Friday, July 23, 2010

Tiada krisis air, Selangor tolak kadar air naik!

Kenyataan Media
22 Julai 2010

Tiada krisis air, Selangor tolak kadar air naik!

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air harus berhenti daripada mengelirukan orang awam dengan menimbulkan isu krisis air di Selangor. Masalah kini di Selangor bukan kekurangan air tetapi tindakan Kerajaan Pusat yang segaja melambatkan penyelesaian penstrukturan semula syarikat pengurusan air di Selangor.

Masalah yang bakal didepani rakyat Selangor bukan krisis kekurangan air, tetapi kadar air meningkat disebabkan keengganan kerajaan pusat Barisan Nasional menyerahkan pengurusan industri air Selangor kepada kerajaan negeri, sebaliknya meneruskan agenda penswastaan air.

Dakwaan Selangor menghadapi krisis bekalan air bertujuan memberi alasan untuk menaikkan kadar air. Hujah Menteri Datuk Seri Peter Chin mengulas Menteri Besar Selangor semalam adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Pandangan Menteri tersebut jelas sekadar bertujuan untuk mengalihkan tumpuan terhadap isu pengambilalihan pengurusan industri air di Selangor, bukannya melihat pada pokok pangkal masalah sebenar yang berpunca daripada Kerajaan Pusat.

Sekiranya kerajaan pusat Barisan Nasional terus menghalang penstrukturan semula industri air di Selangor, kami yakin kadar air akan meningkat disebabkan:

1. Pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang berkos RM8 bilion, sementara kerajaan negeri dapat melaksanakan projek tersebut pada kos RM2 bilion.

2. Pengurusan Syabas yang tidak telus, antaranya gaji tahunan Pengerusi Syabas mencecah RM5.1 juta setahun, RM425,000 sebulan.

3. Puncak Niaga gagal menaiktaraf loji rawatan air yang sudah uzur dan tidak mampu untuk merawat air.

4. Pembaziran air yang berterusan akibat air tanpa hasil (NRW) yang tinggi.

5. Penswastaan industri air yang hanya menguntungkan kroni-kroni pimpinan politik.

Air, tanah, sumber mineral merupakan milikan negeri Selangor, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menjaga hak rakyat Selangor.

Antara usaha kerajaan negeri untuk menghalang Syabas yang bertindak sebagai alat kerajaan pusat bagi merampas hak rakyat Selangor ialah mencadangkan pengambilalihan industri air di Selangor, serta memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu.

Rakyat lebih berkeyakinan di bawah kepimpinan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri mampu mengurus pentadbiran industri air dengan jauh lebih telus dan bekesan.

Kami menyeru agar Kerajaan Pusat mengaku air sebagai hak asasi manusia dan tidak diperalatkan untuk keuntungan kroni atau kepentingan politik. Kami juga rayu kepada seluruh rakyat Selangor bertegas memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri dalam usaha mengambilalih industri air di Selangor dan membantah penswastaan air di Selangor.



Dr Badrul Amin Baharom
Pengarah Penerangan
Kerajaan Negeri Selangor

Thursday, July 1, 2010

SPRM - Alat BN menyerang PR.

Kenyataan Media
30 Jun 2010


Satu Lagi Serangan BN: Dua ADUN PR Selangor dipanggil SRPM

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan notis pemeriksaan kepada dua orang ADUN Pakatan Rakyat Selangor untuk hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM, Putrajaya esok.

Surat dikeluarkan kepada ADUN Batu Caves Amirudin Shari dan ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafie pada Isnin lalu mengarahkan kedua-dua mereka untuk bantu siasat di bawah kesalahan 17(A) Akta SPRM.

Kami yakin langkah SPRM ini ketika spekulasi berkenaan empat ADUN Parti Keadilan Rakyat akan meninggalkan parti baru-baru ini merupakan satu lagi serangan baru daripada siri percubaan untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Kami juga tidak menyangkal kemungkinan SPRM dipergunakan untuk menjayakan agenda Umno-Barisan Nasional merampas kuasa pentadbiran Selangor, sepertimana berlaku dalam insiden rampasan kuasa Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2009.

Kami menggesa SRPM professional dalam menjalankan tugas dengan turut menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Barisan Nasional yang terang-terang melakukan rasuah seperti bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo.

Kedua-dua ADUN itu akan hadir bersama peguam masing-masing ke Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 3 petang esok (1 Julai) untuk memberi kerjasama yang sewajarnya kepada pihak SPRM.


Dr Badrul Amin Baharom
Pengarah Penerangan
Kerajaan Negeri Selangor Dahrul Ehsan

Tuesday, May 25, 2010

Bila Hukum Islam di Buang.

BAGHDAD: Penduduk ibu kota Iraq kembali mengeluh dan kesal dengan kemunculan semula alkohol, judi dan pelacuran selepas hilang sejak enam tahun lalu malah kali ini peningkatannya lebih ketara.

“Dosa kembali menjadi sebahagian hidup penduduk Baghdad sekali lagi,” kata anggota pergerakan yang memperjuangkan tradisi keluarga dan moral, Fadilla Muhammed.

Bar, kelab dan kedai arak, satu ketika dulu ditutup oleh kumpulan militan, kembali meneruskan perniagaan dan membuat keuntungan lumayan. Pusat pelacuran juga kembali aktif dan kebanyakan mereka ligat mencari pelanggan.

Di pinggir Baghdad, panggung wayang yang menayangkan filem bertemakan seks ketika penonton melakukan aksi itu di "kerusi masing-masing" atau di dalam bilik air dibuka semula. Wanita yang ditemui dalam panggung wayang seperti itu, menawarkan diri atau anak gadis masing-masing untuk pelanggan.

Menurut pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Mustafa al-Ghadhun, terdapat peningkatan dalam pengambilan alkohol dan ketagihan dadah di Iraq.

“Kami bimbang dengan kuantiti yang diambil, kerana banyak kes ketagihan alkohol dilaporkan,” katanya.

Daerah seperti Sadr, Alawi, Dora, Bab al-Muadhem dan Gazellia di Baghdad dilaporkan menjadi kawasan popular bagi urusan jual beli dadah.

Pengedar juga aktif di kawasan berkenaan yang kurang diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Bagi mereka yang terbabit dalam amalan yang satu ketika dulu diharamkan, inilah yang mereka mahu dibawa oleh Amerika Syarikat ke Iraq.

“Ini masanya untuk berasa bebas dan menikmati tradisi Barat. Kami sudah dewasa dan bertanggungjawab di atas tindak tanduk masing-masing,” kata Abu Feiraz yang bermain catur dengan anak lelakinya berusia 17 tahun di sebuah kafe di Karada sambil bangga menuangkan wain ke dalam gelas anaknya itu. – Agensi

Wednesday, April 14, 2010

Siapa yang menghalang Mahkamah Syariah?

Bila Dr Yusuf Qardawi jelaskan makna-makna ayat 4, 11-19 surah an-Nur tentang fitnah... Ustaz itu kata "itu cuma pendapat Dr Yusuf..." Nasihat saya... Bertaubatlah! Itu adalah ayat2 Allah... Ianya bukan pandangan atau pendapat manusia... Itu hukum Allah! Dr Yusuf hanya memperingatkan kita... Jangan sampai Allah turunkan bala`...

"Jika tidak kerana nikmat serta kasih sayang (rahmat) Allah pada kamu di dunia dan akhirat, nescaya kamu ditimpa azap pedih akibat dosa (fitnah) yang kamu lakukan..." (An-Nur 24:14)

Berita paling panas dan mengejutkan ialah berkenaan kes fitnah liwat Saiful Bukhari Azlan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Amat malang dan sungguh memalukan apabila Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menggagalkan permohonan Anwar untuk mendapat perintah agar bahagian pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mendakwa Saiful mengikut undang-undang Qazaf.

Ini berikutan keputusan mahkamah tersebut hari ini yang membenarkan permohonan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Jamil Khir Baharom @Ustaz Jamil), Pengarah JAWI (Datuk Che Mat Che Awi @Ustaz Che Mat) dan Ketua Pendakwa Syarie (Shamsuddin Hussain) untuk membatalkan permohonan Anwar itu.

Ini adalah bukti jelas bahawa Mahkamah Syariah Malaysia sendiri tidak mengiktiraf Undang-Undang Syariah atau mempersendakannya...


Berita penuh -

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom untuk membatal permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki. Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.



Wednesday, March 31, 2010

Teks Penuh Fatwa DR Yusuf - Sebaran...

Kes Fitnah Anwar: Teks Penuh Terjemahan Fatwa Dr Yusuf Untuk Sebaran.
Terjemahan Fatwa Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi
Mengenai Kes Fitnah (liwat) Anwar Ibrahim

Soalan:

Bolehkah Syaikh jelaskan kedudukan kes fitnah serta pertuduhan keatas sdr Anwar Ibrahim seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak dimana ianya dilakukan tanpa bukti dan saksi. Apakah pandangan syara’ mengenai hal ini?

Jawapan:

Dengan nama Allah, Maha Pengasih Maha Penyayang.
Segala pujian untuk Allah, Selawat dan salam untuk Rasul Nya serta keridaan Allah buat orang yang mengikut Sunnah dan bimbingan baginda.

Syariat Islam diturunkan untuk melindungi kepentingan manusia, menjaga agama, nyawa, harta, maruah dan nama baik seseorang. Ini terkandung dalam maqasid Shariah (matlamat syara`) dimana Islam melindungi kepentingan asas manusia iaitu nyawa, akal, harta, keturunan serta nama baik orang ramai.

Rasulullah s.a.w menegaskan dalam hadis baginda bermaksud:

“Setiap orang Islam haram menceroboh orang Islam yang lain; Haram menceroboh nyawanya, hartanya dan maruahnya”.

Dalam hadis tadi, baginda menegaskan dengan jelas tentang pengharaman perkara2 tersebut itu. Sebaliknya Islam mengajar agar tiap orang melindungi dan menjaga maruah orang lain. Malah jika benarpun seseorang itu telah melakukan kesalahan, Islam menuntut agar ia tidak dihebahkan atau digembar gemburkan tapi dilindungi demi menjaga maruah seseorang itu.

Dalam sebuah kisah, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada orang yang menasihati Mai’z agar datang menemuinya untuk membuat pengakuan zina dengan katanya:

“Mengapa tidak engkau tutup sahaja perkara ini dengan pakaian kamu. Andai saja engkau sembunyikan perkara itu, tentu ia lebih baik bagi kamu.”


Quran menjelaskan dalam Surah an-Nur 24:19 -

“Sesungguhnya orang-orang yang suka tersebarnya kebejatan di kalangan orang yang beriman, untuk mereka seksa yang amat pedih di dunia dan di akhirat.”

Oleh kerana itu Islam menetapkan hukuman yang amat berat terhadap orang yang mengaibkan orang lain atau menceroboh maruah dan nama baik orang lain. Islam telah menetapkan tiga jenis hukuman terhadap orang yang melakukan fitnah keatas orang lain iaitu; hukuman fizikal, hukuman moral dan sosial serta hukuman spiritual. Firman Allah dalam surah An-nur 24:4 -

“Orang yang menuduh (wanita) orang Islam lain dgn tuduhan zina tapi tidak mengemukakan empat orang saksi maka sebatlah dia sebanyak 80 kali. Dan janganlah kamu terima persaksiannya buat selama-lamanya. Dan mereka itu orang yang fasiq”

Ulama sepakat mengatakan tuduhan zina kepada lelaki muslim sama hukumannya dengan tuduh zina terhadap wanita muslimah. Ulamak juga sepakat bahawa tuduhan liwat adalah sama dengan zina.

Dalam hal ini lumrahnya tuduhan zina ini ditujukan kepada golongan wanita. Namun jika ada sesiapa yang menuduh oang lelaki yang berbuat demikian maka menurut ijmak ulama ia termasuk dalam lingkungan makna ayat ini.

Hukuman fizikal yang dimaksudkan ialah 80 kali sebat. Manakala hukuman moral dan sosial ialah dengan menolak kesaksiannya buat selama-lamanya. Imam Abu Hanifah menegaskan bahawa walaupun orang berkenaan sudah bertaubat namun hukuman ini tetap berlaku dan berkuat kuasa iaitu ia tidak boleh menjadi saksi selama-lamanya. Adapun hukuman agama pula adalah ia dianggap sebagai orang yang fasiq.

Sebenarnya tidak akan ada orang yang berani berbuat demikian, iaitu menuduh dan memfitnah orang lain dengan tuduhan palsu melainkan orang yang fasiq atau rusak agama.

Sehubungan dengan ini al-Quran menceritakan dengan agak terpeinci sebuah peristiwa yang dikenal sebagai “Hadith al-Ifk” (kisah fitnah). Peristiwa yang berlaku di Madinah ini melibatkan isteri kesayangan Rasulullah s.a.w sendiri, anak Abu Bakar as Siddiq Khalifah pertama dan sahabat paling rapat dengan Rasulullah s.a.w. Beliau adalah Ummul Mukminin (ibu kaum mukminin) Aisyah r.a.. Aisyah telah dituduh secara jahat oleh orang yang tidak bertanggungjawab yang kononnya ia telah berzina dengan seorang sahabat yang soleh serta terkenal baik dan tidak pernah bersikap serong serta berbuat jahat.

Cerita palsu ini berkembang dengan cepat dari bibir ke bibir dan menjadi perbualan ramai. Hampir sebulan lamanya perkara ini merebak di Madinah sehinggalah Allah menurunkan ayat-ayat al-Quran membersihkan nama baik Aisyah dari angkara fitnah ini. Ayat tersebut menyelar golongan munafiq yang melakukan kerja jahat tersebut. Ayat ini juga menegur masyarakat umat Islam ketika itu kerana tidak bertindak membendung fitnah yang menular itu di peringkat awal dengan tegas.

Allah berfirman dalam surah al-Nur 24:11 -

“Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong (palsu) itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu menganggapnya buruk bahkan sebenarnya ada kebaikan untuk kamu. Setiap orang akan memikul dosa perbuatannya. Manakala orang yang paling besar peranannya dalam hal ini dari kalangan mereka pasti akan mendapat balasan azab yang paling besar pula.”

Yang memikul dosa besar dalan hal ini adalah kepala mereka iaitu Abdullah Bin Ubai Bin Salul, bapa kaum munafiq. Dialah yang mengheboh-hebohkan khabar angin ini. Dialah yang menyebutkan -

“Demi Allah! Aisyah tidak selamat dari rangkulan orang itu dan orang itu pun tidak selamat dari godaan Aisyah.”

Fitnah ini berterusan memamah nama baik Saidatina Aisyah untuk beberapa lama hinggalah Al-Quran menegaskan dalam Surah al-Nur 24:12 -

“Sepatutunya apabila kamu mendengar cerita seperti ini, orang mukmin lelaki dan perempuan perlu menyangka yang baik dan sopan terhadap sesama sendiri lantas mengatakan; ini adalah pembohongan yang nyata.”

Ertinya - sepatutnya kamu menolak fitnah itu sejak awal-awal lagi dengan menekankan tentang dosanya dan perlunya orang berkenaan membawa dan menampilkan 4 orang saksi. Allah menegaskan dalam ayat berikutnya juga di surah an-Nur 24:13 -

“Seandainya mereka tidak menampilkan para saksi maka orang orang itu adalah golongan pendusta.”

Al-Quran mensyaratkan 4 orang saksi dalam kes yang berkaitan dengan maruah dan kehormatan diri. Dan sememangnya Islam bersikap keras dan tegas dalam hal yang melibatkan maruah serta nama baik orang lain. Berbeza dengan kes berkaitan dengan harta maka Islam memada dengan dua orang lelaki sebagai saksi atau seorang lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi.

Dalam kes berkaitan dengan maruah seperti fitnah ini, Islam mensyaratkan mesti dibawa empat orang saksi. Quran menjelaskan “Seandainya mereka tidak menampilkan para saksi maka merekalah golongan pembohong”.

Al Quran menjelaskan lagi dalam ayat berikutnya (an-Nur 24:14) -

“Kalaulah tidak kerana kurnia Allah dan rahmat Nya kepada kamu di dunia dan akhirat nescaya kamu ditimpa azab yang besar akibat perbuatan kamu itu.”

Maksudnya - Kerana rahmat dan kasih sayang Allah kepada kamu maka kamu tidak digegar dan ditelan bumi ataupun di landa dengan bencana taufan dan sebagainya sepertimana yang dialami oleh umat-umat sebelum ini.

Al Quran menegaskan lagi (al Nur 15) -

“Ketika kamu menerima fitnah tersebut dengan lidah kamu dan kamu menyambungnya dengan pertuturan mulut kamu sesuatu yang kamu sendiri tidak tahu, malah kamu menyangkanya perkara kecil (menyambung cerita fitnah) pada hal di sisi Allah perkara itu adalah suatu yang amat besar.”

Al-Quran memberikan pertunjuk yang cukup indah - Alangkah baiknya ketika mula kamu mendengar fitnah itu, kamu mengatakan ‘tidak wajar kita menghebahkan perkara ini… Maha suci Allah. Ini semata-mata pembohongan yang besar”. Allah menegaskan (an-Nur 24:16-17) -

Allah ingatkan : “Alangkah baiknya ketika kamu mula mendengar khabar angina atau fitnah seperti itu kamu lantas berkata: Tidak wajar kita membicarakan perkara seperti ini; maha suci engkau (Ya Allah) Ini memang pendustaan dan pembohongan yang besar. Allah menasihatkan kamu agar jangan sekali-kali mengulangi perbuatan seperti ini buat selama-lamanya, seandainya kamu benar-benar orang yang beriman.

Dalam ayat berikutnya Allah berfirman (an-Nur 24:18) -

”Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat hukumnya. Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana”.

Kes pertuduhan seperti ini adalah suatu yang serius dan besar dalam ajaran syariat Islam; lebih-lebih lagi terhadap orang Islam. Perbuatan melimparkan pertuduhan palsu seperti ini menurut Islam adalah merupakan dosa besar dan haram hukumnya.

Umat Islam perlu mengelak diri dari mencemarkan maruah dan nama baik orang lain yang tidak bersalah. Kecuali jika benar benar ada bukti dan keterangan yang sah dan nyata dengan membawa saksi-saksi yang cukup seperti yang dikehendaki oleh syara’.

Inilah nasihat saya kepada umat Islam di Malaysia . Mereka perlu takut kepada Allah. Janganlah menuduh, memfitnah secara membuta tuli, merosakkan maruah dan nama baik orang kerana menurut hawa nafsu atau menurut dorongan politik dan golongan tertentu yang suka mendorong orang lain melakukan kejahatan seperti itu dengan menggunakan media massa dan sebagainya.

Kalau tidak, mereka harus ingat bahawa pengawasan Allah terhadap kejahatan seperti itu tidak pernah luntur atau luput. Allah mungkin membiarkan atau memberi tempoh dan penangguhan masa untuk menjatuhkan hukuman Nya; namun Allah tidak pernah lupa atau cuai untuk berbuat demikian bila sampai masanya. Allah berfirman dalam Surah Ibrahim 14:42 -

“Jangan kamu menyangka Allah lalai tentang apa yang dilakukan oleh golongan yang zalim itu”.

Saya menasihatkan anak-anak saya rakyat Malaysia lelaki dan perempuan agar jangan mudah menceroboh maruah orang Islam yang lain. Lebih-lebih lagi terhadap orang yang memang terkenal baik, dihormati, berakhlak mulia dan luhur, seorang pendakwah yang berbudi pekerti mulia di dunia Islam; seperti sdr. Anwar Ibrahim dan lain-lain.

Amat jelas, bahawa pertuduhan terhadap beliau adalah bermotifkan muslihat politik serta dilakukan oleh orang-orang yang memandang ringan perbuatan mengaibkan orang dengan tuduhan jahat seperti itu. Allah berfirman dalam surah al-An’am 6:144 -

“Siapakah yang lebih zalim dari orang yang melakukan pembohongan terhadap Allah untuk menyesatkan orang ramai tanpa ilmu pengetahuan. Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada golongan yang zalim”

Saya berdoa agar Allah mendedahkan hakikat yang sebenarnya. Saya mohon agar Allah menangkan yang hak serta benar dan menumpaskan kebatilan yang batil. Saya berdoa agar Allah menyatakan kebenaran sdr Anwar Ibrahim. Agar Allah bebaskan beliau dari pertuduhan jahat ini. Biarlah Allah dedahkan konspirasi orang-orang yang memburuk-burukkan beliau dan menyibarkan pembohongan dan fitnah di kalangan orang ramai secara tidak bertanggongjawab dan tidak takut melakukan dosa serta penderhakaan yang nyata kepada Allah.

Insyaallah! Ketahuilah bahawa kebenaran tidak akan hilang atau tumpas, justeru Allah pasti akan memenangkan yang hak dan benar, Allah akan menumpaskan kebatilan walaupun golongan petualang tidak suka dan benci. Allah berfirman dalam Surah al-Isra’ 17:81 -

“Dan katakanlah: Telah tiba kebenaran dan telah lenyap kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu pasti akan lenyap”.

Sekian , wassalamu alaikum warahmatullah wabarakatuh..

Wednesday, March 10, 2010

Isu Fitnah Anwar (Copy & Paste)

Fatwa Yusuf al-Qaradhawi - Sesiapa yang merancang sama ada secara langsung atau tidak maka hukumnya adalah "munafik"... Yang membantu menyebar adalah "fasik"...

Satu cakera padat (CD) yang berupa rakaman sidang video ulama tersohor Prof Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung fatwa terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diedarkan kepada orang ramai malam tadi.

Dalam rakaman sidang video itu antara lain mengandungi mengenai fatwa ulama dunia Islam itu terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar yang juga ketua pembangkang.

Sidang video itu telah dirakamkan pada 14 Februari selama 33 minit itu di kediaman Dr Yusuf di Doha, Qatar termasuk terjemahan percakapan beliau yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Abdul Ghani Shamsuddin.

Cakera padat yang bertajuk "Fatwa Mutakhir Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim" telah diterbitkan oleh Women's Institute of Research Development dan Advancement (WIRDA) diedarkan secara percuma.

Anwar dalam ceramahnya malam tadi berkata Dr Yusuf - yang merupakan Ketua Ulama Islam Sedunia - menegaskan kepadanya bahawa isu yang dihadapinya itu berkaitan dengan hukum Islam dan akhlak.

Tambahnya, dalam sidang video itu tokoh Islam itu membawa hujah al-Quran dan Hadis serta alasan-alasan beliau mengeluarkan fatwa tersebut.

"Ini bukan soal PAS, atau PKR, tetapi ini soal akidah dan akhlak. Beliau berkata kepada saya, bahawa beliau bertanggungjawab di akhirat kelak (dengan fatwanya)," kata Anwar ketika berceramah di Kampung Baru di ibunegara malam tadi.

Ceramah itu disampaikan sempena sambutan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat sejak memenangi pilihan raya umum pada 2008, termasuk menguasai sembilan daripada 10 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam ceramahnya, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata Dr Yusuf telah mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung maka hukumnya adalah "munafik"

Anwar juga berkata fatwa Dr Yusuf juga menyebut, bahawa sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut maka jatuh hukumnya sebagai fasik.

Kata Anwar, orang yang fasik tidak boleh diterima kesaksiannya dan kebenaran percakapannya sepanjang hidup.

"Dr Yusuf berkata kepada saya, tolong selamatkan mereka... Ini merupakan satu amanah, tolong sampaikan, dan sebarkan kepada semua," kata Anwar.

Sehubungan itu, Anwar meminta hadirin memperbanyakkan salinan CD tersebut dan menyebarkan kepada orang ramai.

"Ada orang kata saya ada kepentingan (dengan CD itu), (tapi) saya rasa tidak tergugat (dengan pertuduhan itu) kerana tidak ada kes, (dan) laporan doktor menyebelahi kita," katanya.

Dalam ceramahnya juga, Anwar juga mengulas mengenai ujian yang dihadapi oleh negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dengan mengambil iktibar daripada perjuangan Rasulullah SAW.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat harus bersedia untuk menghadapi sebarang ujian daripada Umno/BN demi menegakkan kebenaran dan keadilan dalam masyarakat di negara ini dapat tercapai.

"Mereka pukul dan aibkan kita. Kalau patah dayung, dengan jari ku dayung jua. Namun mengalah, tidak sesekali," katanya.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri, turut menyindir wakil rakyat PKR melompat parti kerana tidak sabar dengan ujian sehingga mereka membuat keputusan untuk keluar daripada parti.

"Dulu Anwar kata, kita akan dapat ke Putrajaya. Oleh kerana lambat, jadi mereka patah balik. Tengok satu juta bertahan, tengok duit dua juta, hati berdebar," katanya berseloroh diiringi gelak ketawa hadirin.

"Sokong (Pakatan Rakyat) kerana prinsip keadilan, bukannya untuk dapat wang".

Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila polis cuba menghentikan perhimpunan sambutan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat itu.

Bagaimanapun, ceramah itu diteruskan apabila penganjur meneruskannya di dalam bangunan kelab tersebut, yang dimiliki oleh kerajaan Selangor.

Thursday, February 11, 2010

Kalau Tak Tau... Tanya atau Baca...

Profesor Dr. Abdul Aziz Bari - Boleh Singkir PM dengan mudah!!
2.11.2010-

Profesor Dr. Abdul Aziz Bari menyifatkan keputusan mahkamah persekutuan mengenai isu siapa Menteri Besar yang berpihak kepada UMNO Barisan Nasional, membangkitkan persoalan mengenai kedudukan kerajaan dalam sistem demokrasi dari sisi perundangan.

Professor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa itu berkata perkara ini serius kerana Menteri Besar sepatutnya hanya boleh disingkir melalui Dewan Undangan Negeri.

“Pada hakikatnya kalau di negeri Perak itu Sultan boleh menyingkirkan Menteri Besar tanpa melalui undi tidak percaya dalam dewan secara formal, maka di peringkat pusat juga peringkat persekutuan boleh menyingkirkan perdana menteri tanpa melalui undi tidak percaya,"katanya.

Aziz berkata demikian ketika ditemubual TVSelangor.com

Beliau percaya kepada amalan yang dipraktik selama ini iaitu melalui undi tidak percaya secara formal di Dewan Undangan Negeri bagi menentukan siapa Menteri Besar.

“Jadi, itu yang menyebabkan timbulnya perspepsi ataupun tanggapan bahawa apa yang berlaku itu boleh memberi kesan kepada perlembagaan dan ini semakin boleh mengkompromikan sistem Raja itu sendiri,”katanya.

Kes ini akan menjadi rujukan tetapi malangnya ia perkembangan yang tidak sihat kerana undang-undang pada masa ini boleh menyingkirkan pemimpin dengan mudah, tanpa mematuhi prosedur yang betul.

“Dengan keputusan yang terbaru itu, mengatakan bahawa Menteri Besar ataupun Perdana Menteri boleh disingkir tanpa melalui undi tidak percaya, ini merupakan kesan langsung, dengan kata lain undang-undang yang dihuraikan yang diputuskan mahkamah semalam adalah perkembangan yang tidak sihat pada kes-kes akan datang,”katanya.