Thursday, February 26, 2009

Sultan sebagai Naungan Allah...

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan kepada saya untuk memaklumkan bahawa Baginda tidak dapat memberikan panduan atau nasihat kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor dalam hal berkenaan isu Yang Berhormat Elizibeth Wong... Sebagai Sultan Selangor, Baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik (above politic)... Baginda selanjutnya menyatakan keyakinan Baginda atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan percaya bahawa ianya dibuat secara adil dan bijaksana, dengan mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan Negeri Selangor amnya". (S/U Sulit DYMM Sultan Selangor).

Demikianlah kebijaksanaan Sultan yang menjadikan dirinya Payung untuk semua. Dalam Islam, Sultan adalah "Naungan Allah di bumi..." (hadith). Naungan Allah harus difaham dalam konteks penjagaan Agama serta perlaksanaan Hukum-hakam Agama. Ini kerana tugas Khalifah (Sultan) adalah "Hirasatud din wa siyasatud dunya bihi" (memelihara Agama dan mentadbir dunia dengan Agama).

Dalam Perlembagaan Malaysia, Tugas Sultan adalah menjaga Agama dan Adat istiadat Melayu. Jelas sekali, apabila Sultan menitahkan yang baginda berkecuali dalam hal ehwal politik, sebenarnya Baginda faham bahawa urusan politik sebenarnya bukan dalam bidang tugas Baginda...

Hal ini perlu difahami oleh Sultan-Sultan lain agar krisis politik yang berlaku di Perak akibat campur tangan Sultan dapat diatasi dengan baik dan tidak berlaku pula di mana-mana negeri yang lain. Ini juga penting difahami demi memelihara nama baik Sultan serta Institusi Raja yang telah wujud sekian lama dalam Negara ini...

Salam Hormat.

Saturday, February 21, 2009

Antara Calon & Perjuangan.

Menjelang Pilihanraya kecil Bkt Selambau, ada orang bertanya "Apa jaminan calon yang akan diletak kali ini TIDAK belot atau menyerah dalam perjuangan?"

Saya jawab - Hanya Allah yang tahu! Siapa pun tak boleh jamin...


Sebenarnya apa pun jawapan yang diberi tak penting. Yang penting ialah mengapa pertanyaan itu timbul? Rupanya-rupanya sudah ada gerakan halus pihak musuh untuk menimbulkan keraguan dan seterusnya perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Ada dikalangan "pejuang" PR sendiri mula rasa hambar (tawar) untuk berjuang di Bkt Selambau kerana calon itu bukan dari PARTI nya. Maka timbullah alasan-alasan naif seperti "buat penat je... nanti menang dia lompat" atau "buat penat je... dah menang nanti dia letak jawatan" dan bermacam alasan lagi...

Hakikatnya, ada antara kita tak dapat nak bezakan antara CALON dan PERJUANGAN. Jika tanya saya, saya kata, saya berjuang bukan kerana calon tapi kerana perjuangan! Mungkin kita tidak yakin dengan calon, tapi tidakkah kita yakin dengan perjuangan? Bukankah jika calon menang maka yang menang adalah perjuangan dan jika kalah calon maka yang kalah juga adalah perjuangan?

Setiap pejuang dan pendukung PR seharusnya bertekad bahawa "Saya akan bekerja keras memenangkan calon Bkt Selambau, Bkt Gantang dan mungkin juga Bkt Lanjan untuk mengangkat perjuangan serta memelihara maruah para Pemimpin perjuangan (Sdr Anwar Ibrahim, Tn Guru Hadi dan Tn Guru Nik Aziz) tanpa bertanya siapakah calon itu kerana keyakinan saya yang teguh dan tidak berbelah bagi pada perjuangan dan Pemimpin-pemimpin perjuangan...

Ingat! Musuh hanya dapat mengalahkan kita jika kita berpecah... Dan perpecahan itu bermula dengan timbulnya keraguan sesama kita...

Thursday, February 19, 2009

Antara Moral & Hukum.

Gambar separuh bogel awak telah tersebar... Awak tidak bermoral! Awak tidak layak memimpin! Begitulah lantangnya tuduhan dan tuntutan mereka.

Faktanya? Saya bogel di rumah saya, diambil gambar dan gambar itu disebarkan... Siapa yang tidak bermoral? Yang diambil gambar atau yang menyebarkan gambar?

Dalam Islam, ada beza antara maksiat yang dilakukan secara sembunyi dimana pelakunya ada rasa malu bila maksiat itu diketahui umum dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan dimana pelakunya rasa bangga dengan apa yang dilakukannya serta tidak rasa malu jika orang lain mengetahuinya...

Sebab itu hikmah terbesar bila Islam menuntut 4 orang saksi (yang adil) dalam kes zina ialah untuk memelihara aib orang yang masih ingin memelihara maruahnya. Walaupun betul dia berzina tetapi adalah mustahil dapat disaksikan oleh 4 orang jika dia masih ada malu. Orang yang ada malu dan ingin memelihara maruahnya tidak akan melakukan maksiat itu ditempat terbuka secara terang-terangan hingga dilihat oleh ramai orang...

Jika ada sepasang lelaki dan wanita berzina, salah seorang mengaku dia berzina dangan pasangannya... Yang dihukum hanya yang mengaku kerana untuk menghukum pasangan yang seorang lagi perlu 4 orang saksi... Adilnya Islam! Ada orang kata ini tidak adil kerana mengapa hanya yang mengaku sahaja yang dihukum?

Jawabnya:

1) Orang yang sanggup mengaku hanya akan mengaku jika ia benar-benar ingin bertaubat kepada Allah atas dosanya tanpa sedikitpun niat ingin melibatkan pasangannya (kerana masing-masing menanggung dosa sendiri di hadapan Allah).

2) Jika pengakuan seseorang itu berkesan (binding) atas dirinya dan diri orang lain, nescaya akan berleluasa fitnah dikalangan manusia. Sesiapapun juga akan sanggup buat pengakuan yang yang ia melakukan itu dan ini dengan si anu dan si anu... Akibatnya? (rujuk kes Anwar vs Azizan juga Anwar vs Saiful).

Di zaman Nabi s.a.w. berlaku kes pengakuan zina dimana hukuman dijatuhkan kepada si pengaku sahaja tanpa ditanya siapakah pasangannya...

Kembali kepada kes gambar bogel/separuh bogel yang disebarkan dimana gambar itu diambil di tempat tersembunyi dan orang yang diambil gambar itu pula sedang tidur... Maka yang perlu dihukum adalah penyebarnya kerana perbuatan mengaibkan seseorang adalah HARAM hukumnya...

Salam Hormat.

Tuesday, February 10, 2009

Pengajaran dari Perak.

"Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekali pun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya" - Sultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980.

"Innamaa amruhuu izaa araada syai`an ayyaquula lahuu kun fayakuun..."

Salam Reformasi!

Pakatan Rakyat sedang menggelegak? Alhamdulillah! Itu tandanya nasi akan masak. Anggaplah ini satu proses mematangkan perjuangan yang baru setahun jagung ini...

Yang penting ialah apakah pengajaran serta iktibar yang perlu dipelajari? Sekurang-kurangnya ada 3:

1) Keikhlasan perlu dalam perjuangan. Hanya mereka yang ikhlas dapat bertahan dari ujian susah dan senang. Ikhlas maknanya bukan hanya berjuang kerana Allah tapi juga berjuang menurut panduan-panduan Allah.

2) Tarbiyyah adalah asas kekuatan organisasi. Tarbiyyah perlu bukan hanya dalam KEADILAN, PAS dan DAP tapi juga dalam PAKATAN. MB-MB PAKATAN wajib belajar dari MB Kelantan (Tok guru) bagaimana beliau mentarbiyyah organisasi, negeri dan ummah. Pimpinan PAKATAN perlu belajar bagaimana untuk jadi tawaduk serta punya sifat kasih sayang pada orang bawahan. Sayang menyayang, hormat menghormati serta ukhuwwah sejati perlu dipupuk dikalangan pimpinan dan ahli. Wihdatul fikr (kesatuan pemikiran) hanya dapat dibentuk melalui program tarbiyyah berterusan di semua peringkat untuk melahirkan wihdatul amal (kesatuan tindakan).

3) Perencanaan pula adalah asas kejayaan. Kebenaran yang tidak berencana akan tewas kepada kebatilan yang berencana. Kemenangan kita Mac tahun lalu adalah anugerah Allah yang terlalu besar serta tidak disangka-sangka. Kita masuk perang Mac 2008 dengan perencanaan yang amat minima. Alhamdulillah kita menang.

Apa kita buat setelah menang? Berebut jawatan dan habuan? Yah... Suka atau tidak... Gara-gara berebut jawatan ketua kampung, GLC, Pasar malam, projek yang nilainya hanya ribuan ringgit... Kita kehilangan negeri.

SHARING is CARING! Tepat sekali... Soalnya... Mengapa masa susah kita boleh berkongsi yang sedikit sedang bila senang kita tidak boleh berkongsi yang banyak?

Ingat! Kekuatan PAKATAN bukan pada KEADILAN atau PAS atau DAP. Kekuatan PAKATAN adalah pada kesepakatan kita.

BETUL! Kekuatan KEADILAN adalah kekuatan PAKATAN. Kekuatan PAS adalah kekuatan PAKATAN dan kekuatan DAP adalah juga kekuatan PAKATAN. Tapi...

Ingat! Kelemahan KEADILAN adalah kelemahan PAKATAN. Kelemahan PAS adalah kelemahan PAKATAN dan kelemahan DAP juga adalah kelemahan PAKATAN.

Parti-parti dalam PAKATAN mestilah saling kuat menguatkan bukan lemah melemahkan satu sama lain. Mesti saling memperbaiki bukan merosakkan satu sama lain. Saling membela bukan menyerang satu sama lain...

Mari kita pelajari hikmah di sebalik semua ujian ini... Jadilah orang yang mahu belajar! Mahu mengambil iktibar...

"Di sebalik kesusahan ada kesenangan... Di sebalik penderitaan ada kebahagiaan..."

Salam hormat!

Sunday, February 8, 2009

Tahun Penuh Cabaran

Salam Reformasi!
Selamat bertemu semula di tahun yang lebih mencabar.

Januari 2009 dicemari dengan kezaliman zionis-israel. Ribuan orang awam jadi korban sifat kebinatangan mereka. Puncanya? HAMAS! Hamas adalah pengganas! Hamas mesti dihapuskan! Begitulah sumpah angkuh pemimpin negara haram israel itu. Sejak kemenangan Parti Islam Hamas 3 tahun lalu dalam pilihanraya demokratik Palestin mengalahkan Parti Kebangsaan Fatah, zionis-israel tidak pernah mengiktiraf Hamas. Itu tidak menghairankan kita kerana kita faham sifat permusuhan yahudi dan Islam yang termaktub dalam a-Quran (Yahudi akan tetap memusuhi Islam sejak dulu, kini dan selamanya...) Apa yang membuatkan kita hairan dan kesal ialah mengapa ada pemimpin negara Islam yang menurut perangai yahudi dan enggan mengiktiraf Hamas. Malah Mesir misalnya enggan membantu saudara mereka di Gaza dengan menutup pintu sempadan.

Bagaimana dengan Malaysia? Malaysia bukan hanya tidak mengiktiraf Hamas, malah satu sen pun wang bantuan kemanusiaan yang dikutip oleh agensi kerajaan (RTM, TV3, NST dll) tidak sampai kepada Hamas yang berjuang mati-matian menentang kezaliman zionis-israel (apa khabar wang yang dikutip untuk Dafour dan Tsunami satu masa dulu?).

Ummat Islam, sebenarnya, sedang menghadapi krisis kepimpinan! 2 ribu juta ummat kehilangan pemimpin yang mampu menyatukan. Pemimpin Syi`ah menyuarakan perlunya PBB alternatif yang akan menjaga kepentingan ummat Islam. Apa peranan OIC? Bukankah itu OIC itu PBB ummat Islam? Oh... I see.. Semua bercakap (termasuk Mahathir) tentang OIC yang tiada taring. Mengapa? Masalahnya ialah kepimpinan. Siapa memimpin OIC hari ini? Malaysia. PM Malaysia. Dolah Badawi. Bolehkan Dolah menyatukan kepala-kepala negara Islam dalam keadaan kepalanya sendiri biul dan bermasalah? Hmm.. Mac ini kita akan ada PM baru. Mampukan PM baru ini menyatukan ummat? Ramai menganggap bakal PM Mac ini hanya layak jadi duta ke Monggolia.

Jadi? Apa pilihan ummat? Siapakah pemimpin yang mampu menyatukan ummat ini?Apakah pemimpin Saudi yang kini berhutang ribuan juta dollar pada US akibat perang teluk? Atau pemimpin Iran yang berjaya menghantar satelit ke langit? Atau pemimpin Turki yang baru2 ini jadi wira negaranya kerana memalukan pemimpin haram israel dalam forum ekonomi dunia?

Sedar atau tidak, kita ada calon terbaik yang mampu menyatukan pemimpin2 Islam sekaligus dihormati oleh Barat dan Timur... Dia bukan orang arab... Bukan juga orang putih... Dia orang Melayu, orang Malaysia... Dia adalah Anwar Ibrahim! Ada orang kata saya taksub... Saya hanya berkata, jika anda punya calon yang lebih baik dari Anwar, sila kemukakan... Yang penting ummat perlukan pemimpin itu untuk menyelesaikan kemelut berpanjangan ini...

Salam Hormat.