Monday, April 20, 2009

Adil & Ihsan.

Salam sejahtera...

Ayat yang dibaca oleh rakan China kita hingga menggemparkan UMNO dan muftinya ialah Firman Allah dalam surah an-Nahli 16:90 yang bermaksud "Sungguhnya Allah memerintahkan (kita) menegakkan keadilan dan ihsan...". Ayat yang telah kita dengar sejak kecil, sejak kita mula melangkah kaki ke Masjid untuk hadir Solat Jumaat... Malangnya ramai kita yang tidak faham malah ramai juga yang tidak dengar (kerana lambat datang masjid atau sembang atau tidur ketika khutbah) atau buat-buat tak dengar...

Saya bertanya kepada rakan-rakan bukan Islam tentang ayat tersebut. Apa kata mereka? "Saya tertarik dengan konsep keadilan dan ihsan yang diajar dalam ayat itu kerana ia terlalu hebat..."

Memanglah hebat! Kerana konsep keadilan dan ihsan Islam adalah ciptaan Allah, Tuhan semesta alam... Ianya melampaui batas agama dan bangsa. Orang Islam wajib berlaku adil dan ihsan pada semua - Islam dan bukan Islam. Malah kita wajib berlaku adil dan ihsan pada haiwan, tumbuhan dan semua makhluk. Hatta dalam perang sekalipun, kita wajib berlaku adil dan ihsan pada musuh...

Dalam sebuah hadith Nabi yang panjang, Baginda s.a.w menasihati panglima perang agar bertaqwa pada Allah... Baginda seterusnya menasihati para tentera agar memelihara akhlaq. Antara pesan Nabi - Jangan merompak mencuri. Jangan cabul hak dan kehormatan orang. Jangan bunuh kanak2, wanita dan orang tua yang tidak bersenjata. Jangan bunuh binatang, jangan tebang pokok, jangan bakar rumah, jangan robohkan tempat ibadat... Malah jangan cacatkan mayat musuh... (termasuk jangan kerat mayat, jangan letupkan dll...).

Sungguh hebat! Fitrah manusia manakah yang tidak tertarik dengan konsep keadilan dan ihsan seindah itu? Ingin saya tegaskan sekali lagi... Hanya manusia yang memiliki fitrah haiwan buas sahaja yang akan menolaknya. Hati manusia yang sudah terlalu kotor dah hitam akibat rasuah dan segala macam kejahatan hingga tidak mampu membezakan antara baik dan jahat, salah dan benar...

Moga fitrah manusiawi kita terus terpelihara... Amin.

Salam hormat.

Saturday, April 11, 2009

Kebaikan Islam Untuk Semua

Salam sejahtera.

Dua minggu terlalu sibuk dengan Bkt Gantang dan Selambau. Berbagai isu dibincang dari soal bangsa, tanah, derhaka dll. Namun yang menarik perhatian saya ialah isu orang bukan Islam membaca ayat Quran hingga Dato Mufti Perak keluarkan fatwa bahawa perbuatan mereka itu menghina Islam.

Menghina Islam? Persoalan asas ialah mengapa kita melenting marah bila orang bukan Islam membaca ayat Quran sedang kita tidak rasa apa2 bila semakin ramai orang Islam yang tidak mahu membaca Quran?

Mereka kata - orang bukan Islam membaca ayat Quran secara tidak betul. Saya kata -Berapa ramaikah orang Islam yang belajar Ilmu Tajwid dan membaca Quran dengan tepat sedangkan belajar Tajwid adalah fardu ain (wajib) atas tiap orang Islam yang mukallaf?

Mereka kata - Mereka bukan Islam, kenapa mereka mahu baca ayat Quran? Saya kata - Tanyalah mereka. Saya sendiri sudah bertanya dan jawab mereka "kami percaya dengan kebaikan yang dianjurkan dalam Quran". Salahkah mereka (orang bukan Islam) menerima kebaikan Islam yang diajarkan dalam Quran? Mana satukah yang sebenarnya menghina Islam - Orang bukan Islam yang menerima kebenaran dan kebaikan Islam atau orang Islam yang menolak kebenaran dan kebaikan Islam?

Mereka kata - Kalau mereka percaya dengan Quran mengapa mereka tidak masuk Islam? Saya kata - Itu soal hidayah Allah. Siapa kita untuk bertanya hal itu? Memang betul mereka belum Islam tapi sekurang2nya mereka mahu menerima nilai baik yang dibawa dalam Islam. Bagaimana pula dengan orang yang mengaku Islam tapi menolak ajaran Islam?

Islam adalah agama fitrah dan tiap manusia ada fitrah kerana tiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah... Fitrah manusia yang inginkan kebenaran dan kebaikan satu masa pasti akan bertemu dengan kebenaran dan kebaikan Islam. Hanya manusia durjana (jahat) yang sudah jauh dari fitrah sahaja akan menjauhi kebenaran dan kebaikan Islam.

Bukankah Islam itu rahmat bagi seluruh alam? Mengapa pula kita ingin menghalang rahmat Islam dari dinikmati oleh orang lain? Jika kita enggan menerima kebenaran Islam... janganlah sampai kita menghalang orang lain dari menerimanya...

Salam Hormat.