Friday, April 29, 2011
Bersumpah Amalan Munafik.
Petaling Jaya, Selangor, 28 April 2011,
KEADILAN ingin menjelaskan bahawa isu yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak tentang keperluan Anwar Ibrahim untuk mengangkat sumpah laknat (mubahalah) hendaklah diselesaikan mengikut prinsip dan kaedah syarak.
Cara yang telah disarankan tersebut adalah tidak menepati dengan kaedah syarak yang sebenarnya. Sheikh Yusuf al-Qardhawi, seorang ilmuan ternama dunia yang berautoriti dalam bidang syari’ah menjelaskan bahawa orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti (4 orang saksi yang adil). Ini adalah ketetapan Allah yang tidak boleh dikompromikan dan orang yang tertuduh tidak dituntut untuk bersumpah kerana pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan.
Jika semua kes jenayah mahu diselesaikan dengan amalan bersumpah, maka tidaklah perlu diwujudkan mahkamah, hakim ataupun polis. Semua pelaku jenayah boleh sewenang-wenangnya melepaskan diri mereka dengan hanya melakukan sumpah. Akibatnya sistem kehidupan negara akan menjadi porak puranda.
Namun begitu, inilah yang dilakukan oleh mereka yang tergolong dari kalangan orang-orang munafik. Demikianlah gambaran al-Qur’an:
“Mereka (orang-orang munafik) menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. “(Al-Munafiqun: 2).
Sifat orang-orang munafiq ini memang pandai berpura-pura, berlakon dan bijak berkata-kata. Namun begitu, mereka sentiasa dihimpit rasa cemas dan gelabah serta bersifat angkuh dan sombong. Ini jelas dinyatakan Allah di dalam ayatnya yang bermaksud:
“Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (batang buruk hampas dan kosong). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)? (4) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.”(Al-Munafiqun:3-5).
Isu yang ditimbulkan sebenarnya adalah sebahagian daripada gerakan fitnah yang dilakukan oleh musuh-musuh politik Dato Seri Anwar Ibrahim sejak 12 tahun yang lalu. Gerakan fitnah yang semakin menggila sekarang ini adalah manifestasi dari mentaliti tertekan dan kecemasan melampau lantaran sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada DSAI dan Pakatan Rakyat sekarang ini.
Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan
Tel : 019-332-8302
eMail : dr_manuty@hotmail.com
Wednesday, April 6, 2011
Bahaya Gejala Fitnah Yang Menular.
SHAH ALAM 3 APRIL : Al Quran bukan buku cerita atau buku sejarah. Ia adalah pedoman dan pembimbing manusia mengenal diri, tanggungjawab dan siapa Tuhannya.
Sebab itu kisah-kisah dalam al Quran harus digarap dan difahami demi mencari pengajaran dan teladan yang boleh dijadikan petunjuk pada semua masa dan persekitaran.
Cerita Nabi Yusuf alaihi salam (a.s.) misalnya, amat relevan dengan kehidupan dahulu, kini dan selamanya.
Ketika mengupas kisah ini dan hubungannya dengan realiti sosial, ekonomi dan politik hari ini, ahli pemikir Dr Sidiq Fadzil menyerlahkan betapa serasinya al Quran ini digunakan untuk umat manusia di Malaysia membaca suhu politik, dan ragam kemanusiaan rakyat serta pemerintahnya.
Beliau menghuraikan bahawa manusia memang sukar menceraikan sikap dan perasaan dengki.
Ia biasa menjeruk jiwa sesiapa dan dalam persekitaran apa jua. Dalam kes Nabi Yusuf a.s, yang dengki kepadanya ialah adik beradiknya sendiri. Alasan dendam dan dengki mereka amat lumrah – berebut kasih sayang. Atau, mungkin juga kerana kekurangan unsur itu dalam diri.
Didorong sifat dengki kerana kononnya Yusuf a.s. kononnya lebih disayangi oleh bapa, Yaakob a.s, mereka pun melakar konspirasi untuk memadamkan kehadiran Yusuf a.s. dalam persekitaran hidup mereka. Kisahnya: Yusuf a.s. dibuang ke dalam telaga.
Di sebalik itu al Quran pun mendedahkan helah manusia (dalam kes ini adik beradik Nabi Yusuf a.s. sendiri) mereka cipta bukti palsu dengan melumur darah kambing pada baju Yusuf dan dikemukakan kepada bapa mereka kononnya adik mereka itu telah dibaham serigala. Kecurangan begini masih berulang hingga hari ini hingga kepada usaha “menanam” DNA sebagai bukti.
Nabi Yusuf ditemui kafilah yang lalu dekat telaga ketika mencari air. Namun gerombolan ini mengambil kesempatan penemuan ini dan menjadikan modal niaga. Yusuf dijual sebagai hamba sahaya. Iktibar daripada ini, kata Dr Sidiq ialah, meskipun menjadi hamba, kemuliaan Yusuf tidak luntur. Dia tetap pilihan Allah.
Maka dikurniakan Yusuf pelbagai keelokkan – rupa diri, syaksiah dan kebijaksanaan yang tinggi. Ini menimbulkan ghairah pelbagai pihak untuk memiliki dan menguasainya.
Maka terjadilah fitnah lebih besar terhadap Yusuf. Meskipun terbukti bukan dia menggoda isteri Al Aziz, majikan Yusuf, bahan fitnah berbaur seks ini menyebabkan lebih ramai yang berkepentingan di Mesir yang mahu Yusuf dipenjara.
Sifat dengki dan dendam kesumat menjadi inti konspirasi. Maka ramailah yang tampil berbohong tentang “kejelekan” peribadi Yusuf dan terperosoklah baginda dalam penjara.
Status banduan tidak melunturkan kemuliaan Nabi Yusuf a.s. Ilmu tamsil mimpi dan sifat abidnya kepada Allah, menjadi jatidirinya. Dia terus jadi pedoman banduan lain dan sentiasa diberi penghormatan dan dimuliakan.
Yang signifikannya ialah apabila Yusuf dapat menafsirkan mimpi raja. Lebih istimewa lagi, Yusuf juga mampu menampilkan pelan induk ekonomi untuk Mesir.
Nasib Yusuf berubah ketika itu. Bukan sahaja ditawarkan kebebasan, tetapi pelan ekonomi Yusuf mendorong Raja memberinya tanggungjawab menguruskan ekonomi negara. Yang mengkagumkan ialah, Yusuf tidak segera menerima tawaran Raja itu.
Nabi Yusud mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat mengapa beliau dipenjara.
Setelah terbukti nasib malang Yusuf itu berpunca daripada konspirasi yang membabitkan soal seks, dan namanya kemudian dibersihkan, barulah Yusuf menerima tanggungjawab sebagai penguasa ekonomi negara.
Yusuf sedar, di hadapan Allah, tiada guna pangkat atau nama jika soal maruah tidak diutama.
Pengajaran daripada kisah Yusuf ini ialah soal dengki tidak pernah mati dalam diri mana-mana manusia dan tamadun. Yang jadi persoalan ialah bagaimana mengawalnya.
Rentetan itu, soal naluri seks juga tidak pernah lekang daripada jiwa manusia. Maka yang menjadi persoalannya ialah bagaimana pula ia harus dikendali dan jangan dijadikan modal konspirasi sesama insan.
Bayangkan betapa besarnya aib yang menimpa diri ketika usia telah lanjut apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja membongkar di depan mata anak cucu bahawa diri terbabit dalam konspirasi seks hanya kerana ketika itu hendak mengekalkan kuasa, kedudukan dan pangkat?
Sifat buruk ini memang ada pada manusia. Sebab itu al Quran diturunkan untuk menjadi pedoman supaya mengelak mengulang kesilapan dan keterlanjuran manusia silam.
Lebih penting daripada itu, kata Dr Sidiq, setiap insan mesti meyakini bahawa ujian ada di mana-mana.
Lebih besar status dan kaliber seseorang itu, maka lebih getirlah ujian yang dihadapinya. Namun paksi ujian ialah bagaimana menundukkan kedengkian sesama insan.
Dan, lebih penting lagi, ialah bagaimana mengenal dan mengelak diri terjerumus dalam sikap kepetualangan itu. Kisah seperti pengalaman Nabi Yusuf menunjukkan betapa tema kedengkian manusia – memadamkan kehadiran saingan dengan cara fitnah dan membunuh serta motif politik bertema rasuah dan seks sentiasa jadi juadah konspirator untuk menundukkan lawan politik mereka; dari zaman ke zaman.
Maka jika kita percaya pada Allah dan sentiasa mengintai kebijaksanaan dan pedoman yang diselitkan dalam kisah-kisah Al Quran, maka tidak mungkin kita gusar akan fitnah dan cabaran dunia ini.
Sebagai tunjang iman, kita percaya balasan Allah akan tetap berlaku terhadap yang memfitnah dan juga yang difitnah. Jika tidak di dunia, orang beriman yakin, di akhirat nanti ada ganjaran dan hukumannya.
Sebab itu Allah menjanjikan Yaumil Masyar, Syurga dan Neraka.