Friday, July 23, 2010

Tiada krisis air, Selangor tolak kadar air naik!

Kenyataan Media
22 Julai 2010

Tiada krisis air, Selangor tolak kadar air naik!

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air harus berhenti daripada mengelirukan orang awam dengan menimbulkan isu krisis air di Selangor. Masalah kini di Selangor bukan kekurangan air tetapi tindakan Kerajaan Pusat yang segaja melambatkan penyelesaian penstrukturan semula syarikat pengurusan air di Selangor.

Masalah yang bakal didepani rakyat Selangor bukan krisis kekurangan air, tetapi kadar air meningkat disebabkan keengganan kerajaan pusat Barisan Nasional menyerahkan pengurusan industri air Selangor kepada kerajaan negeri, sebaliknya meneruskan agenda penswastaan air.

Dakwaan Selangor menghadapi krisis bekalan air bertujuan memberi alasan untuk menaikkan kadar air. Hujah Menteri Datuk Seri Peter Chin mengulas Menteri Besar Selangor semalam adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Pandangan Menteri tersebut jelas sekadar bertujuan untuk mengalihkan tumpuan terhadap isu pengambilalihan pengurusan industri air di Selangor, bukannya melihat pada pokok pangkal masalah sebenar yang berpunca daripada Kerajaan Pusat.

Sekiranya kerajaan pusat Barisan Nasional terus menghalang penstrukturan semula industri air di Selangor, kami yakin kadar air akan meningkat disebabkan:

1. Pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang berkos RM8 bilion, sementara kerajaan negeri dapat melaksanakan projek tersebut pada kos RM2 bilion.

2. Pengurusan Syabas yang tidak telus, antaranya gaji tahunan Pengerusi Syabas mencecah RM5.1 juta setahun, RM425,000 sebulan.

3. Puncak Niaga gagal menaiktaraf loji rawatan air yang sudah uzur dan tidak mampu untuk merawat air.

4. Pembaziran air yang berterusan akibat air tanpa hasil (NRW) yang tinggi.

5. Penswastaan industri air yang hanya menguntungkan kroni-kroni pimpinan politik.

Air, tanah, sumber mineral merupakan milikan negeri Selangor, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menjaga hak rakyat Selangor.

Antara usaha kerajaan negeri untuk menghalang Syabas yang bertindak sebagai alat kerajaan pusat bagi merampas hak rakyat Selangor ialah mencadangkan pengambilalihan industri air di Selangor, serta memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu.

Rakyat lebih berkeyakinan di bawah kepimpinan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri mampu mengurus pentadbiran industri air dengan jauh lebih telus dan bekesan.

Kami menyeru agar Kerajaan Pusat mengaku air sebagai hak asasi manusia dan tidak diperalatkan untuk keuntungan kroni atau kepentingan politik. Kami juga rayu kepada seluruh rakyat Selangor bertegas memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri dalam usaha mengambilalih industri air di Selangor dan membantah penswastaan air di Selangor.



Dr Badrul Amin Baharom
Pengarah Penerangan
Kerajaan Negeri Selangor

2 comments:

SUARA RAKYAT KUNAK said...

Semua ini kerja kerja UBN yang hasad dengki dengan PR di Selangor, UBN harus dilenyapkan dari Bumi Malaysia dalam PRU ke 13, salam UB. Djapri Kudosat

dino.yp@gmail.com said...

Sudahlah Dr., bagilah alasan yang munasabah dan fakta, bukan rethorik dan bersifat pandangan semata2.