenepikan ilmu dan agama, maka rosaklah fitrah (dia jadi jahat) dan binasalah dunia...

Hari ini kita berdepan dengan kerosakan (fasad) dalam berbagai bentuk - fasad dalam sosial, ekonomi, dan politik. Fasad itu tidak terbatas kepada isu alam sekitar sahaja malah meliputi segala sistem yang mengatur kehidupan kita termasuk fasad (kerosakan) dalam sistem perundangan, kehakiman malah keselamatan.

Sebenarnya segala yang berlaku hari ini bukan sekadar krisis sosial, ekonomi atau politik tetapi ianya adalah krisis kemanusiaan. Manusia hilang kemanusiaan akibat fitrah yang rosak dan diganti dengan fitrah kebinatangan juga kesyaitanan. Manusia yang rosak fitrah itu sanggup melakukan apa saja - menipu, merasuah, menculik, mengugut, melakukan kejahatan dan kezaliman hingga sanggup membunuh dengan kejam...

Ketahuilah! Selagi manusia tidak kembali kepada fitrah manusiawi, dia akan gagal berperanan sebagai 'pentadbir' 'pengurus' 'pemakmur' dunia (khalifah) dan selagi itulah kerosakan (fasad) akan terus berlaku...

Marilah kita bersama memelihara fitrah insani dengan ilmu dan agama...

Salam hormat!

1 comment:

orang tuhan said...

Assalamualaikum..Tahniah Dr..kuliah malam tadi di surau An Nur cukup baik..memang manusia sekarang sudah hilang kemanusiaanya..terima kasih..harap dapat datang lagi..