Tuesday, June 10, 2008

Antara Minyak & Hati.

Salam keadilan!
Harga minyak naik lagi. Rata-rata orang menyatakan rasa kesal dan marah kerana kenaikan harga minyak ini pasti akan menyusahkan hidup mereka. Fokus perbincangan mereka hanya satu iaitu duit! duit! dan duit! Dimana dan bagaimana nak cari duit untuk terus hidup.
Apakah tidak ada masalah lebih besar dari duit? Bagaimana dengan soal hati? Hati yang resah dan gelisah, hati yang gundah gulana dan berdukacita, hati yang semakin hilang pergantungan pada Tuhan.
Sebenarnya kenaikan harga minyak bukan hanya soal ekonomi tapi juga soal agama dan sosial. Ada orang yang ingin kutip hasil lumayan dengan mudah sekaligus ingin merosakkan nilai-nilai murni dan ketuhanan dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Lahir manusia yang menjadikan duit sebagai Tuhan mereka. Pagi, petang, siang dan malam hanya duit yang difikirkan. Solat dan doanya hilang entah kemana dicelah-celah kesibukannya mencari duit. Zikir barunya hanya duit! duit! dan duit!
Manusia sanggup buat apa saja untuk duit. Menipu, mencuri, khianat, berjudi, rasuah hatta merompak dan membunuh untuk duit.
Suami isteri hilang kemesraan dek sibuk dengan urusan duit. Hilang sudah sentuhan manja dan gurau senda. Hanya yang tinggal, ucapan hai hai & bye bye. Pertengkaran juga sering berlaku kerana masalah duit.
Bagaimana pula nasib anak-anak? Keluarga adik beradik? Ipar duai? Jiran tetangga? Apa akan jadi pada masyarakat dan negara ini? Akan lahirkah masyarakat sejahtera yang diinginkan? Mana dia modal insan yang akan jadi kebanggaan? Anda tau jawapannya. Soalnya sekarang, apa yang patut kita lakukan?
Tanya saya? Jawabnya - tingkatkan kualiti hidup beragama. Banyakkan zikir dan doa disamping mohon pertolongan dengan sabar dan solat.
Ada yang bertanya, apakah dengan zikir harga minyak akan turun atau duit akan datang? Jawabnya tentu 'tidak' atau mungkin 'ya'. Yang pasti, dengan zikir, hati akan tenang. Salam.