Monday, March 28, 2011
Konspirasi Jahat Fitnah 1, 2 & Video Seks...
DNA HARAM DITERIMA SEMULA DAN FITNAH III – DATUK T
Parti Keadilan Rakyat negeri Selangor memandang berat isu penerimaan semula tiga barang yang dikatakan mempunyai DNA Anwar Ibrahim oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Zabidin Mohd Diah. DNA yang dikutip daripada tiga barangan tuala, berus gigi dan botol air adalah diperolehi secara tidak sah.
Selalunya penerbalikan keputusan hakim hanya akan berlaku sekiranya terdapat rayuan kepada mahkamah yang lebih tinggi, namun sikap tidak konsisten Hakim Mohd Zabidin ini menimbulkan tanda tanya sama ada benar dakwaan sesetengah pihak dalam bidang kehakiman sendiri, bahawa UMNO telah mendesaknya untuk berubah fikiran.
Ini kerana memandangkan keputusan awalnya untuk tidak menerima DNA daripada pemeriksaan haram, menghapuskan apa jua ruang untuk UMNO dan si boneka Saiful, untuk memenangi kes tersebut.
Parti Keadilan Rakyat juga teringin untuk bertanyakan mengapa Hakim tersebut tidak memberikan kutukan keras atau 'reprimand' kepada pihak Polis DiRaja Malaysia kerana melakukan perkara haram ketika menyiasat kes berkepentingan tinggi seperti ini?
Parti Keadilan Rakyat Selangor juga ingin membantah keras sikap talibarut UMNO yang sekarang ini lebih dikenali sebagai trio Datuk T yang tanpa segan silu mengkhianati perintah Allah SWT dan junjungan Rasulullah SAW kerana melakukan Qazaf dan melanggar undang-undang negara dengan menayangkan video lucah di Carcosa Seri Negara.
Firman Allah SWT bermaksud -
“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, Maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. dan mereka Itulah orang-orang yang fasik.” (Surah An-Nuur: 4)
Maka jelas, nyata dan teranglah bahawa Allah SWT membenci golongan fasik yang menuduh Datuk Seri Anwa Ibrahim dengan tuduhan zina tanpa mendapatkan empat orang saksi. Islam memelihara kehormatan individu dan tidak membenarkan sesiapa sahaja menuduhkan mereka tidak suci tanpa saksi; itupun sekiranya terdapat aib maka adalah lebih baik bagi mereka untuk menyembunyikan aib tersebut
“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).
Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dengan jelas menyatakan bahawa;
Whoever-
(a) sells, lets to hire, distributes, publicly exhibits or in any manner puts into circulation, or for purposes of sale, hire, distribution, public exhibition or circulation makes, produces or has in his possession any obscene book, pamphlet, paper, drawing, painting representation or figure or any other obscene object whatsoever…
shall be punished with imprisonment for a term which may extend to three years or with fine, or with both.
Namun, Polis bertindak seperti biasa, tanpa rasa malu dan segan silu menjadi agen UMNO dengan membenarkan tayangan tersebut walaupun pihak Cawangan Khas telah mengetahui lebih awal berkenaan tayangan tersebut.
Dengan mengambil kisah kekecohan ketika ceramah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak yang didalangi oleh pihak Polis dan membandingkannya dengan sikap acuh tak acuh di Carcosa, saya ingin memberi amaran bahawa sikap lidah bercabang ini akan mengakibatkan moto pihak Polis dihumban ke tong sampah oleh rakyat sendiri.
Rakyat kini hanya melihat Polis sebagai salah satu Bahagian UMNO dan bukan sebagai sahabat dan pelindung mereka seumpama sikap polis dan tentera Muammar Gaddafi di Libya.
Bertindaklah mengikut Keluhuran Undang-Undang yang menjadi Rukun Negara kepada semua rakyat Malaysia. Pelanggaran kepada syarat asas ini akan menjahanamkan negara kita yang tercinta secara lansung tidak di hormati dunia luar.
Parti Keadilan Rakyat Selangor menuntut agar pihak Polis menghormati terlebih dahulu sistem Raja Berpelembagaan dan Perlembagaan Negara sebelum mereka bertindak sewenang wenangnya.
Bertarikh: 27 Mac 2011
Monday, February 28, 2011
Islam Sederhana ajaran Najib!
Ditambah lagi dengan kenyataan beliau yang menggambarkan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi selaku seorang yang menyokong keganasan. Di antara ayat-ayat kurang manis dalam laporan tersebut ialah : “Those concerns center on Qaradawi’s support and justification for terrorism (kebimbangan ini berasaskan kepada sokongan Qaradawi dan justifikasi yang diberikan beliau terhadap keganasan).
Saya kira Perdana Menteri Malaysia sudah lupa langit tinggi rendah sewaktu mengeluarkan kenyataan tersebut. Saya khuatir, pemergian ke Turki hanya untuk berguru dengan tokoh sekular Turki yang jasadnya berkubur di situ. Sudahlah beberapa minggu lepas, salah seorang bekas Perdana Menteri Malaysia menulis menyerang saya dengan melabelkan Kamal Attarturk sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada Islam, hari ini Perdana Menteri pula menziarahi pusara Kamal Attarturk dan meletakkan kalungan bunga di situ, satu amalan yang telah difatwakan haram di Malaysia. Barangkali itulah Islam sederhana, ajaran baru UMNO.
Ingatlah, tiada Islam sederhana, Islam melampau atau Islam kedai kopi. Semuanya Islam yang datang dari Rasulullah SAW. Setiap yang berbeza, itu bukannya Islam.
Pertama, saya ingin bertanya, atas neraca mana nama ganas itu mahu ditampal? Adakah setiap perbuatan menuntut hak setelah dinafikan itu ganas? Dalam Islam, neraca yang paling tepat ialah sunnah Rasulullah SAW dan bukan neraca Hillary Clinton. Baginda dan para sahabat telah berada di bumi tempat tumpah darah : Makkah al-Mukarramah selama 13 tahun, selama tempoh itulah umat Islam di Madinah dizalimi, dinafikan hak mereka bahkan pernah dipulau selama tiga tahun di Syi’ib Ali. Mereka tidak dibenarkan berjual beli dengan sesiapa, salam mereka tidak berjawab, sapa mereka tidak berbalas. Mereka ditekan dengan pelbagai tekanan namun tidak sekalipun mereka melawan kerana belum menadapat keizinan daripada Allah SWT. Hanya di Madinah, barulah Allah SWT memerintahkan agar umat Islam berperang membela diri dan menjaga maruah.
FirmanNya :
وَقَاتِلُواْ الْمُشْرِكِينَ كَآفَّةً كَمَا يُقَـتِلُونَكُمْ كَآفَّةً
Yang bermaksud : Dan perangilah kaum musyrikin (yang memerangi kamu) itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya – Surah al-Taubah, ayat 36.
Di Madinah, umat Islam akhirnya dibenarkan melawan dan mengangkat pedang memerangi kezaliman ke atas mereka. Tiga belas tahun mereka bersabar di Mekah, namun kesabaran manusia ada hadnya. Jika binatang sekecil kucing pun boleh melawan jika ditindas, apatah lagi makhluk yang berakal seperti manusia? Adakah Rasulullah SAW dan para sahabat itu ganas? Suka saya nyatakan, jika Rasulullah SAW itu disifatkan ganas, maka semua muslim seharusnya bersedia untuk menjadi pengganas!
Hosni Mubarak telah menzalimi rakyat Mesir selama 30 tahun, bila diadakan pilihanraya pula dia dikatakan mendapat kemenangan hampir 99.99%. Adakah menjatuhkan pemimpin seperti ini dianggap sebagai ganas? Janganlah pula membuat tuduhan bahawa Ikhawanul Muslimin yang terlibat sedangkan apa yang jelas berlaku di Mesir ialah kebangkitan rakyat. Tidakkah Perdana Menteri Malaysia mengetahui bahawa mereka yang terlibat dengan protes ini terdiri daripada segenap lapisan rakyat Mesir. Muslim, Kristian, kelas bawahan, menengah bahkan atasan sekalipun berdiri satu barisan menuntut pengunduran Mubarak. Isunya ialah penyelewengan, penindasan dan kezaliman rejim Hosni Mubarak, jangan pula getahnya dipalitkan kepada Ikhwan!
Islam tidak mengajar untuk melakukan keganasan, tetapi Islam tidak membenarkan umatnya menghina diri dan merelakan perlakuan zalim ke atas diri mereka. Peliknya, ketika Hosni Mubarak menzalimi rakyatnya sendiri, mulut-mulut ini diam seribu bahasa, apabila rakyat Mesir bertindak menuntut hak, mereka pula dilabelkan sebagai ganas. Demikianlah juga ketika Iraq dan Afghanistan dihancurkan oleh Amerika Syarikat, mana perginya perkataan ganas itu? Begitu juga dengan tindakan PBB membelah bahagikan bumi Palestin demi kepentingan Israel, PBB dan Israel tidak dilabelkan ganas. Apabila rakyat Palestin bertindak walaupun hanya dengan melontar batu, mereka sudah dianggap ganas! Alangkah sengetnya neraca yang mereka gunakan.
Al-Qaradawi ialah ulama berjasa. Beliau pernah dipenjarakan ketika Perdana Menteri Malaysia hari ini belum lagi lahir ke dunia. Beliau telah mengarang puluhan kitab dalam pelbagai disiplin ilmu, pemikirannya dijadikan kajian oleh ratusan sarjana di seluruh dunia bahkan kerajaan Malaysia sendiri menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1431H kepada beliau.
Istighfarlah banyak-banyak. Ingatlah kepada Allah SWT sebelum melabelkan ulama yang mulia dengan tuduhan seperti itu. Harapan saya Perdana Menteri sekarang tidak berguru dengan salah seorang bekas Perdana Menteri yang semakin mengarut kenyataannya. Saya simpati dengan bekas Perdana Menteri itu.
Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 24 Rabiul Awal 1432 / 27 Februari 2011
Tuesday, February 8, 2011
Kongsi Ilmu Dgn Tok Guru.
Isu Nasionalisme: Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir - Nik Aziz
Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.
Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT :
يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. - Surah al-Nur, ayat 24
Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.
Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.
Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT :
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)
Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?
Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.
Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :
وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ
Yang bermaksud : "..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". - (Surah al-Baqarah, ayat 36)
Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya :
فرقت به جماعتهم
Yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!
Adakah benar Baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.
Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?
Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!
Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT. Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?
Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهم قد بلغت (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)
Sekian.
HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.
Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011
Wednesday, January 19, 2011
SULTAN PERKENAN SIDANG DUN KEMBALIKAN KUASA RAJA-RAJA.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berkata bahawa persidangan itu adalah untuk meminda Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.
Ketiga-tiga jawatan itu sebelum ini terletak pada kerajaan negeri, ditarik balik berikutan pindaan Perlembagaan pada 1993 oleh Tun Dr Mahathir Mohammad yang menjadi perdana menteri yang turut menyebabkan undang-undang di Selangor dipinda bagi memusatkan kuasa Kerajaan Persekutuan.
Sehubungan dengan itu satu Perarakan Rakyat Menjunjung Kasih kepada Tuanku Sultan akan diadakan selepas Solat Jumaat ini, 21 Jan. Perarakan akan bermula di Masjid Sultan Sulaiman Kg Jawa (dekat kolej Islam) ke Istana Klang. Seluruh rakyat Selangor dijemput bersama dalam perarakan ini termasuk kaum wanita. Kepada yang ingin turutserta dalam perarakan, dinasihatkan agar solat Jumaat di Masjid Sultan Sulaiman.
Salam hormat.
drbadrulamin.blogsppot.com
Tuesday, January 18, 2011
SELANGOR BANTU ORANG ISLAM YANG INGIN BERHENTI KERJA DI PREMIS ARAK.
Tabung Khas Bantu Bekas Pekerja Premis Minuman Keras Yang Beragama Islam
14 JANUARI 2010
Kerajaaan Selangor prihatin dengan perbincangan mengenai pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah yang tidak membenarkan umat Islam bekerja di premis-premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras.
Kami telah meminta ahli Exco negeri, YB Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, YB Yaakob Sapari, YB Dr Halimah Ali dan YB Hajjah Rodziah Ismail untuk menubuhkan satu sekretariat yang akan mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membincangkan isu ini.
LZS akan diminta untuk bersama-sama menubuhkan satu tabung khas demi membantu pekerja beragama Islam yang sedar untuk meninggalkan pekerjaaan di premis-premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras.
Kerajaan Negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan tersebut atas sebab ekonomi. Oleh itu, tabung ini akan memainkan peranan agar mereka tidak akan terbeban dengan penguatkuasaan undang-undang ini.
Kami menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang bertujuan memelihara umat Islam untuk mencari rezeki yang halal; pada masa yang sama, sebagai kerajaan prihatin dan adil, kita perlu memberi tempoh yang cukup kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan pekerja yang terlibat.
Justeru itu, saya akan mengadakan pertemuan dengan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan Isnin depan untuk mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan Enakmen tersebut dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR
ISU PEKERJA ISLAM DI PREMIS ARAK.
Kajian Untuk Tentukan PBT Ada Kuasa Laksana Undang-Undang Jenayah Syariah Dan Kesannya Kepada Pekerja Islam
Kerajaan Selangor akan membuat kajian terperinci untuk menentukan sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh melaksanakan undang-undang jenayah syariah dalam by-laws atau syarat lesen.
Kajian akan melihat kesan kepada umat Islam yang mungkin akan hilang punca pendapatan jika undang-undang jenayah syariah dilaksanakan. Angka yang melibatkan pekerja Islam dalam penjualan minuman keras tidak besar, jadi perkara ini boleh dikawal dengan baik. Di Subang Jaya, terdapat 170 premis menjual minuman keras dan hanya 13 premis yang menggajikan pekerja Islam.
Sementara menunggu kajian terperinci disiapkan, Kerajaan Negeri akan meneruskan rancangan untuk mewujudkan tabung bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membantu orang Islam yang mahu meninggalkan pekerjaan itu.
Selepas ini, semua undang-undang atau syarat tambahan yang melibatkan Undang-undang Jenayah Syariah perlu dirujuk kepada Kerajaan Negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) bagi tujuan penyeragaman.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
(KENYATAAN AKHBAR
17 JANUARI 2011)
Wednesday, January 5, 2011
SIAPA DERHAKA? SEJARAH MENJAWAB!
Sah, pemimpin Umno layak untuk menerima anugerah terbaik dalam festival filem drama politik Malaysia. Contohnya Umno yang sesak nafas dan tidak cukup oksigen untuk bernafas, maka cuba memanjangkan talian sampai ke pagar istana.
Mereka cuba memainkan sentimen bahawa sekarang ada pihak yang hendak menggugat Raja-Raja Melayu. Tindakan Umno sama seperti pepatah Arab yang mengatakan “dia pukul aku, dia menangis, dia maki aku maka dia mengadu orang yang maki dia”.
Sebenarnya pemimpin Umno silap, bahawa sejarah tidak boleh menipu, walaupun pemimpin Umno kaki penipu dan putar alam dalam isu Raja-Raja Melayu. Di bawah ini sebagai bukti yang menghina Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno.
1. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar dibuang daripada Istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana kritik Sultan atas isu harta.
2. Tahun 1974, Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Datuk Seri Tajol Rosli) yang tidak mahu meletak jawatan Menteri Besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya dia tidak mahu lepas jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu cukur jambang, selagi Ghazali Jawi tidak mahu letak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya? Tiba-tiba Datuk Seri Tajol Rosli kata Umno tidak pernah derhaka tidak pernah ucap macam Nizar.(UM 12/2/09). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya.
3. Begitu juga pada tahun 1979 kes Datuk Rahim Bakar bekas Menteri Besar Pahang yang berselisih dengan Sultan Pahang. Media pro Umno mengkritik sultan secara terbuka.
4. 1983 Umno hendak meminda supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.
5.P ada tahun 1991 dalam Persidangan Agung Umno, Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan.
6. Dalam Persidangan Agung Umno juga, perwakilan Umno meminta harta raja disiasat. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka surat depan. Apakah ini bukan derhaka?
7. Satu demonstrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan derhaka namanya?
8. Pada 18 Januari 1993, Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan raja dibawa ke mahkamah. Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja. (BH 19/1/1993)
9. Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Mahathir dan mengecam Raja-Raja Melayu.
10. Sebab itu Ku Li dengan sinis menyatakan “Mana satukah yang lebih merbahaya Pindaaan 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat pada Sultan Perak pada 6/2/09. Ku Li tidak bersetuju dengan tindakan Karpal saman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan yang pemimpin Umno yang beri laluan pada tahun 1993. (Star On Line 17/2/09). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demo depan pejabat Umno. Saya yakin hak yang pergi demo itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.
11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Petra untuk mengganti Sutan Ismail Petra pada 29 April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Datuk Annuar Musa. Ini lagi memalukan, apakah ini bukan derhaka atau kurang ajar namanya? Budaya mana pemimpin umno ambil?
12. Kenyataan biadab Shahidan Kasim, bekas MB Perlis mengatakan “Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta dia ada bukti” (BH 11 Jun 1993.)
13. Datuk Mohd Taib kata Nizar derhaka. Dia lupakah yang dia bawa lari Ku Yah (puteri Sultan Selangor kahwin lari sampai Sultan murka). Apakah ini bukan derhaka?
14. 23 daripada 24 Adun BN Terengganu ugut boikot angkat sumpah Datuk Ahmad Said selepas pilihan raya umum 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Idris Jusoh juga jadi MB Terengganu. Manakala penyokong Umno pula mengatakan sultan binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan? Apakah pihak polis buta sampai tidak tahu siapa yang pegang kain rentang yang menghina sultan sebagai binatang? Kenapa polis boleh tangkap mereka yang demo di depan Istana Kuala Kangsar pada 6 Feb 2009.
15. Datuk Seri Shahidan Kassim boikot perlantikan Dr Mohd Isa Sabu sebagai MB Perlis. Bukankah ini derhaka namanya?
16. Tan Sri Rahim Tamby Chik sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka meminta supaya amalan panggilan ‘patik’ yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan, memadai dengan hanya menyatakan ‘saya tuanku’. BH 3/2/1993. Ini ungkapan yang biadab dan derhaka kepada Raja Melayu.
17. Datuk Zahid Hamidi ketika menjadi ketua pemuda Umno mencabar supaya Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra turun takhta kerana beliau bukan waris yang sah (BH 11/2/1993). Ini sikap biadab yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi terhadap sultan yang cuba campur tangan soal pelantikan Raja-Raja Melayu.
Banyak kenyataan yang berupa penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ketika pemimpin Umno bergaduh dengan Raja-Raja Melayu. Dr Mahathir mengatakan Raja tidak henti meminta daripada kerajaan BH 30/1/1993.
Berita Harian pada 23/1/1993 mengaibkan mendedahkan pesta arak di majllis sultan dan membawa perempuan cantik kadang-kadang lapan orang.
Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat Raja. Siapakah penderhaka sebenarnya di negara ini? Jawabnya tentulah pemimpin Umno. Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka sahaja. Mereka bukan jujur, merekalah yang menjatuhkan martabat Raja-Raja Melayu.