Tuesday, March 3, 2009

Allah Dalam Agama Lain.

Isu yang dilontarkan dihadapan saya ialah "Apakah agama lain boleh menggunakan nama Allah? Bolehkah orang bukan Islam mengucapkan salam? Bolehkah orang bukan bukan Islam menyebut Bismillah?"

Dalam surah az-Zumar 39:38 Allah berfirman bermaksud "Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..."

Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam telah berlaku sejak awal Islam. Sebahagian kitab suci mereka (terutama di Timur Tengah) juga menggunakan kalimah Allah. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah juga agak meluas di gereja-gereja. Cuma di Negara kita, fenomena ini agak baru dan memeranjatkan. Maka timbullah persoalan "sejak bila mereka mengaku Allah itu Tuhan?" dan soalan "Sejak bila pula mereka pandai menyebut Allah?" dan soalan lebih serius lagi "Apakah tujuan mereka ingin menggunakan kalimah Allah?" dan bermacam soalan lagi.

Mungkin soalan terakhir itu yang menimbulkan sedikit masalah dan ketegangan. Jika tujuan mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, maka itu hak mereka. Tiada siapa boleh menghalang. Bukankah Allah itu Tuhan semua - Rabbul `aalamiin - Lord of the Universe? Tapi jika tujuan mereka adalah untuk berdakwah dikalangan penganut Islam atau paling tidak untuk menimbulkan kekeliruan dikalangan orang Islam, maka hal itu dari awal lagi sudah bercanggah dengan Perlembagaan.

Menghormati keikhlasan mereka untuk membesarkan Allah, maka marilah kita seru mereka dengan seruan Allah dalam surah Ali `Imran 3:64 bermaksud "Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)".

Hal yang sama dengan pengucapan Salam dan Bismillah... Ianya sudah menjadi amalan biasa dikalangan orang bukan Islam di Timur Tengah. Malah penggunaan Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya juga sudah tidak pelik dan tidak janggal dikalangan mereka, berbeza dengan kita di Malaysia.

Jika orang bertanya wajibkah kita menjawab salam mereka? Jawabnya jelas wajib kerana itu ajaran Islam. Firman Allah dalam surah an-Nisa` 4:86 bermaksud "Dan jika kamu diberikan ucapan penghormatan maka balaslah dengan yang lebih baik atau jawablah (dengan yang serupa). Sungguhnya Allah menghitung tiap suatu."

Salam hormat.

4 comments:

puteri haifanuri said...

noh omar suruh nik aziz blaja islam balik sbb nik aziz kata allah is for all...biadab sungguh noh! ~buletin utama tv3 isnin 2mac2009~

Dr. Badrulamin Bahron said...

Orang jahil bercakap dengan kajahilan...
Orang sombong bercakap dengan kesombongan...
Kalau dah Jahil dan Sombong...
Macam tu lah jadinya...

Tq Puteri...

Anonymous said...

Ustaz, apa hukumnya pula kalu org islam yg memberi salam pada org kafir?

Dr. Badrulamin Bahron said...

Jika orang bukan Islam itu berada dalam jamaah orang Islam, boleh bagi salam pada semua... Memberi salam secara khusus pada orang bukan Islam tidak disyara`kan dalam Islam kerana memberi salam itu adalah antara kewajipan muslim pada muslim... Wallahu a`lam.