Tuesday, January 18, 2011

ISU PEKERJA ISLAM DI PREMIS ARAK.

Kajian Untuk Tentukan PBT Ada Kuasa Laksana Undang-Undang Jenayah Syariah Dan Kesannya Kepada Pekerja Islam

by Khalid Ibrahim on Monday, January 17, 2011 at 7:07pm

Kerajaan Selangor akan membuat kajian terperinci untuk menentukan sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh melaksanakan undang-undang jenayah syariah dalam by-laws atau syarat lesen.

Kajian akan melihat kesan kepada umat Islam yang mungkin akan hilang punca pendapatan jika undang-undang jenayah syariah dilaksanakan. Angka yang melibatkan pekerja Islam dalam penjualan minuman keras tidak besar, jadi perkara ini boleh dikawal dengan baik. Di Subang Jaya, terdapat 170 premis menjual minuman keras dan hanya 13 premis yang menggajikan pekerja Islam.

Sementara menunggu kajian terperinci disiapkan, Kerajaan Negeri akan meneruskan rancangan untuk mewujudkan tabung bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membantu orang Islam yang mahu meninggalkan pekerjaan itu.

Selepas ini, semua undang-undang atau syarat tambahan yang melibatkan Undang-undang Jenayah Syariah perlu dirujuk kepada Kerajaan Negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) bagi tujuan penyeragaman.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

(KENYATAAN AKHBAR

17 JANUARI 2011)

Wednesday, January 5, 2011

SIAPA DERHAKA? SEJARAH MENJAWAB!

UMNO BIADAB DENGAN SULTAN -SULTAN MELAYU.

Sah, pemimpin Umno layak untuk menerima anugerah terbaik dalam festival filem drama politik Malaysia. Contohnya Umno yang sesak nafas dan tidak cukup oksigen untuk bernafas, maka cuba memanjangkan talian sampai ke pagar istana.

Mereka cuba memainkan sentimen bahawa sekarang ada pihak yang hendak menggugat Raja-Raja Melayu. Tindakan Umno sama seperti pepatah Arab yang mengatakan “dia pukul aku, dia menangis, dia maki aku maka dia mengadu orang yang maki dia”.

Sebenarnya pemimpin Umno silap, bahawa sejarah tidak boleh menipu, walaupun pemimpin Umno kaki penipu dan putar alam dalam isu Raja-Raja Melayu. Di bawah ini sebagai bukti yang menghina Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno.

1. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar dibuang daripada Istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana kritik Sultan atas isu harta.

2. Tahun 1974, Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Datuk Seri Tajol Rosli) yang tidak mahu meletak jawatan Menteri Besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya dia tidak mahu lepas jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu cukur jambang, selagi Ghazali Jawi tidak mahu letak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya? Tiba-tiba Datuk Seri Tajol Rosli kata Umno tidak pernah derhaka tidak pernah ucap macam Nizar.(UM 12/2/09). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya.

3. Begitu juga pada tahun 1979 kes Datuk Rahim Bakar bekas Menteri Besar Pahang yang berselisih dengan Sultan Pahang. Media pro Umno mengkritik sultan secara terbuka.

4. 1983 Umno hendak meminda supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.

5.P ada tahun 1991 dalam Persidangan Agung Umno, Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan.

6. Dalam Persidangan Agung Umno juga, perwakilan Umno meminta harta raja disiasat. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka surat depan. Apakah ini bukan derhaka?

7. Satu demonstrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan derhaka namanya?

8. Pada 18 Januari 1993, Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan raja dibawa ke mahkamah. Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja. (BH 19/1/1993)

9. Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Mahathir dan mengecam Raja-Raja Melayu.

10. Sebab itu Ku Li dengan sinis menyatakan “Mana satukah yang lebih merbahaya Pindaaan 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat pada Sultan Perak pada 6/2/09. Ku Li tidak bersetuju dengan tindakan Karpal saman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan yang pemimpin Umno yang beri laluan pada tahun 1993. (Star On Line 17/2/09). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demo depan pejabat Umno. Saya yakin hak yang pergi demo itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.

11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Petra untuk mengganti Sutan Ismail Petra pada 29 April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Datuk Annuar Musa. Ini lagi memalukan, apakah ini bukan derhaka atau kurang ajar namanya? Budaya mana pemimpin umno ambil?

12. Kenyataan biadab Shahidan Kasim, bekas MB Perlis mengatakan “Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta dia ada bukti” (BH 11 Jun 1993.)

13. Datuk Mohd Taib kata Nizar derhaka. Dia lupakah yang dia bawa lari Ku Yah (puteri Sultan Selangor kahwin lari sampai Sultan murka). Apakah ini bukan derhaka?

14. 23 daripada 24 Adun BN Terengganu ugut boikot angkat sumpah Datuk Ahmad Said selepas pilihan raya umum 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Idris Jusoh juga jadi MB Terengganu. Manakala penyokong Umno pula mengatakan sultan binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan? Apakah pihak polis buta sampai tidak tahu siapa yang pegang kain rentang yang menghina sultan sebagai binatang? Kenapa polis boleh tangkap mereka yang demo di depan Istana Kuala Kangsar pada 6 Feb 2009.

15. Datuk Seri Shahidan Kassim boikot perlantikan Dr Mohd Isa Sabu sebagai MB Perlis. Bukankah ini derhaka namanya?

16. Tan Sri Rahim Tamby Chik sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka meminta supaya amalan panggilan ‘patik’ yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan, memadai dengan hanya menyatakan ‘saya tuanku’. BH 3/2/1993. Ini ungkapan yang biadab dan derhaka kepada Raja Melayu.

17. Datuk Zahid Hamidi ketika menjadi ketua pemuda Umno mencabar supaya Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra turun takhta kerana beliau bukan waris yang sah (BH 11/2/1993). Ini sikap biadab yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi terhadap sultan yang cuba campur tangan soal pelantikan Raja-Raja Melayu.

Banyak kenyataan yang berupa penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ketika pemimpin Umno bergaduh dengan Raja-Raja Melayu. Dr Mahathir mengatakan Raja tidak henti meminta daripada kerajaan BH 30/1/1993.

Berita Harian pada 23/1/1993 mengaibkan mendedahkan pesta arak di majllis sultan dan membawa perempuan cantik kadang-kadang lapan orang.

Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat Raja. Siapakah penderhaka sebenarnya di negara ini? Jawabnya tentulah pemimpin Umno. Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka sahaja. Mereka bukan jujur, merekalah yang menjatuhkan martabat Raja-Raja Melayu.


Monday, January 3, 2011

ISU KHUSRIN - Sultan akui baginda tiada kuasa sejak dirampas UMNO 1993.

Tuanku Sultan Titah Perbincangan Selangor-SPA Untuk Penyelesaian Terbaik oleh Khalid Ibrahim pada pada 03hb Januari 2011 pukul 2.33 ptg


Saya telah mengadap DYMM Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

DYMM Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan.

DYMM Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut.

Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Dato’ Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada Dato’ Speaker untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR





Ulasan:

1) 6 jan ini, Khusrin tak boleh angkat sumpah depan Sultan kerana bercanggah dengan Artikel 52(4) Perlembagaan Negeri Selangor dimana Upacara Mengangkat Sumpah Jawatan adalah di hadapan Dato MB. Lagipun Sultan sendiri akui yang baginda tiada kuasa dalam hal ini. Khusrin juga tidak akan angkat sumpah depan MB kerana MB tak akan terima dia.

2) Sidang DUN tergempar akan diadakan bagi menyerah kembali kuasa kepada Sultan untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri & Setiausaha Kewangan Negeri.

Moga Allah perkenankan doa kita agar Negeri Selangor & rakyat dipelihara dari rancana jahat MUSUH yang jahat. Teruskan Solat hajat seluruh Negeri...

Salam hormat.
drbadrulamin.blogspot.com

Wednesday, December 29, 2010

ISU PERLANTIKAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR.

Tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) melantik dan mengumumkan perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SKN) tanpa merujuk Dato MB Selangor adalah kerja jahat yang berniat jahat untuk melaksanakan agenda jahat UMNO keatas Selangor. Rakyat bersatu menentang usaha jahat ini.


KENYATAAN AKHBAR

29 DISEMBER 2010

______________________________________________________________________________

TIADA HAD ATAU TEMPOH UNTUK PELANTIKAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI

Kerajaan Negeri Selangor menyangkal dakwaan kenyataan Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor, Dato’ Munir Bani yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kami menegaskan bahawa tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh atau masa tertentu. Tambahan pula, jawatan Dato’ Ramli Mahmud selaku Setiausaha Kerajaan Negeri sepatutnya hanya tamat pada 20 Mac 2011.

Perlu ditegaskan di sini, Kerajaan Negeri telah menjalankan proses pemilihan pada 27 November 2010 dengan menubuhkan Panel Pemilihan sebagaimana sejajar nota amalan Perkhidmatan Awam.

Panel yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Dato’ Teng Chang Khim serta dianggotai oleh dua Ahli Majlis Kerajaan Negeri iaitu YB Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali dan YB Dr Xavier Jayakumar, telah menemuramah enam calon dari lapan nama yang telah dicadangkan oleh Pejabat Setiausaha Negeri dan Pejabat Sumber Manusia.

Panel Pemilihan telah menyenarai pendek calon-calon dan Dato’ Menteri Besar telah pada 17 Disember 2010, mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan DYMM Sultan Selangor bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan.

Meskipun penubunan panel ini bukanlan satu kemestian, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab. Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan.

Pakatan Rakyat Selangor kesal dengan perkembangan mutakhir ini dan merasakan ia adalah tindakan yang didalangi individu tertentu yang mahu menggunakan istana demi kepentingan politik mereka. Isu Dato' Khusrin ini timbul sejurus sebelum UMNO mengumumkan Najib kekal sebagai Ketua Perhubungan UMNO Selangor.

Justeru, Pakatan Rakyat Selangor memohon rakyat Selangor bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan provokasi yang tidak akan membantu dalam mencari penyelesaian terbaik. Pentadbiran ini menggalakkan persatuan dan pertubuhan masyarakat mengadakan solat hajat di seluruh negeri bagi memberi kekuatan dan kebijaksanaan kepada DYMM Sultan Selangor dan pemimpin Negeri dalam menangani salah faham ini (miscommunication). Begitu juga kepada masyarakat bukan Islam digalakkan menjalankan upacara keagamaan menurut kepercayaan masing-masing.

Faekah Husin

Setiausaha Politik kepada

YAB Dato Menteri Besar Selangor


Salam hormat.

drbadrulamin.blogspot.com


Tuesday, December 28, 2010

PROGRAM 100 HARI PAKATAN RAKYAT (Mengambilalih Putra jaya).

BUKU JINGGA - Antara agenda PR dalam 100 hari pertama mentadbir Negara. Tolong SHARE!
by Badrulamin II on Tuesday, December 28, 2010 at 12:37am

Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:

1. Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

2. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

3. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

4. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

5. Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.

6. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

7. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

8. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.



9. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.

10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah. 


Salam hormat.
drbadrulamin.blogspot.com

BUKU JINGGA...


Wednesday, August 25, 2010

ISU KHUTBAH PULAU PINANG (doa buat Guan Eng)

Isu Doa Khutbah Jumaat: Ustaz Zakaria Pertahankan Pendirian

Dari Merdeka Review
Oleh Nazar Hashim

Khatib yang didakwa terlibat dalam isu doa khutbah Jumaat, Ustaz Zakaria Ahmad, mempertahankan pendirian beliau bahawa tiada kesalahan yang dilakukan semasa doa khutbah tersebut dibacakan bagi mendoakan kesejahteraan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Zakaria Ahmad yang bercakap kepada media selepas menemui panel jawatankuasa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di pejabat MAINPP semalam, berkata bahawa tidak menjadi satu kesalahan untuk berdoa (kepada orang bukan Islam).

“Cuma caranya sahaja perlu diperbetulkan. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak MAINPP yang telah membantu bagi memberi panduan mengenai keperluan yang ada dalam isu khutbah ini.”

“Namun begitu isu ini hanyalah satu isu kecil. Sebelum ini pun ada orang lain yang membacakan doa dalam khutbah Jumaat kepada pemimpin tetapi kenapa mereka tidak dipanggil?” tanya beliau.

Mungkin ambil tindakan saman malu

Zakaria juga berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman malu kepada mereka yang telah melemparkan fitnah kepada beliau dalam isu ini dalam tempoh terdekat.

Tambah beliau lagi adalah suatu yang dikesalkan kerana isu sekecil ini telah dipolitikkan oleh mereka yang tidak memahami erti sebenar khutbah Jumaat sehingga sanggup menjadikan ia sebagai modal politik sempit mereka.

Manakala Yang Dipertua MAINPP, Ellias Zakaria berkata pertemuan dengan jawatankuasa siasatan MAINPP kali ini bertujuan untuk mendapat penerangan sebenar dari khatib yang terbabit sebelum apa-apa tindakan diambil. Beliau juga berkata perbincangan yang diadakan berjalan dalam suasana yang baik.

Tiada tindakan terhadap khatib Zakaria

“Tiada tindakan yang akan diambil terhadap beliau setelah adanya penerangan sebenar dari insiden yang membabitkan isu doa dalam khutbah Jumaat yang hangat diperkatakan sejak minggu lalu,” jelas Ellias Zakaria.

“Kita juga berharap dalam suasana ramadan ini tiada pihak yang akan mengambil kesempatan isu ini dan mengeruhkan suasana yang ada,” kata Ellias Zakaria (gambar kiri).

Katanya lagi jawatankuasa yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Sazali Hussain dan Pegawai Tadbir Agama Daerah itu turut berpuas hati dengan penerangan yang telah disampaikan oleh Zakaria.

Sebelum itu Zakaria yang tinggal di Taiping, Perak telah disoal-siasat di Balai Polis Butterworth bagi diambil keterangan beliau setelah adanya laporan dibuat oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang, baru-baru ini.

Isu doa khutbah Jumaat yang didakwa menyebut nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah disebut oleh Zakaria di Masjid Jamek Kubang Buaya, Butterworth dan Masjid Jamek Padang Menora,Tasek Gelugor.

Dakwaan oleh Ahmad Zahid

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini telah mendakwa terdapat khatib yang mendoakan Lim Guan Eng di beberapa buah masjid dalam kawasan Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong.

Namun begitu tiada pula nama kawasan Bagan yang dinyatakan sedangkan Masjid Jamek Kubang Buaya berada dalam kawasan Bagan. Begitu juga dengan dakwaan ianya berlaku dalam kawasan Permatang Pauh.

Nama masjid yang didakwa dalam kawasan Permatang Pauh belum dapat dikenal pasti sehingga ke hari ini.

Banyak pihak mempertikaikan tindakan yang diambil oleh UMNO dan Barisan Nasional dalam isu doa khutbah Jumaat ini. Sesetengahnya mendakwa isu ini sengaja dijadikan modal politik oleh UMNO dan BN setelah melihat kewibawaan yang ada pada kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) semakin mendapat dokongan rakyat.

Tindakan yang diambil oleh UMNO dan BN ini bukan saja menambahkan hilangnya keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada mereka, tetapi juga membuka ruang kepada masyarakat khususnya orang Melayu untuk melihat setakat mana isu agama sebegini akan dimanipulasikan sebagai modal politik untuk meraih sokongan.

Sekiranya isu sekecil ini tidak dapat diselesaikan dengan cara musyawarah apakah akan menjadi kenyataan perpaduan dan penyatuan Melayu yang sering menjadi omongan bagi UMNO dan PAS untuk bersatu di bawah satu payung bagi membela nasib masyarakat Melayu dan Islam dalam negara ini?