Sunday, July 12, 2009

Halal & Haram dalam Mu`amalat (Perniagaan).

Halal & Haram dalam Islam bukan hanya pada persoalan makan minum dan pakai tapi juga pada seluruh sistem yang mengatur kehidupan kita termasuk sistem mu`amalat atau perniagaan. Terdapat sekian banyak kitab besar dan kecil membahaskan persoalan perniagaan dalam Islam yang disebut Kitab al-Mu`amalat. Satu cabang mu`amalat ialah jual beli (al-bay`).

Islam meletakkan asas penting dalam proses jual beli iaitu "rida meridai" antara semua pihak yang terlibat. Al-Quran menggunakan istilah "tijaaratan `an taraadin minkum" (perniagaan atas asas rida meridai antara kamu). Selain itu Islam mengharamkan riba serta sebarang bentuk penipuan (ghish) atau pengkiahanat dalam sebarang mu`amalat.

Firman Allah bermaksud "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba". Nabi s.a.w. memperingatkan dengan hatidhnya bermaksud "Siapa yang menipu bukan dari golongan kita". Rasulullah s.a.w juga bersabda bermaksud "Peniaga yang jujur bersama ku dalam syurga seperti ini (Nabi s.a.w. merapatkan dua jarinya untuk menggambarkan betapa rapatnya kedudukan peniaga yang jujur itu dengan baginda dalam syurga)".

Antara jual beli yang dilarang ialah menjual sesuatu yang tidak pasti bendanya atau harganya untuk mengelak sebarang penipuan seperti menjual sesuatu yang belum ada, ikan dalam air, binatang dalam hutan dsb kecuali dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Ada orang bertanya, bagaimana dengan amalan mengutip wang korban setahun sebelum lembu dibeli sedangkan harga dan lembunya belum ada atau belum diketahui? Apakah itu termasuk dalam urusniaga yang ditegah?

Sekiranya ada perjanjian yang jelas tentang tujuan kutipan wang, jumlah dan tempoh kutipan dengan syarat-syarat tertentu yang disetujui oleh semua pihak, maka mu`amalah tersebut sah. Contohnya, tujuan kutipan itu adalah untuk mengumpul wang bagi membeli lembu korban, kutipan sebanyak RM30/orang (1 bahagian) sebulan selama 12 bulan, seekor lembu dikongsi oleh 7 orang atau bahagian, harga lembu adalah menurut harga semasa pada tarikh lembu dibeli (bukan tarikh mula kutipan) dan sebarang kekurang atau kelebihan wang akan diurus sesama ahli pada tarikh lembu dibeli... maka urusniaga itu tidak syak lagi adalah sah. Dan inilah yang banyak diamalkan dalam masyarakat kita hari ini untuk memudahkan ibadah melalui surau dan masjid atau persatuan...

Ingat, menjaga halal dan haram dalam perniagan menjamin keberkatan rezki...

Salam hormat.
Http://www.drbadrulamin.blogspot.com